PANDU UJI: Toyota Innova 2.0G – ciri lebih premium; mampukah ia menjadi MPV popular di Malaysia?

toyota-innova-2-0-g-at-3_bm

Sebelum ini, Toyota Innova bukanlah sebuah MPV yang begitu popular di Malaysia sejak kedatangannya ke negara ini sedekad yang lalu iaitu bagi menggantikan model Toyota Unser. Mungkin lebih ramai yang cenderung memilih MPV yang bersaiz lebih kecil (dengan harga yang lebih murah, pastinya) seperti Toyota Avanza, Nissan Grand Livina, Perodua Alza dan Proton Exora. Jika yang lebih berkemampuan, mungkin lebih tertarik untuk memilih abangnya yang bersifat mewah iaitu Toyota Alphard dan Toyota Vellfire.

Mungkin ada yang berpendapat, Innova generasi pertama dan beberapa model facelift, tidak begitu menarik perhatian. Malah ada juga yang menyifatkan harganya agak mahal. Macam-macamlah tangapan itu ini, begitu begini.

Namun kehadiran model Innova baharu generasi kedua ke Malaysia yang dilancarkan petang tadi dengan membawakan sejumlah perubahan termasuk imej yang lebih premium, memungkinkah ia akan mengubah anggapan bahawa MPV ini lebih berketerampilan.

Ia hadir dengan tiga varian iaitu 2.0E MT, 2.0E AT dan model spesifikasi tertinggi 2.0G AT. Ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans sebanyak RM105,764.31 untuk 2.0E MT, manakala 2.0E AT pula RM113,543.83 dan 2.0G AT pula RM122,323.35. Kesemua model turut ditawarkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad.

Walau pun harganya dilihat agak tinggi berbanding versi terdahulu, namun difahamkan, penawarannya juga ada lebih nilai tambahan, dan Toyota mengesahkan hanya 5% komponen yang dikongsi dengan model lamanya.

Pada Khamis lalu, iaitu beberapa hari sebelum pelancaran rasminya, UMW Toyota Motor telah memberikan peluang kepada media permotoran tempatan untuk memandu ujinya. Walau pun pemanduan hanya setakat pergi-balik dari Shah Alam ke Banting, dan bergilir-gilir dengan Gerard Lye (paultan.org) dan Jason Chung (paultan.org/cn), sedikit ulasan ini khas memberikan gambaran awal mengenai Innova baharu.

Kami telah diberi peluang untuk menguji varian 2.0G AT menuju ke Banting, malahan kembali semula ke ibu pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam dengan memandu model terdahulu yang sama varian. Secara tidak langsung, kami dapat merasai dan membezakan prestasi dan keselesaan model facelift generasi pertama dan model baharu bagi generasi kedua ini.

20161201_0931

Bagi penjana kuasanya, ia dilengkapi dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat-silinder DOHC dengan Dual VVT-i, yang mampu menghamburkan kuasa 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm iaitu lebih tiga PS dan satu Nm berbanding sebelum ini. Untuk varian automatik, ia ditampilkan dengan transmisi baharu bersama enam-kelajuan, bagi menggantikan kotak gear empat-kelajuan. Manakala varian manual masih kekal sama dengan lima-kelajuan.

Jadi, anda rasa prestasi Innova baharu pastinya lebih memberangsangkan berbanding yang lama? Secara amnya, ya walau pun jurang perbezaan hamburan kuasanya tidaklah begitu jauh tetapi ia agak mempengaruhi.

Penjana kuasa ini memang mampu memberikan respons yang agak pantas, namun memandangkan Innova baharu ini agak berat iaitu sekitar 1,720 kg (100 kg lebih berat berbanding model terdahulu), enjinnya terasa agak berhempas-pulas untuk memuntahkan kuasa sebelum ia mencapai angka pecutan yang dikehendaki.

