Honda MSX125 dilancarkan di Malaysia – RM11,128

Honda MSX125 dilancarkan di Malaysia – RM11,128

Boon Siew Honda menambah barisan model sedia adanya dengan sebuah ‘mini-moto’ untuk pasaran Malaysia, iaitu model MSX125 atau juga dikenali sebagai Grom. Ketibaan model ini sekaligus memberikan saingan terus kepada Kawasaki Z125 Pro dan Benelli TnT135 yang baru dilancarkan awal minggu ini.

MSX125 yang dibawa ke Malaysia ini adalah model facelift terbaru yang sudah diperkenalkan di Thailand awal tahun ini, melihatkan penggunaan gaya badan lebih moden bersama lampu hadapan LED dua baris dan lampu belakang juga LED. Pada bahagian meter pula, unit yang digunakan adalah jenis LCD, dan mempunyai pelbagai informasi.

Honda MSX125 dikuasakan oleh enjin satu silinder 125 cc SOHC berpenyejukan udara dan dipadankan bersama transmisi empat kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 9.7 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm tork pada 5,250 rpm. Tangki minyak yang disediakan adalah berkapasiti 5.7 liter dan tugas memastikan penggunaannya cekap dilaksana sistem suntikan bahan api PGM-FI.

Walaupun mungkin ada yang mengatakan jumlah kuasa ini tidak seberapa, ia dianggap mencukupi untuk badan kecil MSX125 seberat 103 kg ini dan menawarkan tunggangan yang lincah dan serba mudah. Ukuran motosikal ini adalah 1,755 mm panjang, 730 mm lebar dan 1,000 mm tinggi. Jarak di antara roda pula adalah 1,200 mm.

Bagi memberikan serapan yang lebih mantap, MSX125 menggunakan fork hadapan jenis terbalik 31 mm manakala di belakang pula terdapat monoshock yang dipasang pada lengan ayun. Melengkapinya adalah rim aloi 12 inci dan dipasang dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Brek pula adalah set cakera 220 mm dan angkup dua piston di hadapan dan cakera 190 mm dan angkup satu piston di belakang. Tiada sistem ABS untuk unit pasaran Malaysia buat masa ini.

Honda MSX125 dijual pada harga RM11,128.94 (termasuk GST, tanpa insurans) bersama jaminan selama dua tahun atau 20,000 km dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Hyper Yellow dan Burning Red. Sebagai perbandingan, pesaingnya, Kawasaki Z125 Pro dijual di Malaysia pada harga RM10,435 (termasuk GST, tanpa insurans), manakala Benelli TnT135 pula RM8,469 (termasuk GST, tanpa insurans).

Kami akan menyediakan anda dengan lebih banyak gambar sebenar MSX125 sebaik berpeluang mendekatinya di Litar Sepang petang nanti.

GALERI: Honda MSX125 di Litar Sepang

GALERI: Honda MSX125 di Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required