2016 akan melabuhkan tirainya dalam sedikit waktu saja lagi. Seperti yang anda sedia maklum, 2016 merupakan tahun yang tidak kalah menarik dan mencabar, baik bagi industri automotif tempatan mahupun bagi kami di paultan.org/bm sendiri.

Sebagai penutup, selain daripada artikel khas berkaitan kenderaan harian yang dipandu oleh individu di dalam editorial BM, kami sajikan pula senarai lima model teratas yang menjadi pilihan setiap seorang daripada kami.

Namun, perlu dinyatakan, ini bukanlah sebuah senarai ‘Kenderaan Terbaik’ yang dilancarkan tahun ini. Ia merupakan senarai pilihan yang peribadi, terhadap model atau kenderaan yang sempat dipandu oleh kami sepanjang tahun ini. Dan, tidak pula semestinya model kenderaan terkini.

Senarai ini terdiri daripada model-model yang difikirkan memberi kesan yang mendalam atau tersendiri; setiap daripada pilihan tersebut kami sertakan pula dengan pandangan mengapa model-model berkenaan ikut tersenarai di dalamnya.

Mengapa hanya lima? Alasannya mudah saja; kami perlu memikirkan dengan cermat mengapa sesebuah kenderaan itu perlu disertakan. Senarai berkenaan kemudiannya mampu menjadi cerminan kepada pandangan setiap seorang dalam kalangan kami. Terima kasih di atas sokongan sepanjang 2016 dan Selamat Tahun Baru 2017.

HAZRIL HAFIZ

Bagi saya, sesebuah kenderaan mampu mencapai keseimbangan – baik dari segi reka bentuk mahupun kejuruteraan – tetapi sangat sukar untuknya menghampiri kesempurnaan. Semuanya dibangunkan untuk memenuhi keperluan-keperluan tertentu yang berbeza-beza.

Untuk itu, setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri pula. Apa pun, sepanjang tahun ini, dengan kesempatan untuk mencuba model-model kenderaan yang pelbagai, saya cuba perjelaskan sebaik mungkin, secara ringkas dan padat, mengapa dan bagaimana saya tiba kepada senarai peribadi ini.

5. Hyundai Ioniq Hybrid

Ini kereta yang sempat saya pandu minggu lalu. Dan, Hyundai Ioniq berjaya melangkaui jangkaan awal saya terhadap sebuah kereta hibrid. Hanya kerana ia sebuah kereta hibrid, tidak semestinya ia membosankan. Ini tangapan saya selepas memandu uji penawaran model hibrid terbaharu dalam pasaran Malaysia ini.

Mengapa saya kata begitu? Pertama, aspek pemanduan yang diberikan oleh kereta ini tidak mengecewakan. Walaupun pada permukaan ia kelihatan seperti sebuah kereta yang ‘jinak’, namun dalam waktu-waktu diperlukan, karektor pemanduannya boleh berubah. Mod Sport yang ada juga bukan sekadar hiasan semata-mata; prestasi turut dipertingkat dalam keadaan itu.

Kedua, pakej teknologi pintar yang melengkapinya. Anda tidak akan dapat penawaran yang sama, pada tanda harga seperti ini dari model-model hibrid yang lain. Jimat dan pada ketika diperlukan – misalnya di jalan yang berliku dan berbukit – ia mampu menggalas keperluan pemanduan sebegitu dengan agak baik. Apa lagi yang kita perlukan dari sebuah kereta hibrid?

4. Proton Saga

Suka atau tidak, 2016 merupakan “Tahun Proton”. Sekurang-kurangnya jika dilihat dari sudut liputan media yang diberikan; empat model baharu dalam setahun, itu saya fikir memerlukan tenaga dan fokus yang bukan kepalang. Namun, di antara Perdana, Persona dan Ertiga, Saga merupakan model yang sangat menarik untuk diberi perhatian.

