Porsche mempunyai bahagian khas modifikasi sendiri bernama Porsche Exclusive, dan terbaru, mereka mengubah suai Panamera Turbo Executive untuk menjadikannya lebih istimewa. Kereta asas ini, pertama kali diperkenalkan pada bulan November dan sebenarnya adalah versi dengan jarak roda yang lebih panjang berbanding yang asal.
Pada bahagian luar, Porsche Exclusive telah mewarnakan kereta ini dengan Carmine Red, menjadikan ia sesuai dengan waktu sambutan Krismas sekarang, diikuti Tahun Baru Cina akhir Januari nanti. Selepas diperiksa melalui laman Porsche USA, warna ini boleh didapati dengan harga tambahan US$3,300 (RM14,790), dan disenaraikan sebagai ‘warna istimewa’.
Jika itu masih tidak mencukupi, penampilan kenderaan ini boleh ditingkatkan lagi dengan pilihan pakej SportDesign yang termasuk bampar, side skirt dan diffuser belakang. Untuk melengkapinya, kenderaan ini juga mendapat set rim baru berwarna perak dan hitam.
Pada bahagian dalam, tema sama digunakan, dengan kabin yang kebanyakannya berwarna hitam, dan diserikan dengan kemasan berwarna merah pada papan pemuka, panel pintu dan bahagian bawah konsol tengah. Kunci juga menggunakan warna sama yang menjadikan ia sesuai dengan warna kereta.
Tiada gambar untuk bahagian dalam kenderaan ini, tetapi berdasarkan apa yang dilihat, ia datang dengan pilihan sistem hiburan untuk penumpang belakang, bersama skrin 10.1 inci yang dipasang pada bahagian belakang penyandar kepala tempat duduk hadapan. Sebagai sebuah model eksekutif, ini bermakna terdapat juga ruang kaki yang luas untuk penumpang – jarak roda 150 mm lebih panjang.
Bagi yang memandu, mereka akan dapat menikmati kuasa sebanyak 550 hp dan 770 Nm, datang daripada enjin 4.0 liter biturbo V8 yang memacu keempat-empat tayar melalui transmisi lapan kelajuan Porsche PDK klac berkembar. Kelengkapan lain termasuk rear axle steering, lampu utama LED, pengawal suhu empat zon dan sistem Porsche Communication Management (PCM).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.