PANDU UJI: Volkswagen Passat B8 mampu memberi saingan kepada kenderaan segmen lebih tinggi

volkswagen_passat_b8_ext-3-bm

Volkswagen Passat sudah wujud sejak tahun 70-an lagi dan kini, pelancaran model generasi kelapannya sudah semakin hampir. Sebenarnya, model ini sudah mula ditemui di atas jalan raya di Malaysia sejak penghujung tahun 2014 lagi, dan masuk tahun 2015, ia muncul sebagai pameran di satu acara khas Volkswagen. Pada masa itu, Passat B8 diberitahu akan dilancarkan pada awal tahun 2016.

Kini, November 2016, barulah pasti pelancarannya akan dilakukan, malah tempahan juga sudah dibuka lebih awal. Agak lama juga masa yang diambil oleh Volkswagen Malaysia untuk melepaskan model ini kepada pasaran tapi, ia mungkin boleh jadi sesuatu yang baik bagi pengguna, kerana apabila dilancarkan, ia terus dapat dipasang di dalam negara ini (CKD) dan sudah menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan. Dengan itu, harganya boleh jadi lebih menarik.

Daripada informasi yang didapati daripada pembukaan tempahan Passat B8 ini, harganya dikatakan akan berada di dalam lingkungan RM160,000 hingga RM199,000 untuk tiga varian iaitu 1.8 TSI Trendline, 1.8 TSI Comfortline dan 2.0 TSI Highline. Jika dibandingkan dengan Passat B7 sekarang, terdapat sedikit perbezaan (Passat B7 1.8 TSI CKD dijual pada harga RM174,817), manakala versi coupe empat pintu Passat CC 1.8 TSI Comfortline pula dijual pada harga RM234,967.

Kenapa CC juga perlu dimasukkan dalam perbandingan? Kerana daripada aspek gaya, selain bumbung belakang yang lebih menjunam pada CC, Passat B8 tetap nampak lebih menarik dengan rekaan baru ini.

volkswagen_passat_b8_ext-14-bm

Itu adalah perkara pertama yang penulis perasan sebaik keluar dari lapangan terbang Langkawi dan melangkah ke arah barisan Passat B8 yang tersedia untuk sesi pandu uji media. Jika mengikut ukuran, Passat B8 lebih pendek 2 mm, 12 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah berbanding Passat B7.

Sudah tentu, ini menjadikan Passat B8 nampak lebih tegap di atas jalan, tetapi rekaan yang diguna juga memainkan peranan. Boleh dilihat, lampu hadapan yang lebih leper, dengan terdapat kemasan krom yang menyambungkan lampu kiri dan kanan di tengah, berserta ‘garisan bahu’ yang lebih jelas menjadikan kenderaan ini bukan sahaja lebih garang, malah juga moden. Sekurang-kurangnya buat masa ini kerana ia adalah ‘muka’ yang baru.

Sepanjang sesi pandu uji di Langkawi ini, wakil media hanya diberi peluang untuk mendekati varian Comfortline dan Highline, walaubagaimanapun, ia dirasakan sudah mencukupi untuk membezakan kemampuan dua variasi enjin yang ditawarkan pada Passat B8 dan varian Trendline (tiada di situ) hanya kekurangan beberapa kelengkapan sahaja.

volkswagen_passat_b8_ext-7-bm

Bagi membezakan antara varian Trendline dan Comfortline, anda boleh melihat beberapa bahagian iaitu rim (‘Aragon‘ 16 inci pada Trendline dan ‘Istanbul’ 17 inci pada Comfortline), lampu utama (Comfortline menggunakan unit LED penuh bersama lampu siang LED) dan kemasan krom (pada Comfortline). Bahagian lain seperti lampu kabus hadapan dan belakang, lampu belakang LED dan cermin sisi yang boleh dilipat secara elektronik datang secara standard.

Kemudiannya, untuk varian Highline, anda boleh melihat perkara yang ada pada varian Comfortline ditambah dengan rim 18 inci ‘Dartford’ dan kemasan keliling ekzos pada bampar belakang krom. Kemasan ekzos ini sebenarnya sekadar gaya sahaja, dan apabila anda perhatikan dengan lebih dekat, ia tertutup dan muncung ekzos sebenar keluar ke arah bawah menghala ke permukaan jalan. Tetapi Volkswagen berjaya menyembunyikannya, dan walaupun anda mengikut rapat kenderaan ini dari belakang, anda tidak akan dapat melihat muncung ekzosnya.