Sangat ketara perbezaannya – termasuk dari aspek pembuatan dan pemanduan – jika dibandingkan dengan versi terdahulu. Dan, ia merupakan model entry level; bermakna, lebih ramai pemilik mempunyai akses kepadanya. Dengan tanda harga yang rendah, ia memberikan lebih daripada sekadar penampilan luarannya.

Selepas memandu ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh, kereta ini mampu yakinkan saya bahawa ia benar-benar ingin memberikan kualiti yang jarang ada pada kenderaan dalam kelasnya. Saya rasakan ia lebih tegap ketika dipandu, dengan maklum balas prestasi yang tidak mengecewakan. Harapnya pengalaman pemilikannya juga kini bertambah baik.

3. Yamaha NMax 150

Tidak terlalu berlebihan jika saya katakan, ini skuter yang membuatkan saya berasa teruja, baik sebelum mencuba hinggalah selepas mengembalikan unit tunggang ujinya. Bahkan, hingga ke waktu ini, selepas mencuba beberapa lagi motosikal lain, Yamaha NMax kekal ditangga teratas sebagai sebuah jentera yang menyeronokkan dan bersahaja tunggangannya.

Enjin SOHC 155 cc dengan teknologi Blue Core yang melengkapinya memberikan tunggangan yang responsif dan sangat meyakinkan. Tambahan pula, bagi kelas motosikal 150 cc, skuter ini punyai banyak kelebihan. Dari segi prestasi, janaan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm pada 6,000 tork sudah memadai; ini satu-satunya skuter yang sangat ideal saya rasakan untuk ramai orang.

2. Kia Sorento 2.2L CRDi Turbodiesel

Saya sangat menggemari kenderaan diesel di atas satu faktor yang paling utama; ia mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api yang akan membuatkan anda tersenyum lebar dan pada masa yang sama, membekalkan daya tork yang besar (saya lebih menghargai daya tujah ini berbanding kelajuan maksimum).

Kebiasaannya, jika membincangkan tentang enjin diesel, saya agak cenderung kepada trak pikap yang lebih lasak. Namun, melalui SUV tujuh tempat duduk Kia Sorento 2.2L CRDi Turbodiesel ini, ia hadir dengan satu lagi kelebihan – keselesaan dalam ruang kabin.

Dengan kuasa 200 PS pada 3,000 rpm dan 441 Nm tork di antara 1,750 hingga 2,750 rpm dengan sistem pacuan AWD, tak ada apa lagi yang saya inginkan daripadanya. Sepanjang mencubanya untuk perjalanan jauh sebelum ini, bacaan penggunaan diesel yang sempat dicatatkan ialah 10.6 km/l.

1. Honda Civic 1.5L Turbo

Saya tak dapat menafikan kegirangan untuk sekadar berada di dalam kereta ini, apa lagi untuk memandunya. Walaupun dengan kelemahan-kelemahan tertentu (misalnya penyandar tempat duduk belakang yang tak boleh diturunkan), Honda Civic 1.5L Turbo ini saya kira mampu memuaskan sedikit sebanyak gian memandu yang pada kebiasaannya mungkin hanya terkurung elok.

Memanglah ia bukan sebuah kereta sport, tetapi Civic ini boleh diharap dalam kebanyakan keadaan. Untuk beberapa ketika, ia akan kekal sebagai sebuah kereta dalam segmen C yang tampil dengan keseimbangan yang sangat ideal di antara kejuruteraan dan reka bentuk fizikal yang dipersembahkan pada sebuah produk akhir.

Dengan enjin petrol 1.5 liter VTEC Turbo L15B7 suntikan terus, dengan janaan kuasa 173 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 220 Nm di antara 1,700 hingga 5,500 rpm, ini sahaja sudah mencukupi untuk meletakkannya sebagai sebuah kereta yang bukan hanya agresif dari sudut penampilan, malah turut menawarkan prestasi pemanduan yang sepadan.

