Borneo Safari International Offroad Challenge 2016 – Mitsubishi Triton lepasi ujian getir tanpa masalah

Borneo Safari International Offroad Challenge 2016 – Mitsubishi Triton lepasi ujian getir tanpa masalah

Sebagai kanak-kanak yang membesar pada era 90’an dan sangat meminati apa jua yang beroda empat, siri penjelajahan 4×4 ‘Camel Trophy’ merupakan antara rancangan televisyen yang sangat saya gemari. Sudah tentu, untuk menyertai penjelajahan sedemikian merupakan impian kanak-kanak saya sejak itu.

Namun tahukah anda, Malaysia yang kaya dengan hutan hujan tropika sebenarnya merupakan tumpuan penggemar 4×4 dari seluruh dunia dan kita mempunyai siri-siri penjelajahan yang agak mencabar. Borneo Safari International Off-Road Challange yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990 merupakan antara yang terbaik di Malaysia, malahan ia turut diiktiraf sebagai yang paling mencabar di Asia Tenggara.

Saya berpeluang untuk menyertai Borneo Safari edisi ke-26 yang berlangsung tahun ini. Ini merupakan kali kedua saya menyertainya (kali pertama pada tahun 2012) tetapi pertama kali bersama dengan pasukan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan berpeluang untuk memandu trak pikap Mitsubishi Triton sepanjang ekspedisi ini.

Untuk MMM pula, edisi kali ini juga merupakan yang kedua bagi mereka. Tahun lalu, MMM mempertaruhkan dua buah Triton VGT Turbo, dan kedua-dua berjaya menamatkan ekspedisi berkenaan dengan jayanya. September lalu, MMM telah melancarkan Triton versi dipertingkat, dijana dengan enjin 2.4 liter MIVEC Turbo yang lebih berkuasa.

Selain dari rakan-rakan dari media lain, pasukan MMM untuk Borneo Safari 2016 juga disertai oleh Akina Teo serta drifter dan atlit sukan permotoran tempatan – Leona Chin.

Sebelum ini, kami telah pun menguji sejauh mana kecekapan bahan api dan prestasi enjin baharu berkenaan berbanding enjin terdahulu. Pada Borneo Safari 2016 ini pula, ia merupakan medan terbaik bagi saya untuk menguji kemampuan Triton tersebut sebagai sebuah trak pikap 4×4 di ‘habitat’ sebenarnya.

Dua buah Triton MIVEC Turbodiesel (dengan transmisi manual dan transmisi automatik) telah disediakan untuk menyertai dua buah Triton VGT Turbodiesel (juga dengan versi manual dan automatik) terdahulu untuk pengembaraan tahun ini. Untuk membezakan kedua-duanya, model VGT Turbo sebelum ini masih mengekalkan celoreng hijau-hitam pada keseluruhan badannya, dan model baharu MIVEC Turbodiesel diberikan celoreng merah-hitam.

Oleh kerana laluan ekspedisi Borneo Safari ini diklasifikasikan sebagai hardcore, kesemua Triton yang disediakan perlu dilakukan pengubahsuaian. Badan kesemua Triton ini telah ‘diangkat’ dari casis sebanyak dua-inci dengan spacer bagi mendapatkan kelegaan tanah yang lebih tinggi. Ia juga menerima perisai-perisai disekeliling badan yang terdiri dari bampar hadapan keluli, bar-bar perlindungan di bahagian sisi dan belakang serta lampu-lampu sorot dan light bar tambahan.

Keempat-empat Triton ini juga menerima suspensi yang dikhaskan untuk kegunaan off-road, serta tayar-tayar M/T yang ekstrem dari Giti Tyres (tayar-tayar seperti ini biasanya tidak boleh dibeli terus dari kedai dan perlu dibeli terus dari pengedar secara ‘bulk’ menerusi kelab-kelab 4×4). Unit snorkel juga diberikan bagi memastikan kesemua Triton ini boleh ‘menyelam’ dengan selamat ketika meredah sungai.

Satu lagi senjata wajib untuk ekspedisi laluan extra hardcore Borneo Safari ini adalah unit winch. Kesemua Triton MMM ini menerima winch elektrik bagi memastikannya boleh melepaskan diri ketika tersangkut pada permukaan tanah liat yang teruk.

