Lagi lanjutan dari kes kemalangan maut membabitkan bas ekspres, membabitkan 14 maut selepas ia terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Muar, Johor pada Sabtu lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata semua bas ekspres dan juga bas antarabandar mungkin perlu dipadankan dengan pengehad kelajuan dan juga kamera litar tertutup (CCTV) serta pemandu bas akan tertakluk pada sistem dimerit, menurut laporan The Sun Daily.
Menurut beliau lagi, kebanyakkan bas-bas baharu telah pun dilengkapi dengan pengehad kelajuan ini dari kilang dan yang menjadi masalah sekarang pada bas-bas lama yang masih belum dipasangkan dengan sistem tersebut kerana teknologi lama yang digunakan.
“Masalahnya sekarang, tengok berapa banyak bas yang telah memasang sistem ini, dan berapa banyak lagi yang belum? Dan apabila terjadinya kemalangan, kebiasaannya mereka tidak mematuhi dan memenuhi undang-undang SPAD,” katanya.
Beliau juga menyatakan SPAD kini sedang mengkaji untuk memasang sistem telematik (sistem seperti kotak hitam yang dipadankan pada kapal terbang). Setakat ini, teknologi GPS yang hampir sama dengan teknologi berkenaan telah pun dipasangkan pada bas-bas. Syed Hamid menjelaskan, walaupun telematik mempunyai kelebihannya yang tersendiri iaitu mampu membaca dan merekod tabiat dan corak pemanduan, kemalangan masih boleh berlaku atas faktor lain seperti kecuaian pemandu.
“Sama ada kami memasang telematik atau tidak, isunya adalah berkenaan keselamtan penumpang. Oleh sebab itu kami, contohnya, mahu CCTV dipasang pada bas,” kata beliau dan menambah pemandu boleh dipantau sepanjang perjalanan menerusi sistem berkenaan dan sebarang salah laku yang dikesan membolehkan syarikat mengambil tindakan terhadap pemandu tersebut.
Berkenaan sistem demerit pula, Syed Hamid menjelaskan ia mampu mengelakkan pemandu melakukan kesalahan berulang, tetapi perkara berkenaan perlu dibincangkan dengan agensi berkaitan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlebih dahulu.
Dalam perkembangan lain, pengarah besar Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Prof Dr Wong Shaw Voon pula mahu insuran berdasarkan risiko diperkenalkan kepada pengusaha-pengusaha bas ekspres bagi memaksa mereka mengambil berat isu keselamatan ini secara serius.
Jelas beliau, sistem insuran berkenaan memerlukan syarikat bas yang mempunyai risiko tinggi dan tidak mengambil berat tetang isu keselamatan membayar premium insuran yang lebih tinggi, manakala syarikat bas yang mempunyai risiko rendah dan rekod yang baik diberikan bayaran lebih rendah.
Tambah beliau lagi, ini boleh diuruskan oleh Bank Negara dan mereka mungkin sudah mula membincangkan berkenaan inisiatif ini serta menegaskan ia perlu dikenakan terhadap syarikat dan bukan pemandu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.