Hyundai Tucson bakal menerima pertambahan varian tak lama lagi; dua varian untuk lebih tepat. Pengedarnya, Hyundai-Sime Darby Motors mengesahkan yang SUV segmen C itu akan turut menerima dua penawaran enjin terbaharu untuk pasaran Malaysia; 1.6 liter turbo dan 2.0 liter diesel. Kedua-duanya akan diperkenalkan pada suku pertama tahun depan.
SUV berkenaan dilancarkan pada November 2015, dan model generasi ketiga berkenaan sebelum ini hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja; dengan enjin 2.0 MPi Nu dengan janaan kuasa 155 PS dan 192 Nm pada 4,000rpm. Enjin naturally aspirated empat silinder itu dipadankan dengan kotak gear automatik dengan torque converter enam-kelajuan.
Enjin 1.6 liter T-GDI turbo suntikan terus itu nanti tentunya menjadi sesuatu yang sangat menarik, terutama bagi mereka yang inginkan kapasiti enjin yang lebih kecil tetapi kekal dengan prestasi yang baik dan jimat.
Menjana kuasa pada 175 hp dan 265 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm, dari segi angka-angka berkenaan, ia tentunya memberikan prestasi yang lebih berbanding model 2.0 liter. Transmisi pula menggunakan jenis dual-clutch automatik tujuh-kelajuan. Ia merupakan lanjutan dari sistem yang digunakan pada Veloster Turbo.
Sebuah lagi pilihan enjin yang turut akan diperkenalkan ialah versi 2.0 CRDi; enjin commonrail turbodiesel dengan kuasa 182 hp dan 400 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Enjin E-VCT ini lebih kecil berbanding versi 2.2 CRDi yang menggerakkan Santa Fe dan Kia Sorento. Transmisi pula menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan.
Setibanya dua varian baharu ini nanti, versi 2.0 CRDi akan menjadi pesaing kepada SUV lain seperti Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D – satu-satunya lawan dengan enjin diesel yang paling hampir bagi mana-mana SUV yang ditawarkan dalam pasaran tempatan.
SUV lain dalam lingkungan yang sama seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Mazda CX-5 pula akan “menanti” kehadiran pencabar baharu ini; dengan enjin 1.6 liter turbo bagi varian petrol itu kelak, Tucson mempunyai kelebihan yang tersendiri untuk lebih menonjol dan menarik perhatian pengguna dalam segmen berkenaan.
Hyundai Tucson 2.0L Executive
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.