FARID AWALUDIN

2016 merupakan tahun yang agak sibuk untuk industri automotif Malaysia. Pengeluar-pengeluar automotif dalam pasaran tempatan berlumba-lumba melancarkan model baharu.

Perkembangan ini turut membuat kami juga amat sibuk sepanjang 2016. Bayangkan, Proton sahaja melancarkan empat model baharu, menyebabkan saya perlu pergi ke litar ujian Proton sebanyak empat kali, dan majlis pelancaran juga empat kali. Itu baru Proton, belum masuk pengeluar-pengeluar lain lagi.

Jadi, antara lambakan model yang diuji tahun ini, senarai di bawah merupakan yang paling memberikan impak kepada saya.

5. Proton Persona 1.6L Premium

proton-persona-1-6-premium-bm-03

Semasa pertama kali memandu Iriz dahulu, saya sangat sukakan pengendalian, stereng serta breknya. Namun, dengan transmisi CVT yang membuatkan enjinnya mengaum tidak tentu hala, serta bunyi CVT itu sendiri yang berdesing seperti kapal terbang mahu berlepas, agak merencatkan keseronokan memandunya.

Sebelum memandu uji Persona, saya beranggapan Proton akan membuat perkara yang sama seperti pengeluar lain yang mengubah sebuah hatchback kepada versi sedan iaitu memindahkan sahaja segala sistem mekanikal kepada kereta baharu tersebut.

Tapi sangkaan saya meleset; Proton mengambil serius segala aduan yang diterima dan hasilnya, transmisi CVT telah ditala semula dan memberikan respon yang jauh lebih baik. Bunyi berdesing juga lenyap, malah aspek NVH lain juga jauh lebih bagus berbanding Iriz.

Dengan dilengkapi enam beg udara dan ESC, hampir tiada yang mahu saya persoalkan pada sedan segmen-B yang berharga RM60k ini, selain dari rupa bentuk luarannya yang err… ehem. Jujur saya katakan, dengan kelengkapan pengendalian yang bagus, Persona lebih baik dari sedan segmen-B berjenama Jepun tertentu.

4. Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC Diesel Turbo Borneo Safari

Dengan bar-bar perlindungan disekeliling, lampu-lampu tambahan, suspensi yang dipertingkat, roda aloi aftermarket dibaluti tayar off-road ekstrem, badan yang diangkat dari casis, unit snorkel dan winch serta balutan pelekat seluruh badan dengan elemen celoreng bersama grafik Ralli Art di sana sini, sudah cukup untuk membuatkan jiwa kanak-kanak saya melonjak-lonjak.

Dapat memandunya dalam ekspedisi antara yang paling mencabar dalam dunia iaitu Borneo Safari, itu merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan. Sistem MIVEC pada enjin turbodiesel baharu ini juga telah membuka mata saya. Talaan yang diberikan benar-benar membantu dalam situasi sukar pada laluan off-road.

Bukan semua pengeluar berani untuk menyertai Borneo Safari ini kerana ia benar-benar tough. Bayangkan jika gandar hadapan trak pikap rosak ini ketika merentasi halangan dalam ekspedisi ini (majoriti peserta persendirian mengubahsuai gandar hadapan dengan menggantikan drive shaft standard kepada live axle kerana dikhuatiri kelengkapan standard berkemungkinan boleh patah), tentunya reputasi mereka akan rosak.

Namun, Mitsubishi Motors Malaysia yakin dengan kebolehan produk mereka, dan semua Triton selamat keluar dari hutan setelah lapan hari berekspedisi.

3. Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Sebagai seorang peminat generasi Civic, kedatangan model ini ke Malaysia sememangnya ditunggu. Setelah kecewa dengan Civic generasi kesembilan (FB) yang sudah hilang imej sporty, harapan besar saya letakkan pada model generasi kesepuluh ini.

Nyata prestasinya tidak mengecewakan. Suspensi ditala dengan adunan sporty dan turut mengambil kira keselesaan penumpang. Posisi pemanduan juga sangat rendah memberikan sensasi pemanduan yang lebih seronok.