Kuasa yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi baharu automatik enam-kelajuan (bagi varian 2.0G dan 2.0E AT) dengan penganjak berjujukan (sequential shifter) dilihat membantu enjin memberikan prestasi yang lebih memuaskan.

toyota-innova-dynamic-3

Dengan gabungan penjana kuasa baharu ini, Innova ini juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 16.44 saat berbanding 16.90 saat bagi model sebelumnya.

Innova turut didatangkan dengan tiga suis mod pemanduan “Normal” untuk pemanduan biasa yang mengimbangi prestasi dan penjimatan bahan api, “ECO” bagi mengurangkan penggunaan kuasa bergantung pada pendikitan dan mengoptimakan penyejukan penghawa dingin, serta “Power” bagi mempertingkatkan kuasa mendikit untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan.

Selain itu, keselesaan pemanduan bagi Innova baharu ini lebih memuaskan, justeru soal enjin yang dirasakan perlu berhempas pulas memuntahkan kuasa yang dikehendaki, dapat diketepikan seketika. Namun jika muatan di dalamnya agak penuh dengan penumpang mahu pun sarat dengan barangan, soal ‘kudrat’ enjin mungkin cukup ditagih.

Berbanding dengan Innova generasi terdahulu, biar pun dengan kotak gear konvensional automatik, enjinnya dirasa lebih senang memberikan pacuan yang dikehendaki. Bagi penulis, ini bukan sangat dipengaruhi oleh enjin, tetapi kerana beratnya yang kurang 100 kg berbanding baharu menjadi antara alasan utama. Tetapi soal keselesaan pengendaliannya, hampir 50% ‘kurang selesa’ berbanding mengendalikan Innova baharu ini.

toyota-innova-2-0-g-at-30_bm

Jika enjin tidak perlu untuk dikerah, bukan setakat pengendalinnya terasa lebih selesa, malah bunyi bising dari luar (termasuk bunyi enjin, angin, tayar dan sebagainya) juga kurang kedengaran. Penambahan penebat bunyi bagi kabin Innova baharu antara penyebab bunyi dari luar mampu dikurangkan daripada menyerap masuk ke dalam kabin.

Toyota mendakwa Innova baharu ini telah dipertingkatkan kesenyapan sebanyak 2.1 dB berbanding model terdahulu apabila MPV ini dipacu antara 60-80 km/j (kelajuan biasa).

Walau bagaimana pun, bagi penulis, prestasi kuasa pada Innova baharu ini memadai kerana ia sebuah MPV. Dan sifat MPV yang tidak sesuai dengan pemanduan agresif. Jadi pemanduan sederhana lebih bersesuaian terutamanya jika membawa keluarga.

Satu lagi poin utama yang perlu dipandang serius ialah, Toyota mendakwa, dengan enjin baharu ini, ia dapat memberikan penjimatan bahan api sebanyak 18% iaitu sekitar 9.4 l/100 km (berbanding 10.7 l/100 km pada model terdahulu, untuk manual dan automatik pula lebih kurang 9.1 l/100 km (berbanding 11.2 l/100 km).

20161201_0548

Bagi Innova generasi baharu ini, ia memang cukup dipengaruhi oleh trak pikap Hilux terkini, dengan ladder frame dengan platform pacuan roda-belakang. Malahan ia turut membuatkan kerangkanya lebih tegar selain 66 tambahan bagi spot weld serta diperkukuhkan lagi setiap tiang utamanya termasuk rel sisinya yang dibesarkan sedikit sebanyak 20 mm. Selain itu, beberapa seksyen badan turut menerima binaan keluli ketahanan tinggi bagi mempertingkatkan lagi ketegaran struktur kerangkanya.

Sistem suspensinya juga adalah baharu, ia menggandingkan Double Wishbone untuk hadapan dan multilink di belakang. Sekali gus membantu memberikan kestabilan yang lebih optimum. Malah ia juga disifatkan memberikan redaman yang lebih lancar pada kelajuan sederhana dan tinggi. Bukan itu sahaja, suspensi belakang juga telah dipertingkatkan dengan padanan penyerap hentak yang lebih besar.

