Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

Setelah menyiarkan imej teaser, serta fotonya tanpa sebarang penyamaran tersebar, Kia secara rasminya mendedahkan Picanto generasi ketiga. Model baharu dengan kod casis JA ini bakal menggantikan model generasi kedua TA sedia ada, menampilkan unit janakuasa baharu, kabin yang lebih besar, serta pelbagai lagi teknologi baharu dan sistem keselamatan.

Picanto generasi ketiga ini direka diinspirasikan dari model Rio baharu, menampilkan rupa yang lebih matang tetapi masih mengekalkan imej comel seperti sebelum ini.

Pada bahagian muka, kedua-dua lampu hadapan kelihatan seperti dihubungkan dengan gril lebih lebar berbanding model sebelum ini. Lampu nyalaan siang pula menampilkan jalur LED berbentuk-U yang diletakkan di dalam lampu utama. Bahagian bampar juga kini menampilkan gril yang lebih lebar dibahagian bawah bagi memberikan rupa yang lebih agresif.

Pada bahagian sisi, Picanto generasi baharu ini juga kelihatan seimbang dengan bahagian tingkap yang nampak lebih tirus dan ruang roda yang lebih besar. Garisan tingkap belakang juga direka agar mengalir keatas, berbanding garisan lurus pada model sedia ada. Walaupun seakan seiras dengan model sebelumnya khususnya pada lampu kombinasi, bahagian belakang Picanto kini kelihatan lebih lebar dan stabil.

Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

Varian Art Colletion ditawarkan pada Picanto pasaran Korea (GT Line untuk pasaran lain). Varian ini memberikan imej yang lebih agresif seperti Sport Pack yang terdapat pada model sedia ada, yang terdiri dari tip ekzos berkembar, pilihan kemasan dengan elemen hitam, perak, merah atau hijau lime, serta pilihan rim berdiameter antara 14-,15- dan 16-inci.

Picanto generasi sedia ada telah pun menampilkan bahagian dalaman yang bertaraf lebih tinggi berbanding hatchback segmen-A lain, pada model generasi terbaharu ini, ia diberikan rekaan yang jauh lebih baik. Ia diberikan papan pemuka dua-tingkat, dilengkapi paparan infotainmen terapung pada bahagian tengah, yang biasanya ditampilkan pada model lebih mewah, diambil terus dari Rio. Liang udara penghawa dingin sisi pula kini direka secara menegak.

Model ini diberikan roda stereng tiga jejari yang diambil dari Optima, manakala suis-suis kawalan penghawa dingin juga direka lebih menyerlah, serta turut diberikan perehat tangan dengan ruang storan yang diletakkan di antara tempat duduk hadapan. Pakej Art Collection turut diberikan pada bahagian dalaman menampilkan pilihan warna kemasan yang sama pada bahagian luaran, diberikan pada bahagian-bahagian seperti panel dalaman pintu.

Untuk sistem Infotainmen, Picanto pasaran Korea diberikan servis peta Kia T, yang menghubungkan aplikasi navigasi dalam telefon pintar pemilik dihubungkan kepada sistem infotaimen menerusi hubungan MirrorLink. Sistem tersebut akan memberikan konfigurasi menu, posisi, saiz huruf yang lebih baik untuk menjadikan penggunaan sistem navigasi lebih mudah dan selamat. Ia turut diberikan hubungan Apple CarPlay dan juga kamera undur.

Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

Saiz Picanto baharu ini agak sama dengan model generasi sedia ada, diukur dengan dimensi 3,595 mm panjang, 1,595 mm lebar, tinggi 1,485 mm serta jarak rodanya ialah 2,400 mm. Untuk lebih mudah dibuat perbandingan, ia 5 mm lebih rendah, dan juga jarak rodanya 15 mm lebih panjang berbanding Picanto TA. Walaupun bumbungnya lebih rendah, Kia mendakwa ruang kepala, ruang bahu serta ruang lutut hadapan dan belakang Picanto kini lebih besar. Ruang kargonya juga telah dipertingkatkan dari 200 liter kepada 255 liter.

Model baharu ini dijana oleh enjin tiga-silinder 1.0 liter Kappa Eco-prime berkuasa 76 PS/95 Nm, yang ditala bagi membolehkan ia mencapai penggunaan api lebih baik iaitu 15.4 liter untuk setiap km dalam kitaran gabungan. Kotak gear untuk model ini masih belum diperincikan, namun dijangka masih menggunakan pilihan transmisi empat-kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual, sama seperti model sebelum ini.

Picanto generasi baharu ini dibina menggunakan platform baharu sepenuhnya, menggunakan 44% keluli berkekuatan tinggi, lebih 22% lebih banyak dari model terdahulu. Pelekat struktur kalis-impak turut digunakan pada kawasan pelanggran utama untuk mengurangkan perubahan bentuk ketika pelanggaran. Ia juga diproduksi menggunakan kaedah hot stamping bagi memberikan kekuatan siling dan ketegaran kilasan yang lebih baik.

Seperti juga model sedia ada, Picanto diberikan tujuh-beg udara (termasuk untuk lutut pemandu) dan juga sistem Vehicle Stability Management (VSM), tetapi turut ditambah dengan sistem torque vectoring serta Straight Line Stability (SLS) bagi membolehkan kereta kecil ini kekal stabil ketika membrek dan juga pada pecutan garis lurus.

Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

Hatchback kompak ini turut menerima sistem brek kecemasan automatik (AEB), sistem amaran pelanggaran hadapan (FCWS) serta sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS), yang lazimnya kesemua sistem ini diberikan pada model-model lebih besar dan mewah.

Picanto generasi baharu ini akan mula dijual di Korea pada 17 Januari ini dengan harga bermula 9,500,000 hingga 9,700,000 won (RM35,400 hingga RM36,200) untuk varian asas Basic Plus, 9,900,000 hingga 10,100,000 won (RM36,900 hingga RM37,700) untuk Deluxe, 11,800,000 hingga 12,000,000 won (RM44,000 hingga RM44,700) untuk Luxury dan 12,650,000 hingga 12,850,000 won (RM47,200 hingga RM47,900) untuk varian tertinggi Prestige.

Kia turut menawarkan Picanto yang lebih feminin menerusi varian Lady yang diberikan kelengkapan seperti cermin solek berlampu, pemanas roda stereng dan juga AEB, ditawarkan pada harga antara 12,200,000 hingga 12,400,000 won (RM45,500 hingga RM46,200). Manakala untuk pasaran lain di seluruh dunia, Picanto akan mula dijual bermula musim bunga tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required