Enjin 1.5 liter VTEC Turbo juga memberikan kuasa yang lebih baik berbanding enjin 2.0 liter R20 pada Civic FB dan enjin K20 dari Civic FD. Namun, saya tidak berapa gemar dengan transmisi CVT yang terlalu ‘lembut’, menghilangkan sedikit sebanyak karekter sporty dari enjin.

2. Volvo S60 T6 Drive-E

volvos60_ext-4

Model yang anda lihat ini diberikan rim, spoiler belakang dan diffuser bampar belakang opsyen. Jika anda ke bilik pameran Volvo, S60 T6 Drive-E ini kelihatan ‘kosong’ dan diberikan roda aloi Sadia 17-inci. Bahagian dalaman juga kelihatan agak ‘pejabat’ dengan upholstery kulit biasa dan kemasan aluminium serta elemen corak kayu oak palsu. Tiada langsung bayangan ia sebuah model berprestasi tinggi.

Namun, perkara sebaliknya pada ruang enjin. S60 T6 Drive-E ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan suapan supercharger dan juga pengecas turbo. Kuasa keseluruhan dihasilkan – 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 hingga 4,800 rpm.

Kuasa liar ini dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu dari Aisin. Bukan sahaja sangat berkuasa, malah T6 Drive-E yang diiktiraf sebagai EEV ini juga jimat petrol!

Satu lagi kejutan yang diberikan S60 T6 Drive-E ialah ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM238,888, berbanding Mercedes-Benz C 250 AMG Line (2.0 liter turbo berkuasa 211 hp/350 Nm) dijual pada harga RM287,888 manakala BMW 330i M Sport (2.0 liter turbo berkuasa 252 hp/350 Nm) pula dijual pada harga RM297,800.

1. Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline

Secara jujur, saya kurang gemar dengan sedan-sedan segmen-B. Sedan segmen ini direka untuk memberikan ruang yang besar pada kerangka badan yang kecil, enjin yang jimat bahan api, serta perlu dibina dengan kos yang murah agar ia kompetitif dalam pasaran.

Oleh itu, ia mempunyai had-had tertentu, misalnya penggunaan transmisi CVT atau torque converter, serta kerangka badan yang agak ringan bagi mengurangkan kos produksi bagi membolehkan kecekapan bahan api meningkat. Sistem suspensi juga perlu direka ringkas bagi mengurangkan kos, menyaksikan kebanyakkan sedan segmen-B menggunakan suspensi jenis torsion beam pada bahagian belakang.

Sudahnya, sedan segmen-B menjadi sedan yang bosan untuk dipandu dan kebanyakkan daripadanya akan melambung-lambung bila dipandu dijalan beralun, serta terhuyung-hayang ketika dipotong oleh bas ekspres.

Untuk memberikan sedikit keseronokkan dalam sedan segmen-B ini, pengeluar biasanya akan memberikan ciri-ciri ‘ala-mewah’ seperti lampu nyalaan siang LED serta paparan papan pemuka yang futuristik, berbanding mengambil kira ciri keseronokan pemanduan sebenar seperti unit janakuasa dan juga talaan suspensi.

Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline menongkah arus trend penghasilan sedan segmen-B ini. Ia diberikan enjin 1.2 liter TSI dengan bekalan tork 175 Nm, digandingkan dengan transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar DSG benar-benar mengujakan saya.

Masih menggunakan suspensi torsion beam pada bahagian belakang, tetapi ditala dengan begitu teliti, memberikan karekter pengendalian yang sangat baik diselekoh, serta sangat stabil pada kelajuan tinggi.

