TUNGGANG UJI: Benelli TnT135 – si genit padu 135 cc

TUNGGANG UJI: Benelli TnT135 – si genit padu 135 cc

Setiap kali ke negara jiran, Thailand, penulis pasti tertarik dengan banyak model motosikal yang tidak terdapat di negara kita. Ini termasuklah jenis yang bertayar kecil seperti Honda Zoomer X, MSX125 dan pelbagai lagi. Sehinggakan, mereka juga ada model seperti Ducati Monster tetapi bersaiz kecil. Di Malaysia, bagi motosikal jenis ini, Kawasaki Malaysia pernah memasarkan KSR110 (satu tempat duduk), tetapi sudah diganti dengan model Z125 Pro (dua tempat duduk) sejak akhir tahun lalu. Menjelang akhir tahun 2016 ini, ia disertai oleh dua lagi pencabar iaitu Honda MSX125 dan Benelli TnT 135.

Di antara tiga model ini, Benelli TnT135 mempunyai dua kelebihan iaitu pertama, kapasiti enjin yang lebih besar dan kedua, harganya lebih rendah iaitu RM8,469 sementara Z125 Pro dan MSX125 dijual pada harga masing-masing RM10,435 dan RM11,128. Semua harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

Rekaan Benelli TnT135 adalah unik. Ia seperti sebuah motosikal dengan rekaan hibrid – bahagian tangki berserta kerangka Trellis mirip KTM Duke manakala bahagian ‘ekor’ belakang dan ekzos tirus pula seperti MV Agusta Brutale. Menariknya, Benelli berjaya menggabungkan gaya ini, bersama lampu hadapan LED unik untuk menjadikan rekaan keseluruhannya serba padan dan tampan.

Mengikut ukuran, TnT135 mempunyai panjang 1,750 mm, tinggi 1,025 mm dan jarak di antara roda 1,215 mm, manakala tempat duduknya pula berketinggian 780 mm. Sebenarnya, walaupun kurang, ukuran ini tidaklah jauh bezanya dengan kapcai biasa, malah bagi ketinggian tempat duduk, jika dibandingkan dengan Yamaha Lagenda, TnT135 ini lebih tinggi sebanyak 25 mm. Jika diletakkan bersebelahan dengan kapcai biasa juga anda akan dapat melihat ia tidaklah begitu kecil.

Cuma yang menjadikan ia berbeza adalah penggunaan rim saiz 12 inci – sama seperti kebanyakan skuter Vespa, sekaligus mewujudkan satu visual yang menunjukkan motosikal ini kecil. Juga, bentuk seperti ini kebiasaannya terdapat pada motosikal yang lebih besar.

Kedudukannya pula, bagi penulis yang berketinggian sekitar 175 sm, dapat memijak tanah dengan tapak kaki rata, manakala pemegang pula dapat dicapai dengan mudah dan tidak terlalu kekok. Malah, tempat duduk juga cukup selesa, sekurang-kurangnya untuk penunggang. Dikatakan sebegitu kerana bagi penumpang belakang, setakat untuk perjalanan pendek, ia mungkin boleh diterima. Tetapi bila sudah melebihi 15 minit, mereka pasti akan mula bising kerana tempat duduknya terhad, serta bersaiz kecil. Span yang digunakan juga lebih nipis.

Sayang sekali kerana motosikal ini cukup seronok untuk ditunggang. Ada masanya, anda akan terasa sengaja untuk mencari jalan jauh ke sesuatu tujuan atau saja meronda tanpa hala. Jika anda ingin menikmatinya berdua dengan penumpang, lupakan sahaja. Lebih baik hantar mereka dulu, dan sambung kembali tunggangan anda selepas itu.

Dengan saiz seperti ini, mengendalikan TnT135 di dalam bandar adalah sangat mudah, meskipun ia adalah sebuah motosikal yang menggunakan klac. Ia cukup lincah untuk menukar laluan, sebagai contoh, dalam trafik yang sesak di tengah bandar. Cumanya bagi penulis yang mempunyai kaki sedikit panjang, pemegang tidak dapat dipusingkan habis kerana akan terkena pada lutut apabila kaki diletakkan di tapak perehat kaki. Jika itu perlu dilakukan, kaki hendaklah diturunkan ke tanah. Perkara seterusnya yang dirasa perlu ditukar untuk memberi lebih ketenangan adalah cermin sisi. Unit asalnya sedikit lebar.

