Perodua jual 167k kenderaan dalam 10 bulan pertama 2016 – Axia paling laris, jumlah jualan menurun tetapi khidmat selepas jualan meningkat, sasaran 216k kekal

perodua-hatyai

Bermula dari awal tahun 2016, Perodua telah menetapkan sasaran untuk menjual sebanyak 216,000 unit kenderaan, dan memasuki bulan Julai, syarikat tersebut mengumumkan sasaran tersebut dikekalkan, meskipun keadaan ekonomi dan industri automotif sedikit merudum. Sekarang, dengan hanya tinggal satu bulan sahaja lagi, Perodua perlu bekerja keras untuk mencapainya.

Sehingga bulan Oktober 2016, Perodua berjaya menjual 167,000 buah kenderaan, dan 44.2 peratus terdiri daripada model Axia (paling tinggi adalah varian G), diikuti Myvi 24.9 peratus, Alza 17.3 peratus dan Bezza 13.6 peratus. Bagi Bezza yang merupakan model terkini Perodua, 22,000 unit telah berjaya diserahkan kepada pelanggan dan tempoh menunggunya terletak dalam sekitar dua minggu sahaja.

Perodua telah membuktikan orang ramai tidak perlu risau kerana selain kilang utama di Sg Choh yang mengeluarkan Myvi dan Alza, mereka juga mempunyai kilang yang baru dirasmikan awal tahun ini, iaitu Perodua Global Manufacturing Plant Sdn Bhd (PGMSB) yang terletak bertentangan, untuk pengeluaran Axia dan Bezza, dan kilang berasingan untuk enjin dan transmisi di Sendayan.

Bagi kilang PGMSB, 250,000 buah kenderaan berjaya dikeluarkan, sejak ia mula beroperasi Ogos 2014 yang lalu dan 85 peratus daripadanya terdiri daripada Axia manakala selebihnya adalah Bezza. Secara keseluruhannya, PGMSB mampu mengeluarkan sebanyak 200,000 unit kenderaan dalam masa satu tahun, dengan pelaksanaan dua kitaran kerja (two shift cycle).

PGM-Opening-1_BM

Berkenaan pendaftaran pula, dari Januari hingga November 2016, Perodua berjaya mencatat sebanyak 182,000 unit, walaubagaimanapun, jumlah ini adalah 4.8 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu. Jumlah jualan ini datang daripada 251,546 tempahan yang diterima (peningkatan 4 peratus untuk tempahan), dan selebihnya ditolak kerana masalah seperti pinjaman yang tidak diluluskan.

Walaupun jumlah jualan lebih rendah berbanding tahun lalu, Perodua berjaya menunjukkan peningkatan di bahagian servis selepas jualan. Sehingga bulan Oktober 2016, 1.7 juta kenderaan masuk ke pusat servis Perodua dan jumlah ini adalah 3 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Turut meningkat adalah jumlah kenderaan yang kembali walaupun tempoh jaminan sudah tamat.

Pada masa hadapan, Perodua akan mengukuhkan lagi bahagian ini, selain kedatangan semula kenderaan yang sudah tamat jaminan, turut diberikan perhatian adalah ProGanti, yang jumlah sebanyak 14 alat ganti di dalam senarai tersebut akan ditambah.

ProGanti_BM

Selain itu, menurut presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, syarikat juga melihat terdapat peluang di Sabah dan Sarawak, di mana sekarang bahagian itu hanya menyumbang di antara 14 hingga 15 peratus sahaja daripada jumlah jualan keseluruhan Perodua. Bagi dua negeri itu, model yang popular adalah yang bertransmisi manual (90 peratus kenderaan manual Perodua dijual ke Sabah dan Sarawak).

Antara langkah yang telah diambil oleh Perodua untuk dua negeri itu adalah harga kenderaan berjaya disamakan untuk seluruh bahagian dalam negeri itu (sebelum ini harga tidak sama untuk daerah tertentu), walaubagaimanapun masih ada perbezaan jika dibandingkan dengan harga di Semenanjung kerana kos logistik. Perodua juga ada menyediakan khidmat servis bergerak bagi tempat yang tidak mempunyai pusat servis dan jumlahnya akan ditambah.

Bagi pasaran eksport pula, Aminar turut memberitahu masih banyak kerja yang perlu dilakukan kerana jumlahnya masih terlalu sedikit iaitu sekitar 4,600 unit untuk tahun 2016 (pada tahun 2015 4,400 unit). Selain pasaran yang aktif sekarang iaitu Afrika, Singapura, Indonesia, Brunei, Fiji, Sri Lanka dan Mauritius, Perodua juga sedang melihat kepada negara lain yang buat masa ini tidak dinamakan atas sebab-sebab tertentu.

Berbalik kepada sasaran jualan pada tahun ini, Perodua akan cuba untuk mencapainya, dengan pelbagai promosi dan antara yang paling utama adalah diskaun sehingga RM5,000 untuk model terpilih hanya untuk bulan Disember ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Alson P on Dec 05, 2016 at 3:15 am

    Target 216k mungkin tidak tercapai, hanya tinggal sebulan untuk penyerahan kepada pembeli berbaki hampir 40k unit lagi..

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required