Hyundai Ioniq Hybrid dilancarkan; dua varian sebagai pilihan, pemasangan CKD – harga bermula RM100k

hyundai_ioniq_hevplus-16

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini memperkenalkan secara rasmi Hyundai Ioniq Hybrid, sebuah model hibrid pertama keluaran jenama itu untuk pasaran tempatan, yang sebelum ini sudah dibuka untuk tempahan. Merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah, ia ditawarkan di dalam dua varian – 1.6 (Auto) HEV dan 1.6 (Auto) HEV PLUS.

Lebih menarik ialah tanda harga yang ditawarkan bagi model ini; varian 1.6 (Auto) HEV dijual pada harga RM100,328, manakala varian 1.6 (Auto) HEV Plus pula dijual pada harga RM110,828. Kedua-duanya merupakan harga atas jalan (termasuk GST) dan tanpa insurans.

Hyundai Ioniq Hybrid adalah model yang menjadi pencabar secara langsung antaranya kepada Toyota Prius, dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder dengan janaan kuasa 105 PS pada 5,700 rpm dan tork maksimum 147 Nm pada 4,000 rpm.

Hyundai mendakwa enjin pembakaran dalaman (internal combustion) yang digunakan ini merupakan enjin dengan kecekapan haba paling tinggi di dunia pada kadar 40% – sama seperti yang dicapai oleh enjin pembakaran dalaman Toyota Prius generasi keempat terkini.

Enjin berkenaan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang. Keseluruhan kuasa yang mampu dijana oleh gabungan dua unit ini ialah 141 PS/265 Nm dan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar (DCT) enam-kelajuan.

Kotak gear DCT yang digunakannya juga menjadi satu kelebihan, berbanding pesaing keluaran Jepun yang lain, yang lebih cenderung menggunakan transmisi CVT. Menurut Hyundai, transmisi DCT ini lebih cekap; menggunakan rekaan komponen yang rendah geseran serta minyak berkelikatan rendah. Ia turut menampilkan mod pemanduan Sport dan juga Eco.

Motor elektrik pada Ioniq direka spesifik dengan kecekapan tinggi bertaraf dunia, termasuk komponen teras (kepingan logam elektrikal) yang lebih nipis sehingga 10% dan wayar tembaga pada bahagian segi empat untuk mengurangkan teras dan kehilangan haba. Motor tersebut juga membolehkan Ioniq bergerak secara elektrik sepenuhnya pada kelajuan mencapai 120 km/j.

Ia dibangun menggunakan platform yang khas untuk kereta hibrid. Komponen yang digunakan juga bertujuan untuk mengurangkan berat keseluruhannya, antaranya bonet dan pintu tailgate aluminium; ia 12.4 kg lebih ringan jika dibandingkan dengan versi logam.

Material untuk membina komponen suspensi juga banyak menggunakan aluminium dan berhasil mengurangkan berat sebanyak 10 kg, termasuk lengan bawah hadapan yang 4.6 kg lebih ringan dan lengan bawah belakang yang 7.14 kg lebih ringan. Penutup kargo pada Ioniq ini juga 25% lebih ringan berbanding model Hyundai lain.

Ioniq tampil dengan gaya futuristik yang menawan, terutama bagi varian HEV Plus. Dari sudut luaran, ia dilengkapi dengan ciri utama HID Bi-Xenon serta lampu nyalaan siang LED.Bahagian grilnya pula bukan kosong; ia menempatkan sensor bagi ciri keselamatan seperti AEB dan juga SCC, seperti yang dijelaskan di bawah.

Bagi ruang dalaman , antara ciri menarik yang melengkapinya ialah penggunaan kluster meter TFT-LCD definisi tinggi serta talaan tempat duduk 10-posisi. Selain itu, ciri pengecas telefon pintar tanpa wayar (bagi telefon yang didatangkan dengan ciri ini) turut tersedia, selain kawalan pendingin hawa Dual-Zone Climate Control.

Sebagai sebuah kereta hibrid, ia mempunyai aspek aerodinamik yang begitu baik, pada bacaan 0.24 Cd. Purata penggunaan bahan apinya pula ialah pada kadar 3.4 liter bagi setiap 100 km.

Senarai ciri keselamatannya juga sangat mengkagumkan, apatah lagi jika mengambil kira tanda harga yang ditawarkan. Antara yang melengkapinya ialah tujuh beg udara, Lane Keeping Assist System (LKAS), Autonomous Emergency Breaking (AEB), Blind Spot Detection (BSD) serta Smart Cruise Control (SCC).

Senarai berkenaan sebetulnya adalah ciri-ciri tambahan kepada ciri keselamatan sedia ada dan ditawarkan sebagai standard seperti berikut; Anti-Lock Brake System (ABS), Brake Assist System (BAS), Hill-Start Assist Control (HAS), Electronic Stability Control (ESC) dan Vehicle Stability Management (VSM).

Hyundai Ioniq Hybrid di datangkan dengan pakej perlindungan Care Plus, yang merangkumi jaminan kenderaan selama lima tahun atau 300,000 km; jaminan bateri selama lapan tahun tanpa had perbatuan, servise percuma selama tiga tahun atau 60,000 km; insurans Guaranteed Automotive Protection (GAP) selama tiga tahun dan kadar faedah serendah 2.28%.

Untuk mengetahui spesifikasi dan perincian lebih lanjut bagi Hyundai Ioniq ini, layari juga laman Carbase.my.

Hyundai Ioniq HEV Plus

Hyundai Ioniq HEV

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required