TUNGGANG UJI: Benelli TnT135 – si genit padu 135 cc

Enjin satu silinder berkapasiti 134.7 cc yang digunakan pada TnT135 ternyata dapat menjadikannya lebih ‘hidup’ dan seronok ditunggang. Penulis pernah menunggang Z125 Pro dan MSX125, dan kuasa TnT135 ini terasa lebih padu. Dalam risalah, tercatat ia mampu menghasilkan kuasa 12.6 hp pada 9,000 rpm dan 10.8 Nm tork pada 7,000 rpm, namun apabila diterjemahkan kepada rasa tunggangan, ia seperti sebuah supermoto mini dan layak jika ada yang ingin memanggil motosikal ini sebagai ‘mini moto’.

Anda tidak perlu risau untuk mengikut kelajuan kebanyakan kapcai yang ada di atas jalan raya, malah boleh jadi lebih laju berbanding beberapa model. Enjin TnT135 boleh dikerah sehingga 10,000 rpm, dan apabila di gear lima, ia akan menunjukkan kelajuan maksimum sekitar 115 km/j. Ini sebenarnya sudah mencukupi bagi TnT135, dan bacaan meternya boleh dipercayai dengan ralat tidak sampai 5 km/j berbanding catatan laju GPS.

Melihat kepada saiz tayar 12 inci pada TnT135, penulis awalnya tidak memberi harapan ia akan dapat mencapai kelajuan tinggi. Namun, perkara sebaliknya yang berlaku. Motosikal ini masih stabil, dan memberi keyakinan kepada penulis untuk memerah habis kuasanya. Fork jenis terbalik 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang menjalankan tugas yang baik menyerap setiap hentakan, dan memberi keyakinan termasuk untuk berhadapan jalan berliku.

Sehinggakan, penulis tidak menolak pelawaan rakan untuk bersarapan di Gohtong Jaya, menunggang motosikal genit ini melalui jalan Gombak Lama dan Hulu Yam bersama beberapa buah motosikal berkuasa tinggi. Cukuplah penulis memberitahu bahawa senyuman puas terukir apabila tiba di tanah tinggi itu manakala rakan yang lain pula tidak perlu berhenti tepi jalan untuk menunggu penulis yang menunggang motosikal kecil ini. Untuk pengetahuan, TnT135 didatangkan dengan tayar Metzeler bersaiz 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

Kuasa brek cakera 220 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera 190 mm serta angkup satu piston di belakang juga mencukupi pada motosikal ini, cuma ia tidak mempunyai sistem anti-kunci (ABS) apabila ditekan kuat.

Tangki minyak yang disediakan pada TnT135 adalah bersaiz 7.2 liter, dan apabila penandanya sudah sampai ke tahap satu bar sahaja, anda boleh mengisi sehingga RM10 minyak Ron95 (RM1.95 seliter). Ini sekaligus menunjukkan TnT135 mempunyai tangki lebih besar berbanding kapcai biasa dan dengan cara tunggangan penulis yang memang tidak mensasarkan sebarang penjimatan, tetapi lebih kepada menikmati kuasanya, ia boleh bergerak sehingga 210 kilometer sebelum lampu amarannya mula menyala.

Perkara lain yang digemari oleh penulis pada TnT135 adalah ia mempunyai butang kawalan dan panel meter yang lengkap, seperti sebuah motosikal berkuasa tinggi dan lampu hadapan LED yang digunakan cukup terang untuk memastikan motosikal ini boleh dilihat oleh pengguna jalan raya lain dengan jelas dan sebaran cahaya yang dihasilkan mampu memberi penglihatan terang kepada penunggangnya.

Pada bahagian panel meter tersebut, semua informasi penting ada disediakan termasuk tahap minyak, jarak perjalanan (Trip 1 dan Trip 2), kedudukan gear dan jam yang dipaparkan secara digital manakala tahap rpm pula menggunakan meter analog. Bagi butang kawalan pula, pada unit sebelah kiri pemegang, terdapat butang untuk kelipan lampu tinggi, yang boleh digunakan dengan jari telunjuk (butang berwarna kuning).

Kebanyakan motosikal kapasiti kecil lain tidak mempunyai butang ini dan ia dirasakan penting untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain apabila perlu di waktu malam. Ada kalanya, kelakar juga apabila kita memberi amaran sewaktu memotong di lorong laju supaya kereta yang dipotong tidak masuk tiba-tiba ke lorong sama, mereka mungkin menyangkakan ia adalah motosikal yang lebih besar kerana lampu LED yang terang, tetapi apabila melintas, rupanya si kecil yang berdesup.

Dengan semua ciri ini, Benelli TnT135 dilihat menyediakan pakej yang cukup menarik untuk mereka yang mencari sebuah motosikal yang seronok dan mudah ditunggang. Apatah lagi, pesaing satu kategori dengannya dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required