VIDEO: Honda CR-V 2017 dedah lebih perincian

Mungkin anda telah membaca banyak kisah mengenai Honda CR-V 2017, termasuk foto-fotonya menerusi galeri mega yang pernah dipaparkan sebelum ini. SUV generasi kelima ini telah pun diperkenalkan di Amerika Syarikat, menampilkan imej baharu yang lebih berketerampilan, malah memiliki ruang dalaman yang lebih premium, luas dan versatil. SUV Honda generasi kelima ini telah diberi rekaan dan kejuruteraan semula.

Dengan paras rupa yang lebih mesra, dalam masa yang sama tampil lebih elegan dan gagah. Bagi CR-V pasaran US, ia ditawarkan dengan lima varian iaitu LX, EX, EX-L, EX-L Navi dan Touring.

Turut didapati sama ada dalam pacuan dua- atau semua-roda, CR-V ini juga hadir dengan pilihan dua enjin petrol (bergantung pada variannya). Sama ada dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo, yang buat pertama kalinya diadaptasikan buat CR-V. Unit suntikan-terus DOHC ini menerima olahan kuasa dari Civic FC, mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm. CR-V turbo ini turut menampilkan elemen termasuk sistem Remote Engine Start yang juga ada pada Civic.

Turut ditawarkan di USA ialah enjin 2.4 liter suntikan-terus i-VTEC, dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm. Walau bagaimana pun, motor naturally-aspirated ini hanya untuk model spesifikasi asas sahaja. Namun demikian, kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT bersama Honda G-Shift control logic.

CR-V baharu ini juga menawarkan pengendalian yang telah dipertingkatkan, hasil olahan semula sistem stereng dan turut diperkenalkan Agile Handling Assist, dengan memberikan pemvektoran tork brek, dan roda brek untuk membantu SUV dapat dikendalikan secara lebih jitu. Malahan sistem brek juga dipadankan dengan electric brake booster untuk prestasi yang lebih baik.

Dari segi rekaan, unjuran bahagian D-pillar yang sinonim dengan model CR-V sebelum ini masih dikekalkan. Namun, banyak pendekatan rekaan yang menjadikannya kelihatan lebih agresif; palang krom ditambah di belakang, disertakan dengan corong ekzos berkembar. Selain itu, buat pertama kalinya juga, ia menampilkan ciri Hands-Free Access Power Tailgate.

Bukan itu sahaja, ia turut ditampilkan dengan gril krom yang lebih besar pada bahagian hadapan (dengan Automatic Shutter Grille System pertama dari Honda), yang bersambung pada lampu utama LED sepenuhnya, serta mengetengahkan pendekatan gaya Solid Wing Face yang sama dimiliki oleh model-model terbaharu Honda, seperti Civic.

Honda CR-V dengan spesifikasi pasaran Amerika Syarikat ini juga mempunyai pertambahan dimensi; 4,587 mm panjang (+30 mm) dan 1,854 mm lebar (+35 mm). Bagi varian pacuan depan, ia hadir dengan ketinggian 1,679 mm, manakala versi pacuan AWD pula ialah 1,689 mm tinggi – kedua-duanya melibatkan pertambahan 36 mm. Jarak antara roda juga bertambah 40 mm, kepada 2,659 mm kini.

Pertambahan dimensi ini menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas. Ruang untuk penumpang kini ialah 2,999 liter, meningkat 51 liter berbanding sebelumnya. Ruang kaki pula menerima penambahan 53 mm, manakala ruang kepala menerima tambahan 15 mm. Ruang barangan pula kini 2,146 liter dengan tempat duduk diturunkan (+139 liter).

Ruang dalamannya juga diberikan ciri yang lebih premium; panel instrumen dengan skrin berwarna, sistem audio dengan paparan skrin sentuh 7.0-inci berasaskan Android, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga dilengkapi penghawa dingin dwi-zon, pencahayaan ambien LED, brek parkir elektronik dan port bagi USB di belakang sebagai beberapa ciri tambahan.

Selain itu, Honda Sensing termasuklah Pengurangan Brek Perlanggaran (CMBS) dengan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan keupayaan mengesan pejalan kaki, Road Departure Mitigation (RDM) dengan Amaran Ketibaan Laluan (LDW), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan kelajuan rendah dan Bantuan kekal Lorong (LKAS). Informasi Titik Buta (BSI), Pemantauan Lintasan Trafik Belakang (CTM) dan Lampu Tinggi Auto (HSS) turut ditampilkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required