Walau bagaimanapun, enjin dan transmisi kesemua Triton ini adalah standard tanpa sebarang pengubahsuaian kerana ianya sudah lebih dari cukup untuk pengembaraan ini. Model lama VGT turbo dijana oleh enjin 2.5 liter Turbodiesel DI-D berkuasa 178 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 400 Nm pada 2,000 rpm. Manakala untuk model versi dipertingkat pula, ia dijana oleh enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel berkuasa 181 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2,500 rpm.

Untuk transmisi automatik, kedua-dua enjin lama dan baharu menggunakan kotak gear lima-kelajuan yang sama (dengan mod penukaran manual). Tetapi untuk versi manual pula, enjin 2.5 DI-D lama dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan, manakala untuk MIVEC Turbodiesel 2.4 liter pula menerima kotak gear enam-kelajuan baharu.

Borneo Safari International Offroad Challenge 2016 – Mitsubishi Triton lepasi ujian getir tanpa masalah

Pengembaraan sejauh lebih 400 km ini mengambil masa selama lapan hari. Upacara flag-off dilakukan di hadapan bangunan Sabah Tourism Board yang terletak di Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada 30 Oktober. Lebih dari 450 jentera 4×4 akan bermula di sini. Untuk pengetuahuan anda, ekspedisi ini bukan sekadar pengembaraan, ada juga sebahagian kenderaan yang menyertai Borneo Safari sebagai ‘competitor’ yang akan berlumba secara ‘time-trial’ pada Special Stage (SS) yang disediakan sepanjang perjalanan.

Sebaik dilepaskan, kami menuju ke SS pertama yang terletak di Tuaran sebelum memulakan perjalanan diatas permukaan jalan tar berliku mendaki bukit ke Ranau melalui jalan Tamparuli-Pekan Nabalu-Pekan Ranau. Memandu jentera sebenar yang diubahsuai untuk kegunaan off-road pada permukaan jalan tar bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Tayar M/T ekstrem yang sangat berat membuatkan trak pikap ini agak malas ketika mula bergerak. Malah bunga tayar yang begitu kasar membuatkan kereta bergegar ketika dipandu perlahan sekitar 20 km/j.

Tetapi apa yang saya perasan, model baharu yang dipertingkat mempunyai kadar NVH yang sememangya lebih baik. Pada model VGT 2.5 liter, bukan sahaja bunyi tayar yang masuk ke dalam kabin, malah bunyi ngauman enjin turut kedengaran. Ini berbeza dengan model 2.4 liter MIVEC di mana hanya bunyi berdengung dari bunga tayar yang kasar didengari ketika memandu di atas jalan raya berturap.

Perjalanan off-road kami bermula di Ranau, untuk menuju ke tapak perkhemahan hari pertama yang terletak di Kampung Tibabar. Walaupun laluan hari pertama ini hanya melibatkan jalan permukaan tanah bercampur batu kerikil, kami terpaksa juga untuk menyeberang dua batang sungai tanpa jambatan untuk sampai ke destinasi.

Hari kedua, perjalanan off-road adalah sedikit mencabar melibatkan pendakian berberapa bukit tinggi dengan permukaan tanah liat dan lecak, serts sudah pasti menyeberang lagi berberapa batang sungai tanpa jambatan sebelum sampai ke tapak perkhemahan hari kedua di Kampung Garung, Kota Marudu.

Pemanduan hari kedua ini sudah mula membuatkan kami teruja dengan talaan-talaan off-road yang diberikan pada Triton-Triton ini. Ketika memandu Triton VGT 2.5 manual, saya kerap menggunakan gear satu dengan padanan gear sistem pacuan empat roda 4L. Nisbah gear satu pada model ini cukup panjang dan mudah digunakan untuk mendaki bukit yang curam serta licin.

Tetapi untuk mendapatkan ‘cruising speed‘ yang selesa ketika merangkak menaiki bukit agak sukar kerana jika anda masuk ke gear dua, tork pada enjin seolah-olah sudah hilang separuh. Jadi, kaki yang benar-benar lembut diperlukan untuk mengawal pedal pendikit pada kedudukan gear satu bagi mendapatkan perjalanan yang lancar untuk situasi ini.

