Produksi automobil Honda di seluruh dunia cecah 100 juta-unit Sept lalu, setelah beroperasi selama 53 tahun

Produksi automobil Honda di seluruh dunia cecah 100 juta-unit Sept lalu, setelah beroperasi selama 53 tahun

Soichiro Honda memulakan produksi penuh automotif di bawah jenamanya dengan memproduksi motosikal model D-Type yang juga diberi nama Honda Dream pada tahun 1949. Syarikat berkenaan mula beralih untuk memproduksi produk automobil pada tahun 1963. Namun, kenderaan empat roda pertama yang keluar dari barisan produksi kilang Honda Saitama bukanlah sebuah kereta, tetapi merupakan sebuah trak kecil model T360, yang mula dijual di Jepun pada Ogos 1963.

Trak T360 berkenaan dijana oleh enjin 356 cc empat silinder DOHC berkuasa 30 hp pada takat 8,500 rpm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 100 km/j. Honda menghasilkan trak pikap kecil ini untuk mengambil kesempatan atas skim cukai khas undang-undang Kei di Jepun. T360 telah produksi sebanyak 108,920 unit dan hanya ditawarkan dengan warna “May Blue”.

Empat bulan setelah trak T360 berkenaan dihasilkan, Honda mula menyerlahkan DNA asal mereka, dengan penghasilan model S500 roadster iaitu ‘datuk’ kepada roadster S2000 moden. Model ini diproduksi secara besar-besaran di Kilang Hamamatsu Honda, sebelum produksi roadster versi dipertingkat berkenaan – S600 – dimulakan di kilang Sayama yang baharu pada tahun 1964, diikuti model S800 pada tahun 1966.

Honda mula memproduksi kenderaan penumpang kecil pada tahun 1967 menerusi model N360 iaitu sedan ‘two-box’ dua pintu dijana enjin 354 cc dua-silinder pacuan roda hadapan yang mampu mencatatkan kelajuan maksima 105 km/j. Model ini juga merupakan model pertama yang dieksport ke Amerika Syarikat, tetapi dengan kapasiti enjin yang lebih besar digelar N600. Honda USA telah menyediakan laman web khas berkenaan restorasi semula sebuah N600, iaitu unit dengan nombor casis N600-1000001.

Honda mula memproduksi kenderaannya di luar Jepun pada tahun 1969, setelah perjanjian kerjasama teknikal ditandatangani bersama sebuah syarikat dari Taiwan untuk menghasilkan N600 dan trak TN360 di negara berkenaaan. Selepas itu, Honda mula memasang N360 di Johor Bahru, Malaysia, yang dihasilkan untuk pasaran tempatan. Produksi lebih banyak dilakukan di kilang berkenaan termasuk memasang model Civic, Accord dan CR-V, sebelum Honda Malaysia membina kilang mereka sendiri di Pegoh, Melaka pada tahun 2003.

Civic antara model Honda yang popular dan model generasi pertamanya mula diperkenalkan pada tahun 1972. Tiga tahun kemudian, model berkenaan mula diproduksi di Indonesia. Honda mencatatkan produksi automobil kumulatif global sebanyak lima juta unit pada tahun 1978.

Model eksekutif dari Honda iaitu Accord mula diperkenalkan pada tahun 1976, dan menjadi kereta berjenama Jepun pertama dikilangkan di Amerika, pada tahun 1982 di kilang Ohio. Setahun selepas itu, produksi automobil global Honda mula mencapai angka 10 juta unit. Jenama Acura mula diperkenalkan di Amerika pada tahun 1986, dan menjadi jenama mewah pertama dari Jepun bertapak di negara berkenaan.

Honda turut mengembangkan operasi produksinya di seluruh dunia termasuk Asia, Eropah, Amerika Selatan dan China. Pada pasaran-pasaran tertentu, Honda turut menghasilkan model-model khas untuk memenuhi permintaan setempat. Produksi global automobil Honda mula mencecah 20 juta-unit pada tahun 1990.

Angka ini meningkat kepada 30 juta pada tahun 1995, 40 juta pada tahun 1999 dan 50 juta pada tahun 2003. Dengan 34 operasi produksi automobil di 18 negara dan wilayah, Honda akhirnya berjaya mencapai angka produksi mencecah 100 juta-unit pada September tahun ini, setelah 53 tahun memproduksi produk automobil pada usia syarikat mencapai 68 tahun.

Kejayaan yang diraih oleh Honda sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Pengasas syarikat ini sendiri bergelut dengan pelbagai situasi sukar termasuk kegagalan sebelum berjaya menghasilkan produksi motosikal pertamanya, berbekalkan mimpi dan impian yang kuat dan menjadi asas kepada slogan syarikat berkenaan – “The Power of Dreams.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required