Cuma apabila duduk di barisan ketiga, terasa bumpy juga terutamanya jika MPV ini dipandu laju atau melalui permukaan jalan yang beralun atau berselekoh. Tetapi ini memang antara sifat MPV. Jika anda seorang yang mudah terkena motion sickness, elakkan duduk di tempat duduk barisan ketiga.

toyota-innova-2-0-g-at-13_bm

Mengendalikan Innova ini sebenarnya tidaklah sukar biar pun ia bersaiz besar. Malah berbanding dengan model sebelumnya, Innova baharu ini lebih panjang sebanyak 150 mm (4,735 mm), 55 mm lebih lebar (1,830 mm) dan 35 mm lebih tinggi (1,795 mm). Jarak rodanya pula tidak berubah iaitu 2,750 mm. Malah jejari pusingannya juga masih kekal pada 5.4 meter, tidak sukar untuk membuat pusingan U.

Secara konklusinya bagi sudut prestasi dan pengendaliannya, Innova baharu ini berada di tahap sederhana. Seperti mana yang telah dimaklumkan, dengan enjin petrol berkapasiti 2.0 liter, hamburan kuasanya sekadar memadai. Pastinya ia bukanlah sehebat Innova baharu di pasaran Indonesia yang turut hadir dengan enjin diesel 2.4 liter atau pun 2.8L turbodiesel di Filipina.

Untuk keselamatan, Innova 2.0G dilengkapi dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan dan dua cagak Isofix sebagai standard. Ia juga menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Manakala varian 2.0E AT dan 2.0E MT pula hanya ditampilkan dengan tiga beg udara, ABS dan Isofix.

Imej luarannya juga telah dipertingkatkan, membuatkan ia setanding dengan paras rupa abangnya, Hilux dan Fortuner yang kelihatan sedikit garang. Kesemua varian dilengkapi dengan lampu utama halogen multi-reflector (dengan fungsi Follow Me Home dan auto on/off) dan pelarasan manual. Selain itu, ia turut didatangkan dengan lampu nyalaan siang standard, rim aloi 16-inci yang dibaluti tayar 205/65R16 dan spoiler belakang.

Bagi varian 2.0G, elemen tambahan turut ditampilkan bagi memberikan imej yang lebih premium termasuklah lampu kabus hadapan/belakang (varian 2.0E AT dan MT hanya ada lampu kabus belakang), gril radiator krom dengan warna hitam dan perak, cermin sisi berkuasa boleh laras dengan lampu isyarat membelok dan Puddle Lamp, pintu belakang berkuasa Easy Closer dan pemegang pintu krom.

Memasuki kabin 2.0G, penulis terpana seketika melihat kekemasan terutamanya panel pintunya dengan material fabrik yang lembut. Selain itu, bentangan papan pemukanya juga lebih kemas dan dihiasi elemen kayuan dan perak.

Selain itu, model spesifikasi tertinggi ini juga dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci, dengan butang penghidup enjin, meter Optitron, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pencahayaan bumbung LED serta penghawa dingin automatik (manual untuk 2.0E AT/MT) hadapan dan belakang.

Ia turut menampilkan perehat lengan, cupholder, ruang barangan di konsol tengah serta meja boleh lipat di bahagian penyandar kerusi bagi tempat duduk barisan yang mampu menampung berat barangan sehingga 10 kg. Selain itu, ia juga menampilkan dua power outlet iaitu di bahagian hadapan dan di tengah yang turut memudahkan pengecasan peranti termasuk telefon bimbit.

Innova ini turut didatangkan dengan pakej tambahan bernilai RM3,169.40 iaitu bagi paparan sesentuh kapasitif lapan-inci berserta sistem DVD-AVN (yang boleh disambung pada Bluetooth, HDMI, USB dan lain-lain) dan juga nagivasi. Selain itu, ia turut menawarkan pilihan bagi sistem DVD-AVX sahaja dengan kos tambahan RM2,109.40.

