Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

Satu lagi sejarah bagi sistem pengangkutan awam negara terlakar apabila fasa pertama Transit Aliran Massa (MRT) telah memulakan perkhidmatannya dari Sungai Buloh ke Semantan, Damansara Heights, hari ini. Ia telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dengan majlis perasmiannya dilaksanakan di stesen Kwasa Damansara.

Malahan Perdana Menteri turut mengumumkan perkhidmatan MRT ini ditawarkan secara percuma selama sebulan sehingga 16 Januari 2017. Ini termasuk perkhidmatan bas perantara. Tambang hanya akan dikenakan bermula 17 Januari 2017.

Maka, pastinya penulis sendiri tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan tren baharu ini. Bersama Danny Tan dari paultan.org, Jason Chung dari paultan.org/ch dan jurufoto Sherman Sim, kami berempat mencuba tren baharu ini di beberapa buah stesen yang telah beroperasi di bawah Fasa 1 ini.

Kami memulakan perjalanan dari stesen Kwasa Sentral. Menurut MRT Corporation, terdapat sejumlah 14 tempat letak kenderaan bertingkat dan terbuka mengandungi 8,000 petak di stesen-stesen sepanjang 51 km laluan SBK.

Tempat letak kenderaan di Stesen Sungai Buloh (kiri) & Stesen Kwasa Sentral (kanan)

Untuk Fasa 1 ini, daripada 12 buah stesen, hanya enam daripadanya yang disediakan kawasan tempat letak kenderaan, sama ada bangunan bertingkat atau pun terbuka dengan konsep ‘Park ‘N’ Ride’. Stesen terbabit ialah Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama, Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara.

Selain itu, kami turut mendapati tempat letak kenderaan bertingkat di stesen Pusat Bandar Damansara masih belum siap sepenuhnya. Malah Sherman terpaksa meletakkan keretanya di bahu jalan (illegal parking) kerana ‘ketiadaan tempat yang sewajarnya buat masa ini.

Namun ketika kami membuat tinjauan di kawasan tempat letak kenderaan bertingkat di Stesen Sungai Buloh dan terbuka di Stesen Kwasa Sentral, kami sempat bertanya pada petugas MRT terbabit. Di Stesen Sungai Buloh, disediakan kawasan tempat letak kenderaan bertingkat, ia bakal dicaj RM1.05 untuk jam pertama dan kemudian RM2.20 bagi setiap jam yang berikutnya. Manakala di Kwasa Sentral pula, RM2 untuk jam pertama dan RM1.10 setiap jam yang berikutnya. Manakala caj untuk motosikal masih belum diumumkan. Petugas terbabit turut memberitahu, jika menggunakan kad Touch ‘n Go sebagai transaksi, kadar caj akan menjadi sedikit murah berbanding secara tunai.

Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

Jika mengikut senarai caj tempat letak kenderaan (rujuk carta di atas) yang dipaparkan menerusi laman web MRT Corporation ini, kadar yang ditetapkan adalah sekali masuk atau per entry. Sedikit kekeliruan daripada segi informasi mengenai perkara ini. Walau bagaimana pun, difahamkan, kadar yang dikeluarkan oleh MRT Corporation tersebut hanya digunapakai sekiranya operator pengurusan tempat letak kenderaan di bawah syarikat yang sama. Namun sekiranya ia menggunakan khidmat pihak ketiga, mungkin kadar caj yang ditetapkan sama atau ada sedikit perbezaan.

Walau bagaimana pun, ada pilihan lain buat pengguna untuk ke mana-mana stesen MRT iaitu dengan menaiki bas perantara yang dikendalikan dengan kerjasama antara MRT Corp dan Prasarana Malaysia Berhad melalui Rapid Bus. Untuk fasa pertama ini, sebanyak 140 buah bas akan disediakan, manakala 160 buah bas lagi bagi fasa kedua.

Di mana sebanyak 26 laluan bas (sila dapatkan jadual perhentian bas menerusi laman web mymrt.com) dari stesen ke stesen digerakkan untuk fasa pertama ini dengan jumlah keseluruhan jaraknya iaitu 256.3km. Sebanyak tiga hingga lima bas beroperasi pada setiap laluan tersebut dengan kekerapannya selama 10-15 minit setiap satu. Ia dilengkapi tempat duduk selesa, ruang khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kamera keselamatan (CCTV) dan ia boleh memuatkan sehingga 62 penumpang pada satu-satu masa.

Tambang yang akan digunakan ialah hanya RM1 bagi setiap perjalanan dengan transaksi secara tunai atau pun menggunakan kad Touch ‘n Go. Namun bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas, OKU yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua pelajar (sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti) layak untuk menerima diskaun sebanyak 50%. Hanya tunjukkan Mykad (bagi warga emas), kad OKU atau kad Pelajar apabila menaiki bas terbabit.

Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

Ok, bercerita pula pengalaman kami menaiki tren MRT ini buat pertama kali. Memandangkan Perdana Menteri ‘menghadiahkan’ tambang percuma selama sebulan ini, jadi tiket tidak perlu dibeli. Ini memberikan kesempatan untuk orang ramai mencuba perkhidmatan ini. Apatah lagi, cuti sekolah masih berlangsung, maka ramai ibubapa membawa anak masing-masing menaiki MRT. Suasana agak sibuk terutamanya di stesen yang utama termasuk Stesen Sungai Buloh, Mutiara Damansara dan Bandar Utama.

