Selepas diumumkan hampir sebulan lalu oleh pengeluarnya, model Kawasaki Versys-X 250 2017 kini diperkenalkan untuk pasaran Indonesia. Dijual dalam dua varian – Versys-X 250 City dan Tourer – harga yang dipamerkan di sana masing-masing ialah 61,900,000 rupiah (RM20,397) dan 72,700,000 rupiah (RM23,956).
Kedua-duanya membawakan gaya sebuah jentera dual-purpose, dengan dilengkapi enjin 249 cc berkembar selari, DOHC lapan injap dengan sejukan cecair. Tiada maklumat berkaitan output yang diumumkan setakat ini, namun kemungkinan besar ia diasaskan pada enjin sama yang digunakan pada model Ninja 250R; dengan janaan kuasa sekitar 29.9 hp pada 10,500 rpm dan 21.7 Nm tork pada 10,000 rpm.
Saluran minyak adalah melalui sistem EFI, dengan transmisi enam kelajuan yang menggunakan slipper clutch. Rim pula bersaiz 19 inci di depan, manakala 17 inci di belakang. Brek pula menggunakan cakera tunggal 290 mm di bahagian depan dan 220 mm di belakang, dengan kaliper hidraulik Nissin. Kapasiti tangki minyak yang ada ialah 17 liter.
Fork depan adalah dari jenis teleskopik 41 mm, yang digandingkan dengan penyerap hentak Kawasaki Uni-Trak tunggal di belakang. Bagi versi Tourer, ia dilengkapi dengan aksosori penghadang serta lampu tunggangan tambahan, serta kotak barangan.
Setakat yang diketahui daripada penawaran di Indonesia, terdapat empat warna sebagai pilihan; Candy Lime Green/Metallic Graphite Gray dan Candy Burnt Orange/Metallic Graphite Gray bagi versi Tourer manakala Candy Lime Green/Metallic Graphite Gray dan Metallic Graphite Gray/Flat Ebony untuk versi City.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.