Ketiga-tiga varian juga hadir dengan tempat duduk balutan fabrik bentangan 2-3-3 dengan barisan kedua boleh lipat 60:40 dan barisan ketiga 50:50. Untuk ruang kaki dan ruang kepala di barisan kedua, pastinya lebih selesa dan agak luas. Manakala di barisan ketiga pula, ruang kaki dan ruang kepala tidak seluas di barisan kedua tetapi sesuai untuk individu yang berketinggian di bawah 170 cm dan lebih selesa jika hanya melibatkan dua penumpang dewasa sahaja.

Mengenai keluasan kedua-dua barisan tersebut, sekiranya tempat duduk dilipat, pastinya memberikan lebihan ruang, berbanding hanya 300 liter sekiranya ia berada dalam konfigurasi normal. malahan tempat duduk dua barisan tersebut juga mudah untuk dilipat dan dikembalikan dalam keadaan normal, dengan operasi satu-sentuhan yang disediakan. Malah jika tempat duduk barisan ketiga dilipat dan ditolak ke sisi, ada cangkuk pengikat disediakan bagi mengelakkan ia terjatuh ke posisi asal.

Innova baharu ini ditawarkan dengan enam pilihan warna menarik iaitu Super White, Silver Metallic, Medium Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black Mica dan Avant-garde Bronze Metallic.

toyota-innova-2-0-g-at-5_bm

Jadi, adakah Innova baharu ini menjadi MPV yang berprestij berdasarkan dakwaan Toyota sendiri? Secara lahiriahnya, ya mampu kerana menampilkan pelbagai ciri premium dan lebih menarik berbanding sebelum ini. Malahan harganya juga lebih mampu milik berbanding model pesaingnya seperti Nissan Serena S-Hybrid (dari RM143,063) dan Mazda Biante (dari RM145,718).

Konklusi mengenai Innova baharu yang boleh dirangkumkan – ia lebih selesa, pengendaliannya lebih optimum, ruang dalamannya lebih besar, imej yang lebih menarik dan menawarkan pelbagai elemen lebih premium. Hanya satu kelemahan yang sangat dikenalpasti, kelemahan daripada segi prestasi enjinnya dengan limpahan kuasa yang sederhana bagi ‘memacu’ MPV ini yang terasa agak berat.

Selebihnya, Innova merupakan MPV yang wajar untuk dipertimbangkan terutamanya bagi anda yang berkeluarga. Dan jika anda memilih Innova baharu ini, pastinya varian 2.0G lebih berbaloi memandangkan varian 2.0E kurang elemen keselamatan dan ‘kosong’ sahaja berbanding lebih banyak ciri premium pada model spesifikasi penuh itu.

GALERI: Toyota Innova 2.0G AT

GALERI: Toyota Innova 2.0E AT

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Guest on Dec 23, 2016 at 12:45 am

    Apakah sebab pertambahan berat sebanyak 100kg bagi Innova baru? Rasanya terlalu tinggi. Ada tak toyota beri alasannya?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Reka bentuk dalaman Innova sangat memukau namun reka bentuk luaran MPV ini menyebabkan hasrat saya memiliki Innova model terkini terhenti. Sepatutnya, wajah luaran Innova ini lebih menggoda berbanding model Innova terdahulu untuk ia kekal bersaing dengan pengeluar MPV lain yang bijak menggoda hati pengguna dengan penampilan rupa paras luaran di samping menjanjikan prestasi yang setimpal serta harga yang mampu milik bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Saya berharap Innova generasi akan datang akan tampil lebih memikat serta lebih hebat.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 10
  • din uncle on Aug 10, 2017 at 5:56 pm

    semua dah cantik,tapi lampu belakang yang tirus tu,tak berapa sesuai,

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required