Dari Kwasa Sentral, kami menuju ke Stesen Sungai Buloh yang melalui dua lagi stesen iaitu Kwasa Damansara dan Kg.Selamat. Stesen Sungai Buloh merupakan salah satu stesen pertukaran iaitu dengan perkhidmatan KTM Komuter Sungai Buloh. Jarak antara kedua-dua stesen berkenaan ialah kurang lima minit berjalan kaki dan terletak dalam bangunan yang bersambungan. Malah ia juga berkongsi tempat letak kenderaan bertingkat yang sama.

Dari Stesen Sungai Buloh, kami menaiki tren MRT menuju ke Stesen Semantan. Perjalanan mengambil masa hampir 40 minit. Dalam perjalanan terbabit, kami sempat berhenti di Stesen Bandar Utama dan kononnya mahu makan tengahari di pusat membeli-belah One Utama. Stesen ini terletak bersebelahan bangunan Sri Pentas TV3. Namun jambatan penghubung antara stesen ini ke One Utama masih belum siap dan tidak boleh digunakan lagi (menurut petugas MRT, ia dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi tanpa memberitahu tarikh yang sebenarnya).

Membuatkan kami terpaksa turun dari stesen untuk menaiki bas perantara. Namun hasrat kami terbantut untuk ke One Utama kerana orang ramai berasak-asak di perhentian bas terbabit walau pun kekerapan bas kurang dari 10 minit. Kami mencari perkhidmatan Uber dan mendapati tambang untuk ke One Utama lebih kurang RM10-14 bagi jarak yang kurang tiga km itu. Lantas kami membuat keputusan untuk menaiki tren semula ke Stesen Mutiara Damansara untuk ke ECurve (oh nasib baiklah tambang masih percuma untuk sebulan!), selepas makan tengahari, kami menaiki tren semula untuk ke Semantan.

Daripada pengamatan kami, setiap stesen ini turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti yang sepatutnya termasuk tandas, surau, lif terutamanya untuk kemudahan warga tua, wanita mengandung dan OKU, kemudahan rak basikal (hanya di stesen Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama, Phileo Damansara, dan Pusat Bandar Damansara), kedai serbaneka, farmasi dan juga bakeri.

Bagi pembelian tiket tren, pengguna digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go, malah tambang bagi perkhidmatan fasa pertama ini juga ditawarkan pada kadar yang sangat berpatutan. Di mana pengguna akan dikenakan caj sebanyak RM3.40 bagi keseluruhan perjalanan melibatkan 12 stesen berkenaan bagi kaedah pembayaran elektronik. Sementara itu, bagi bayaran tunai pula kadarnya ialah RM3.90.

Suasana di dalam tren juga cukup selesa dan turut menyediakan ruang untuk menempatkan kerusi roda bagi OKU dan stroller bagi anak-anak kecil. Selain tempat duduk yang diberi keutamaan buat warga tua dan wanita mengandung. Skrin informasi termasuk perjalanan tren juga disediakan. Menurut MRT Corp., setiap tren mempunyai empat gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 1,200 orang, pada kekerapan setiap 3.5 minit.

Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

Kadar tambang MRT bagi setiap stesen

Aspek keselamatan juga diberi keutamaan termasuk menyediakan autogate yang diletakkan di sepanjang laluan pintu masuk/keluar tren di trek. Di mana autogate tersebut akan terbuka/tertutup secara automatik apabila pintu tren dibuka/ditutup.

Sepanjang menggunakan tren MRT pada hari ini, terdapat sedikit ‘masalah teknikal’ yang tidak dinyatakan secara terperinci apabila tren berhenti agak lama di beberapa stesen dan terpaksa menunggu antara 3-4 minit untuk tren kembali bergerak. Malah di skrin informasi turut memaparkan mesej “tren akan berhenti lebih lama dari biasa. Semua penumpang diharap bersabar dan kami memohon maaf atas segala kesulitan”.

Kami memahami masalah ini kerana pada hari pertama ia beroperasi, pastinya terdapat beberapa masalah teknikal yang kebarangkalian akan terjadi, tetapi kami percaya pihak MRT Corp. akan mengatasinya sepantas yang mungkin. Cuma kami berharap, perkhidmatan tren ini tidak mengalami masalah yang terlalu kerap termasuk perjalanan tren yang tertunda, lambat sampai atau penumpang terpaksa berjalan di atas trek kerana masalah teknikal yang pernah terjadi pada perkhidmatan tren komuter dan LRT.

Walau bagaimana pun, dengan kehadiran perkhidmatan tren MRT ini, diharap ia dapat memantapkan lagi pengangkutan awam di negara kita. Apatah lagi ia dilihat mampu membantu mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas yang kian meruncing termasuklah di lebuhraya sekitar Lembah Klang (Lebuhraya Persekutuan, NKVE, SPRINT, LDP dan lain-lain) yang dilihat tidak menentu terutamanya di waktu puncak. Maka, perkhidmatan tren MRT ini dilihat sebagai alternatif selain pengangkutan awam lain termasuk LRT, Komuter, teksi dan bas awam.

Jika melihat Peta Transit Berintegrasi Lembah Klang (seperti di bawah ini), sambungan antara perkhidmatan tren sedia ada dan juga yang sedang dibangunkan, diharap mampu memberikan transformasi bagi sistem pengangkutan di negara kita.

Kita tunggu pula Fasa Kedua MRT iaitu dari Stesen Muzium Negara hingga ke Kajang yang meliputi baki 19 stesen sejauh 30 km dan dijadual beroperasi Julai 2017 yang telah disahkan sudah hampir 95% siap.

OK JOM NAIK MRT!

Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required