Sebelum ini, kami telah pun menyiarkan imej spyshot Mitsubishi ASX generasi seterusnya yang sedang diuji diatas jalan raya dengan pelekat penyamaran. Namun, pemilik akaun Twitter dengan nama hotaka_ltd telah berkongsi imej SUV kompak tersebut diuji tanpa sebarang penyamaran.

Walaupun gambar berkenaan agak kabur, dapat dilihat bahagian belakang ASX baharu ini direka dengan agak tinggi dan agresif, seakan sama model konsep XR-PHEV. Begitu juga dengan cermin belakang, rekaan bahagian tersebut juga dilihat dijelmakan pada model produksi ini.

Garisan sisi badan juga kelihatan begitu jelas bermula dari fender hadapan, menerusi pintu hadapan dan belakang, akhirnya bersambung terus dengan lampu belakang. Tiada gambar hadapan diambil, tetapi boleh dijangka ia akan menggunakan konsep rekaan muka Dynamic Shield seperti model-model baharu Mitsubishi yang lain.

Berdasarkan imej spyshot sebelum ini, bahagian dalaman ASX menampilkan rekaan papan pemuka baharu dan diberikan skrin infotainmen bersaiz besar pada bahagian tengah. Konsol tengah juga direka semula dengan menempatkan tuil penukar gear baharu serta suis pilihan mod pacuan empat-roda turut di ubah kedudukannya.

Suis-suis kawalan unit penghawa dingin ASX ini diambil terus dari Outlander, manakala stereng tiga jejari berserta pedal penukar gear pula dilihat dibawa dari model sedia ada.

ASX dijangka akan menerima pilihan enjin petrol dan diesel, serta unit janakuasa hibrid menggabungkan enjin turbo 1.1 liter petrol tiga-silinder berkuasa 98 hp bersama motor elektrik 120 kW yang diambil dari model konsep XR-PHEV.

GALERI: Imej spyshot Mitsubishi ASX generasi seterusnya dengan pelekat penyamaran

GALERI: Model konsep XR-PHEV di Tokyo 2013