Hyundai Grand Starex Royale facelift dilancarkan di M’sia – enjin dan transmisi kekal sama, RM168,888

img_0969

Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) hari ini mengumumkan MPV 12-tempat duduk Grand Starex Royale versi facelift kini secara rasmi mula menembusi pasaran Malaysia. Varian tertinggi Grand Starex Royale Deluxe 2.5GLS VGT untuk versi kemaskini ini dijual pada harga atas jalan dengan insuran RM168,888, berbanding Grand Starex Royale Premium sebelum ini yang dijual pada harga RM 161,439.80.

Perubahan ketara dilihat pada gril hadapan di mana Starex facelift ini menampilkan rekaan yang menyerupai Toyota Alphard. Gril berkenaan turut kelihatan seperti bersambung dengan liang kemasukan udara pada bahagian bampar dan memberikan bentuk X secara keseluruhan. Lampu kabus pada kedua-dua sisi bersama perumahnya juga direka semula bagi memadankan keseluruhan perubahan pada bahagian muka ini.

Pada bahagian sisi, Starex masih lagi mengekalkan cermin sisi dengan lampu nyalaan siang LED manakala roda aloinya berdiameter 16-inci pula diberikan rekaan baharu. Sementara bahagian belakang pula, lampu kombinasi Starex kini diberikan pelindung berwarna hitam, dan kelihatan seperti bersambung dengan panel sisi cermin belakang yang turut diberikan warna yang sama. Kemasan pada bahagian bawah bampar belakang juga dilihat berubah, menampilkan perumah ekzos dua tip palsu yang dikelilingi kemasan krom pada kedua-dua belah sisi.

Walau bagaimanapun, tiada perubahan dibuat pada unit janakuasa dimana Grand Starex Royale masih digerakkan enjin diesel 2.5 liter CRDi bersama suapan pengecas turbo dengan geometri bervariasi (VGT) dan unit intercooler, berkuasa 170PS pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 392 Nm bermula 2,000 hingga 2,500 rpm. Angka sebenar ini adalah bercanggah dengan jumlah tork yang dikatakan meningkat kepada 441 Nm, dipaparkan pada iklan dalam laman oto.my yang kami temui sebelum ini. Kuasa dari enjin juga masih lagi dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lima-kelajuan automatik.

Untuk keselamatan, Grand Starex Royale dilengkapi dua-beg udara, sistem brek dengan ABS dan EBD serta Program Stabiliti Elektronik (ESP). Ia juga turut diberikan kamera keselamatan pemanduan secara standard.

Tiga warna masih kekal dalam brosur Starex iaitu Creamy White, Timeless Black dan Hyper Silver. Waranti pengeluar selama lima-tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dahulu) serta bantuan tepi jalan 24-jam turut kekal diberikan kepada pelanggan dengan setiap pembelian MPV gergasi ini. Tempahan dan pandu uji akan dibuka untuk mereka yang berminat di semua bilik pameran Hyundai seluruh negara bermula Disember ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required