BMW telah menang saman terhadap dua syarikat di China kerana mendaftarkan tanda dagangan yang sama seperti jenama automotif dari Jerman itu, menurut laporan Shanghai Daily. Seperti yang diketahui, China merupakan ‘lubuk’ di mana jenama-jenama palsu berleluasa dalam apa jua jenis barangan, dari pakaian hingga peralatan elektronik. Kejayaan dari BMW ini merupakan kejayaan terbaharu dari syarikat besar luar dalam tuntutan saman sedemikian.
Menurut Mahkamah Harta Intelek Shanghai, tertuduh Zhou Leqin, mendaftarkan Degua Baoma Group (Int’l) Holding Limited yang bermaksud ‘German BMW Group (Int’l) Holding Limited’ berserta pembelian dan pendaftaran tanda dagangan “BMN” yang direka seakan logo BMW.
Dalam tuntutan tersebut, BMW turut menyaman Chuangjia, iaitu syarikat fesyen yang mengeluarkan barangan seperti kasut, pakaian dan beg dengan tanda dagangan yang berubah setiap tahun dan semakin menyerupai tanda dagangan pembuat automotif dari Jerman berkenaan. Kedua-dua pihak yang di saman ini didakwa kerana mengambil kesempatan terhadap reputasi BMW di China, jelas mahkamah berkenaan.
Ini sebenarnya hanya sebahagian kecil dari plagiat yang dilakukan oleh syarikat-syarikat di China. Syarikat-syarikat automotif di republik berkenaan terkenal dengan menghasilkan model-model klon antaranya Landwind X7 yang direka seiras Range Rover Evoque dan juga Ruili DoDa V8 yang direka seakan Toyota Alphard.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.