Satu lagi perkara yang boleh membezakan antara varian 1.8 L dan 2.0 L adalah lencana di bahagian belakang kenderaan; 280 TSI pada varian 1.8 L (Trendline dan Comfortline) dan 380 TSI pada varian 2.0 L. Ini sebenarnya satu cara baru yang digunakan oleh Volkswagen untuk menjelaskan kemampuan tork setiap kenderaan. Varian 1.8 L mempunyai 250 Nm tork dan varian 2.0L mempunyai 350 Nm tork.

Masuk ke bahagian dalam, bahagian yang paling menarik perhatian penulis adalah garis kemasan krom dan hitam yang bersambung dari hujung ke hujung (cuma terputus di bahagian meter), menyerupai gril hadapan kenderaan ini. Selain membawa konsep gaya yang sama dari luar ke bahagian dalam, penulis juga menggemari bagaimana corong pendingin hawa bersepadu dengan kemasan ini. Pada Passat B7, tiada kemasan ini.

Kemudiannya, pada tingkat kedua papan pemuka, terdapat lagi kemasan yang bertujuan memberi kontras kepada bahagian yang kebanyakannya berwarna hitam. Varian Comfortline menggunakan kemasan berwarna kelabu dengan corak honeycomb halus manakala varian Highline pula menggunakan kemasan kayu berkilat. Pada pendapat penulis, kedua-duanya boleh menjadi lebih bagus untuk kenderaan pada tahap ini kerana jika melihat pada kemasan kayu tersebut, walaupun nampak elok, ia seperti tidak sempurna pula apabila terputus di bahagian panel tengah, dan diganti dengan warna hitam berkilat.

Bagi kemasan berwarna kelabu pada varian Comfortline pula, ia kelihatan terlalu biasa, kosong dan tidak memberikan rasa premium. Walaubagaimanapun dalam sekali imbas, sekurang-kurangnya ia masih lagi nampak sekata dengan panel tengah yang menggunakan warna sama, tetapi tidak mempunyai sebarang corak. Bahagian lain pula mempunyai ‘rasa’ biasa sebuah Volkswagen kerana banyak bahagian yang dikongsi bersama model lain seperti unit hiburan, tombol gear dan pengawal pendingin hawa.

Jika anda mempunyai sebuah Volkswagen semasa, dan masuk ke dalam kenderaan ini, rasanya masih akan sama. Yang baiknya, kualiti bahan yang digunakan tetap memuaskan dan menurut seorang wakil Volkswagen yang berada di sesi pandu uji ini, perkara ini diambil penting oleh Volkswagen Malaysia sehinggakan untuk varian Trendline Malaysia, mereka memilih bahan yang lebih berkualiti berbanding Trendline di Eropah. Di sana, varian Trendline menggunakan barang yang biasa kerana adalah model asas.

Ada satu lagi perkara yang boleh dihargai oleh pemilik Passat B8 varian 2.0 Highline, iaitu panel instrumen digital seperti yang digunakan pada kenderaan Audi. Meter ini memberikan kebebasan kepada anda untuk menetapkan paparan yang lebih digemari dan diperlukan, dan ia boleh berubah mengikut tetapan yang disediakan. Pengalaman penulis, meletakkan paparan navigasi di bahagian ini juga lebih memudahkan untuk dilihat berbanding jika dipaparkan pada konsol tengah.

Berhampiran tombol gear tengah juga anda boleh melihat terdapat butang pemula enjin untuk varian Comfortline dan juga Highline. Selain itu, butang brek kecemasan elektronik juga dialihkan ke bawah sedikit daripada tombol gear dan terletak lebih ke sisi penumpang hadapan. Mungkin ia dibawa terus daripada model panduan sebelah kiri tanpa sebarang perubahan dan penulis rasa, kedudukan pada model Passat B7 yang lebih dekat kepada pemandu adalah lebih baik.

Bagi Passat generasi baru ini, satu perkara penting yang diterap adalah penggunaan platform Modularer Querbaukasten (MQB) Volkswagen, yang turut digunakan untuk pelbagai kenderaan lain seperti Golf Mk7, Audi TT Mk3, Skoda Superb, Tiguan Mk2 dan Atlas (SUV tujuh tempat duduk) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Platform ini tidaklah seratus peratus sama, tetapi memberikan asas untuk sesebuah kenderaan pacuan roda hadapan enjin melintang (boleh juga digunakan untuk kenderaan pacuan empat roda). Selain itu, ia juga membolehkan beberapa bahagian lain dikongsi bersama antara model berlainan, sebagai contoh, mounting enjin.