Ia juga diberikan rim 16×7 jj dan tayar berprestasi tinggi saiz penuh. Tidaklah ia kelihatan kelakar dengan rupa seperti roda sport yang besar dari sisi, tapi kelihatan kurus jika dilihat dari hadapan dan belakang, selain benar-benar membantu pengendalian. Boleh dikatakan karekter suspensi Vento ini adalah setara dengan sedan segmen-C yang lebih besar dan mahal.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan harganya kekal kompetitif, Vento tidak dilengkapi dengan gimik-gimik seperti lampu utama LED, lampu nyalaan siang, skrin infotainmen dan sebagainya, yang pada saya ciri-ciri sebegini sebenarnya lebih kepada kepuasan show-off berbanding kepuasan pemanduan sebenar

IZWAASHURA SADALI

Tahun 2016 menyaksikan banyak model baharu dan facelift yang dilancarkan di Malaysia. Ia memberikan senarai yang lebih bervariasi kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan kenderaan baharu.

Tahun sebelum ini, ada perkhabaran yang menyatakan harga kenderaan akan diturunkan kerana perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tetapi disebabkan nilai Ringgit Malaysia yang kian menyusut dalam pertukaran asing, beberapa syarikat pengeluar kenderaan terpaksa menaikkan harga jualan modelnya. Ini termasuklah Nissan, Mitsubishi, Proton dan Mazda.

Namun kenaikan harga ini seakan tidak menjadi penghalang untuk orang ramai meneruskan hasrat untuk membeli kenderaan baharu. Malah, kami kerap diajukan pelbagai pertanyaan mengenai kelebihan (dan kekurangan) sesuatu model kenderaan, adakah ia berbaloi dengan harga, bagaimana prestasi dan sebagainya. Dan jika ditanya, apakah model kenderaan yang menjadi pilihan saya bagi tahun ini; ini jawapannya.

5. Mitsubishi Outlander

Jika anda mencari SUV tujuh-tempat duduk yang selesa dan mempunyai ruang yang agak besar, model yang saya sarankan ialah Mitsubishi Outlander. Walau pun karakternya bersifat sederhana dengan tujahan kuasa dari enjin 2.4 liter empat-silinder MIVEC, ia sudah memadai bagi sebuah SUV seperti Outlander ini.

Dengan hamburan kuasa 167 PS pada 6,000 rpm dan tork 222 Nm pada 4,100 rpm, dipadankan pula dengan kotak gear automatic INVECS-III CVT dengan pedal penukar gear di belakang stereng, ia masih mampu memberikan pacuan yang mantap.

Karakter luaran Outlander ini turut diberikan suntikan secara besar-besaran, malah ia menggunakan imej terkini yang ditonjolkan oleh Mitsubishi iaitu “Dynamic Shield”, seperti mana yang ditampilkan pada model konsep XR-PHEV dan eX, juga Pajero Sport terbaharu. Sekaligus memberikan imej yang lebih segar, ranggi, elegan dan bergaya. Sesuai dengan karakternya sebagai sebuah SUV bersifat moden, walau pun tidak dibaluti elemen mewah.

Harganya pula RM 166,720.00, terletak di pertengahan di antara model pesaingnnya iaitu Nissan X-Trail 2.5L (RM159,164) dan Honda CR-V 2.4L (RM167,620), memberikan salah satu tiket untuk Outlander dijadikan pilihan, selain memiliki ruang yang lebih luas dan selesa. Secara konklusi, berbanding X-Trail, Outlander lebih selesa dikendalikan, walau pun CR-V mungkin lebih sedap dipandu.

4. Proton Saga 2016

Suatu kejutan yang tidak terfikir akan dilakukan oleh Proton apabila berjaya menambah baik model Saga 2016 ini. Prestasinya begitu berbeza dengan model terdahulu walau pun masih ditawarkan dengan enjin berkapasiti 1.3 liter.

Namun kelahiran semula Saga ini, boleh dianggap sebagai pencetus semula kebangkitan Proton yang dilihat menurun kresibilitinya sejak kebelakangan ini. Dan adakah Saga bersama tiga lagi model yang diperkenalkan pada 2016 termasuk Perdana, Persona dan model kerjasama dengan Suzuki iaitu Ertiga, mampu melonjakkan semula jenama Proton dalam industri ini?