Lain pula halnya ketika beralih ke Triton MIVEC Turbodiesel 2.4 liter manual. Atas kertas, mungkin dapat dilihat perbezaan kuasa kuda dan tork antara enjin ini hanya sekadar 3 ps/30 Nm. Namun, ketika sistem MIVEC berkenaan ‘dibuka’, lengkok kuasa dan tork yang diberikan lebih awal benar-benar membantu dalam situasi sukar sebegini.

Ditambah pula dengan kotak gear enam-kelajuan baharu dengan nisbah yang lebih tepat, pendakian bukit curam yang licin membolehkan saya mendapatkan ‘sweet spot‘ dengan mudah menggunakan gear dua dan tiga.

Saya juga sempat memandu Triton MIVEC turbodiesel versi automatik. Tiada kekurangan kuasa berbanding versi manual pada model ini, malah ia menjadikan pemanduan off-road lebih mudah tanpa perlu mengawal pedal klac (untuk thrill pastinya manual lebih seronok!). Mod manual pada transmisi ini juga sangat membantu terutamanya ketika menurun bukit curam yang licin – kawal kedudukan gear dan stereng, berjaga-jaga pada pedal brek, trak pikap ini agak mudah untuk menurun bukit sedemikian dengan bantuan cengkaman dari sistem 4WD.

Menyentuh sistem 4WD, untuk model transmisi manual MIVEC Turbodiesel, pertukaran dari sistem 2H, 4H dan 4L kini tidak perlu lagi menggunakan tuil gear konvensional seperti model sebelum ini dimana ia diberikan suis putar yang diletakkan dibelakang tuil gear utama, sama seperti pada model transmisi automatik.

Hari ketiga, konvoi kami masih lagi tersangkut di tapak perkhemahan Kg. Garung bagi mengelakkan kesesakan berlaku di laluan extra hardcore iaitu bekas laluan pembalakan yang telah ditinggalkan lebih dari 20 tahun, menghubungkan daerah Ranau dan Kota Marudu. Dengan cuaca yang kurang elok, menambahkan lagi kesukaran pada laluan berlumpur ini. Sebenarnya, sehari sebelum ini, pasukan ‘scout‘ rasmi Borneo Safari terlebih dahulu telah masuk ke laluan berkenaan dan hanya mampu berjalan sejauh tidak sampai empat kilometer!

Konvoi mula masuk ke laluan extra hardcore tersebut yang menuju ke Kg. Gana, Kota Marudu. Laluan itu sebenarnya hanyalah sejauh 40 km, tetapi dengan jalan yang sangat sukar, konvoi hanya tiba ke destinasi empat hari selepas itu. Tiada kawasan perkhemahan khas sepanjang perjalanan dan khemah dibuka di mana sahaja yang dirasa sesuai setelah hari mula gelap.

Tanpa penukaran gandar hidup pada bahagian hadapan, nisbah akhir gear juga yang tidak diubahsuai serta tiada penukaran unit pengecas turbo yang lebih besar seperti jentera-jentera lain yang menyertai ekspedisi ini, kesemua Triton berjaya keluar dari hutan tebal dan menuju ke pekan Kota Marudu, kemudian bergerak semula ke Kota Kinabalu pada 6 November untuk menamatkan pengembaraan tanpa apa-apa kerosakan besar.

Seperti juga pengalaman pada 2012, semangat yang ditunjukkan oleh keluarga besar Borneo Safari tidak pernah berubah. Suasana di dalam hutan adalah hampir sama dengan perkemahan-perkemahan pengakap yang saya sertai semasa dibangku sekolah dahulu. Di dalam hutan, senyuman sentiasa dilontarkan oleh setiap peserta, semua lawak adalah sangat kelakar, semua topik perbualan adalah sangat menarik, dan semua makanan yang diperolehi secara automatik menjadi sangat sedap (tukang masak ‘chuck wagon’ pasukan MMM memang seorang chef yang pernah berkhidmat di hotel lima-bintang!).

Syabas diucapkan kepada urusetia Borneo Safari kerana berjaya mengekalkan momentum acara berkenaan selama 26 tahun. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada MMM yang bukan sahaja menyediakan jentera yang boleh diharap kepada kami, malah mempunyai pasukan ekspedisi Borneo Safari yang lengkap, teratur serta profesional!

GALERI: Gambar Rasmi Borneo Safari International Off-Road Challenge dari MMM

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required