Bagi Passat B8 ini, platform tersebut dipanjangkan untuk menghasilkan jarak roda tambahan sebanyak 79 mm berbanding Passat B7, menjadi 2,791 mm. Ini sekaligus memberikan lebih ruang kepada bahagian dalam, terutamanya pada bahagian kaki penumpang belakang. Walaupun bagi seorang dewasa yang berketinggian hampir 180 cm, kaki mereka masih boleh terletak santai di belakang dan keselesaan tambahan diberikan dengan adanya corong pendingin hawa belakang di bahagian tengah dan penghalang cahaya matahari untuk cermin belakang (varian Highline).

volkswagen_passat_b8_ext-35-bm

Pada hari pertama sesi pandu uji, penulis bermula dengan varian 2.0 TSI Highline. Varian ini menggunakan padanan enjin dan transmisi sama seperti Golf GTI Mk7 iaitu enjin empat silinder 2.0 liter TSI berkuasa 220 PS/ 350 Nm dan transmisi automatik klac berkembar DSG (basah) enam kelajuan. Diletakkan pula pada badan baru yang kini lebih ringan, pecutan yang terhasil memang mengujakan. Serius. Kereta ini memang laju. Walaupun badannya lebih besar, penulis kerap terfikir ia seperti Golf GTI versi sedan kerana badan yang besar tersebut seperti tidak terkesan apabila memecut, walhal, model Golf sedan sebenarnya adalah Jetta. Tapi Jetta tidak mempunyai semangat seperti ini.

Pakej harga dan kuasa ini jugalah yang boleh menjadikan Passat B8 sebagai kemungkinan untuk pengguna beralih arah daripada jenama lebih premium seperti BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class. Sebagai contoh, 318i F30 mempunyai harga hampir sama dan cuma mempunyai kuasa 136 hp dan 220 Nm hasil daripada enjin 1.5L, manakala C180 W205 pula RM30k lebih mahal dan sekadar mampu menghasilkan 156 hp dan 250 Nm daripada enjin 1.6L yang digunakan.

Walaupun merupakan sebuah kereta yang pantas, anda akan yakin memandunya termasuk sewaktu di selekoh kerana disokong oleh pelbagai sistem keselamatan seperti Electronic Stability Control (ESC) dan XDS electronic differential lock (boleh membrek roda sebelah dalam apabila mengambil selekoh dan melawan understeer) seperti model GTI.

Apabila dikerah secara agresif di atas jalan termasuk permukaan basah, boleh dilihat ada kalanya lampu ESC ini menyala, tetapi yang menariknya, anda tidak akan merasa campur tangan sistem ini secara ketara dan kereta akan terus dapat dikawal dengan mudah. Bermakna, tiada potongan kuasa atau brek secara mendadak yang dilakukan oleh sistem ini.

Varian 2.0L Highline ini juga dilengkapi dengan Dynamic Chassis Control (DCC) yang memberikan penyerapan aktif serta pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual).

volkswagen-passat-1-8-tsi-comfortline-bm-2

Dengan semangat seperti itu pada model 2.0L Highline, tidak bermakna pula varian 1.8L lesu. Sebaik memandu varian Comfortline pada hari kedua, penulis dapati ia mempunyai kuasa yang lebih padan dan masih menyenangkan dalam pelbagai keadaan termasuk mendaki bukit dan memotong. Enjin 1.8 TSI turbo dan padanan transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan yang digunakan mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 180 PS dan 250 Nm tork. Apabila dibandingkan dengan enjin 1.8L TSI pada Passat B7, ia mempunyai 20 PS lebih kuasa.

Walaupun terdapat kekurangan kuasa sebanyak 40 PS pada varian 1.8L ini jika dibandingkan dengan varian 2.0L, ia tetap lebih berkuasa berbanding dengan pesaing dalam segmen yang sama dari Jepun seperti Mazda6 2.0 SkyActiv-G (RM159,158, 153 hp), Toyota Camry 2.0G (RM160,176, 165 hp) dan Honda Accord 2.4 VTi-L (RM167,820, 173 hp). Cumanya, kereta-kereta ini mempunyai rekaan yang lebih ‘menyeronokkan’ dan tidak begitu serius seperti Passat B8).

Satu lagi perkara yang ada Passat B8 dan masih tidak dapat ditandingi oleh kereta Jepun dalam segmennya adalah rasa pengendalian mantap dan lekapan di atas jalan. Ini sudah menjadi kelebihan bagi kenderaan Eropah, termasuk dari Volkswagen dan rasa setiap kali kenderaan bergerak, melanggar bonggol dan mengambil selekoh itu tetap adalah berbeza.

Lihat berkenaan perincian tiga varian Volkswagen Passat B8 dalam artikel awal yang telah kami siarkan dan nantikan selanjutnya apabila kenderaan ini dilancarkan dalam masa beberapa jam sahaja lagi.

GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline

GALERI: Volkswagen Passat 1.8 TSI Comfortline

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required