Walau sekadar enjin 1.3L, Saga tidak mengecewakan. Bukanlah sesuai untuk dipandu secara agresif, namun Saga baharu ini memiliki prestasi yang mengejutkan. Ia lebih ‘akrab’ dengan pemanduan dan pacuan yang diingini, malah gabungan transmisi CVT bersamanya juga tidak menghampakan. Ia mampu menghadiahkan pengendalian yang menyeronokkan.

Pendapat saya, memang cukup berbaloi jika anda memilih Saga baharu ini. Selain prestasi yang dipertingkatkan, harganya yang sekitar RM36k hingga RM45k, boleh dianggap sangat berpatutan. Imejnya juga sedap mata memandang dan walau pun tidak disaratkan dengan pelbagai elemen berteknologi tinggi, apa yang ada pada Saga ini memang berpadanan dengan harga yang ditawarkan. Apa yang anda hendak lagi?

3. Subaru Levorg 1.6 GT-S

Mungkin sukar untuk menjadi model yang popular di Malaysia, namun sebenarnya ada karakter tersembunyi pada jentera wagon yang baru memasuki pasaran tahun ini.

Dengan platform berasaskan jentera WRX, Levorg 1.6 GT-S ini dikuasakan oleh enjin boxer 1.6 liter turbo empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api terus (170 PS/250 Nm) dan dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT dengan enam-kelajuan. Kuasanya disalurkan ke semua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru.

Itu soal mekanikal, adakah ia seiring sejalan dengan prestasi yang dihamburkan dengan kuasa tersebut? Dengan tujahan enjin 1.6L dan gabungan turbo serta padanan transmisi tersebut, ia mampu mengekstrakkan kuasa yang berpadanan. Malahan antara karakteristiknya yang menambat hati ialah kestabilannya ketika dipacu secara agresif. Apatah lagi dengan adanya sistem 4WD, yang peka untuk mengambil tindakan setiap kali diperlukan.

Imej yang dipertaruhkan juga cukup menarik kerana terserlah sifatnya yang sporty dan dinamik. Cuma soal harganya yang agak tinggi iaitu hampir mencecah RM200k, mungkin membuatkan ia kurang popular di negara kita.

2. Honda Civic 2016

Honda seakan membuat percaturan baharu bagi model Civic 2016. Walau pun untuk enjin 1.8L tiada perubahan seperti mana model terdahulu, namun pengenalan enjin 1.5L Turbo yang digunakan pertama kali pada Civic, itu satu perkara yang dianggap cukup menarik.

Namun ketika memandu ujinya dahulu, sama ada varian 1.5 turbo atau pun 1.8L, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Jika ditanya, varian mana yang lebih menambat hati saya?

Jawapannya, Civic 1.8 sudah mencukupi. Honda turut mengolah semula talaan transmisi CVT padanya, membuatkan ia lebih cekap. Ia tetap mampu membawa pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Namun demikian, Civic 1.5 Turbo juga tidak kurang hebatnya, tetapi tanpa rasa ‘turbo kick’, prestasinya seakan sama sahaja dengan enjin 1.8.

Bukan setakat prestasi, saya cukup menggemari imej luaran yang dibawa oleh Civic 2016 ini. Gabungan sporty, garang dan elegan bersatu dengan olahan yang lebih meyakinkan. Sekaligus menyingkirkan kelemahan imej Civic generasi ke-sembilan yang dilihat kurang ummphh.

1. Mercedes-Benz A 200 AMG Line

Ia bukanlah model Mercedes-Benz yang paling berkuasa, paling sporty atau yang terbaik. Tetapi untuk yang baru berjinak-jinak hendak memiliki jentera Mercedes-Benz, model ini mungkin boleh dipertimbangkan. Harganya yang ‘lebih mampu milik’ iaitu sekitar RM205,888, dan sesuai untuk penggemar jentera hatchback.

Lengkap dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo VVT, ledakan kuasanya mampu mencecah 156 hp pada 5,300 rpm dan tork puncak pula 250 Nm pada 1,250 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan; walau pun ada sedikit kelemahan pada kotak gear ini, iaitu ia agak sedikit perlahan untuk memberikan respons, namun ini dapat di atasi dengan ledakan enjin yang agak padu.

Imej luaran dan dalaman yang dibawa? Cukup menambat pandangan dari mata hingga ke hati. Serba-serbi dilihat sporty, malah masih mengekalkan sifat mewah dan elegan tetapi dengan sentuhan yang lebih moden dan berjiwa muda.

DURRANI SHAROM

Di antara semua di sini, saya mungkin yang paling kurang memandu uji kereta, dengan hanya beberapa model sahaja yang sempat dicuba tahun ini. Disebabkan itu, senarai kenderaan pilihan saya dicampurkan bersama motosikal, yang tidak kurang juga meriahnya dengan pelancaran pelbagai model.

Ingin juga dinyatakan di sini bahawa ia adalah sekadar pilihan peribadi, yang mana jika saya berkemampuan, setiap satunya boleh ‘memperdaya’ saya untuk membelanjakan wang simpanan di dalam bank. Pada pendapat saya, memang tiada satu kenderaan yang boleh melakukan semua benda, tetapi pilihan saya ini adalah yang paling bersesuaian jika dilihat pada keperluan tertentu.

5. Proton Saga

Daripada empat model baru Proton yang dilancarkan tahun ini, Saga menerima perhatian utama saya kerana pertamanya, ia memberikan akses kepada lebih ramai orang dengan kenderaan yang mampu milik, bermula pada harga RM36,800 dan mempunyai spesifikasi serta kualiti pemanduan yang cukup baik untuk tahapnya. Selain itu, jika dibandingkan pula bentuknya dengan Persona ataupun Perodua Bezza, ia dilihat paling padan.

Melalui penawaran sebuah kereta sedan yang lengkap pada harga ini juga, Proton secara tidak langsung telah membantu memberi peluang kepada orang yang bukan sekadar mahu membeli kereta untuk kegunaan sendiri, malah juga boleh digunakan untuk menambah pendapatan melalui servis penyelesaian pengangkutan seperti Uber dan Grab.

4. Yamaha Ego Avantiz 125

Jika mahukan kenderaan yang paling mudah di dalam kawasan urban, jawapannya adalah skuter kapasiti kecil, dan saya memilih Ego Avantiz 125 yang dilancarkan Julai lalu. Kuasa enjin 125 cc SOHC dengan teknologi Blue Core pada motosikal ini mampu menghasilkan pecutan yang memuaskan meskipun menggunakan transmisi automatik. Anda tidak perlu risau untuk bergerak seiring dengan trafik di dalam bandar dan ia cukup lincah.

Rekaannya juga nampak moden, dengan lampu utama jenis LED yang dapat memastikan penglihatan anda kepada jalan raya sentiasa jelas termasuk pada waktu malam. Di bawah tempat duduknya, ruang simpanan yang disediakan tidak boleh menyimpan helmet, tetapi masih berguna untuk meletakkan barangan lain seperti baju hujan atau kelengkapan peribadi untuk mengelakkannya daripada hujan. Helmet masih boleh dilekatkan pada cangkuk di bawah tempat duduk tersebut dan dikunci.

Selain itu, saya juga tertarik dengan betapa mudahnya operasi skuter ini. Sebagai contoh, hanya sebelah tangan sahaja yang boleh digunakan, dengan tenaga yang minimum untuk meletakkannya pada kedudukan rata menggunakan tongkat tengah.

Selain itu, di bahagian bawah pemegangnnya pula terdapat ruang kecil untuk meletakkan barang seperti botol air. Memandangkan ini adalah sebuah motosikal berteknologi suntikan bahan api, penggunaan bahan api juga memuaskan.

3. Toyota Sienta

Walaupun dijual pada harga yang sedikit tinggi, Toyota Sienta dilihat sebagai mempunyai pelbagai kegunaan. Itulah yang menjadikan pengalaman saya memandu kenderaan tujuh tempat duduk ini agak menyenangkan. Ia dikuasakan oleh enjin empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i berserta transmisi CVT, dan menghasilkan tujahan kuasa mencukupi bagi pemanduan seharian.

Selain dapat menarik pemandu dengan pengendalian yang serba mudah dan lincah, Sienta juga menyediakan keselesaan bagi penumpang dengan bahagian belakangnya mempunyai corong pendingin hawa di bahagian panel bumbung, NVH yang baik dan hentakan suspensi yang bagus.

Saya menggambarkan, Sienta ini sebagai kenderaan pelbagai guna kerana selain mempunyai ciri yang memudahkan penumpang seperti pintu gelungsur, ia juga dapat memenuhi keperluan pemilik sekiranya ingin membawa barang yang besar kerana tempat duduk belakangnya boleh dilihat rata.

Jika anda seorang yang aktif contohnya dan perlu membawa kelengkapan sukan seperti basikal saiz penuh tanpa menanggalkan tayarnya, saya tidak dapat melihat sebarang masalah untuk Sienta melaksanakannnya.

2. Honda RS150R

Ramai yang melihat motosikal berkapasiti tinggi sebagai satu penyelesaian pengangkutan yang mudah dan menjimatkan. Walau bagaimanapun, pengguna di negara kita tidak terkecuali dengan mereka yang mahukan prestasi pada motosikal jenis ini. Disebabkan itu jugalah pengeluar berani untuk membawa ke dalam pasaran model seperti Honda RS150R, Yamaha Y15ZR dan Belang 150 Fi.

Namun, di antara semua itu, bagi keperluan jenis ini, saya memilih Honda RS150R kerana enjinnya mempunyai kelebihan DOHC dan transmisi enam gear yang dipadankan bersama sistem suntikan bahan api. Ini bukan setakat diperhati melalui spesifikasi sahaja, malah apabila menunggangnya juga didapati RS150R mempunyai tujahan kuasa yang lebih mengujakan dan pantas dalam keadaan asal.

Berkenaan harga, RS150R dijual pada harga RM8,213.94 dan ini sebenarnya tidak banyak perbezaan dengan Y15ZR tetapi kelihatan seperti banyak peniaga yang mengambil kesempatan terhadap ‘motosikal panas’ ini. Bagi mengelakkan terpedaya, pembeli seharusnya lebih rajin untuk pergi kepada lebih banyak kedai untuk membezakan harganya.

1. KTM SuperDuke GT 1290

KTM Super Duke GT 1290 saya uji semasa pelancaran globalnya di Sepanyol awal tahun ini dan sehingga sekarang, pengalamannya masih bermain segar di ingatan. Motosikal ini diasaskan daripada model Super Duke R, iaitu sebuah model naked yang menggunakan enjin dua silinder V 1,301 cc dan transmisi enam kelajuan. Bagi Super Duke GT, ia dikemas kini supaya bersesuaian dengan konsep jelajah.

Menariknya motosikal ini, ia sebuah jentera yang cukup ganas namun dalam pakej sama, boleh dilaras untuk menjadikannya lebih selesa untuk tunggangan jauh. Bermakna, jika anda seorang yang gemar ‘menyerang’ selekoh dan pada masa sama, mahukan motosikal yang boleh dibawa untuk perjalanan jauh, ini adalah jawapannya.

Selain itu, teknologi yang dilengkapi pada motosikal ini juga cukup canggih dengan antaranya sistem Motorcycle Stability Control yang termasuk Kawalan Cengkaman (TC), Cornering ABS, tiga pilihan mod tunggangan dan suspensi WP aktif. Di Malaysia, KTM Super Duke GT dilancarkan pada bulan Julai lalu pada harga RM125,000.