Buat pertama kali, Honda BR-V diprebiu di Malaysia adalah pada awal November lalu bersempena dengan Malaysia Autoshow 2016 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Sebulan kemudian, iaitu pada 1 Disember lalu, Honda Malaysia mengumumkan tempahan bagi crossover tujuh-tempat duduk ini mula dibuka, menandakan ia semakin menghampiri tarikh pelancarannya.

Hari ini, Honda Malaysia membuka tirai 2017 dengan memperkenalkan secara rasmi model pertama yang dilancarkan buat tahun ini bagi pasaran Malaysia. Dengan kehadiran dua varian iaitu Gred E dan spesifikasi tertinggi iaitu Gred V, BR-V ini ditawarkan dengan harga atas jalan masing-masing (berserta insurans) RM85,800 dan RM92,800. Honda Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 800 unit sebulan.

BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ versi Malaysia adalah model pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Honda, Pegoh, Melaka. Menurut Honda Malaysia, 70-80% komponen yang digunakan adalah produk buatan tempatan.

Setakat ini, BR-V hanya dipasarkan di India, Indonesia, Thailand dan Malaysia sahaja. Menurut Honda Corporation, BR-V ‘belum dimuktamadkan’ untuk dipasarkan di Jepun kerana di sana barisan kenderaan lebih banyak dan pelbagai segmentasi. Walau bagaimana pun, BR-V sebenarnya sangat sesuai untuk dipasarkan di mana-mana sahaja, dan tidak tertakluk hanya untuk empat negara yang disebut sebelum ini.

Ia dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, sama seperti City dan Jazz, dengan kuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm. Enjin berkenaan dipadankan transmisi Earth Dreams CVT, menyalurkan kuasa hanya ke roda hadapan.

Bagi sistem suspensinya, ia menggandingkan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Torsion Beam untuk belakang. Menurut Honda Malaysia, dimensi bagi suspensi untuk BR-V di semua negara adalah sama, namun peredam (damper) bagi pasaran Malaysia telah diberi talaan yang sedikit berbeza untuk kesesuaian kegunaan di jalan raya di negara ini.

Crossover ini dibina dari platform MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio. Ia berdimensi 4,453 mm panjang (4,456 mm untuk varian V), 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Ia turut memberikan jarak kelegaan tanah sehingga 201 mm. Sebagai perbandingan, BR-V ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

Menurut Honda, BR-V ini mampu mencatatkan jejari pusingan sehingga 5.5 meter, secara tidak langsung memudahkan pemandu untuk membuat pusingan-U.

Walau pun berkongsi platform yang sama dengan Mobilio, namun BR-V tampil dengan rekaan luaran yang tersendiri. Ia hadir dengan lampu hadapan halogen yang turut dipadankan dengan lampu nyalaan siang (hanya pasaran Malaysia sahaja yang menerima padanan DRL) LED. Namun hanya varian V sahaja yang dilengkapi dengan lampu kabus hadapan.

Malahan imej hadapannya juga ditampilkan dengan rekaan signatur Honda Solid Wing, bampar hadapan yang kelihatan lebih lasak serta penutup enjin baharu. Imej yang ditampilkan ini ternyata jauh berbeza dengan penampilan Mobilio.

Melewati bahagian belakangnya pula, BR-V menerima lampu belakang, pintu tailgate serta bampar yang juga berbeza daripada Mobilio. Selain itu, kedua-dua varian turut menerima rel bumbung (dengan kapasiti meletakkan barangan seberat maksimum 3 kg), roda aloi bersaiz 16-inci dibaluti tayar bersaiz 195/60R16.

Walau bagaimana pun, varian V pastinya tampil dengan lebih bergaya termasuk dilengkapi pemegang pintu krom (warna badan bagi E), pelindung sisi krom dan hiasan pada bampar bawah.

Menjengah bahagian kabinnya, imej yang dibentangkan hampir sama dengan Mobilio. Pastinya varian V tampil lebih premium termasuk didatangkan dengan butang penghidup enjin dan kemasukan pintar, roda stereng balutan kulit lengkap dengan suis kawalan audio, tombol gear balutan kulit, penghawa dingin auto (manual untuk E), panel instrumen Water Print Matt (Shiny Dark Metallic untuk E), tempat duduk balutan kulit (material urethane untuk E) dan sistem audio dengan paparan 6.1″ (audio standard untuk E).

Manakala elemen standard yang ada pada kedua-duanya ialah liang penghawa dingin untuk kabin belakang, sambungan Bluetooth, port bagi USB, HDMI dan Aux, fungsi telefon bebas tangan, empat-pembesar suara dan 11 tempat meletak cawan.

Bagi ruang dalamannya, ia boleh dikatakan agak luas dan berpadanan dengan saiz BR-V. Tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 60:40 manakala untuk baris ketiga pula ia boleh dilipat dengan nisbah 50:50 bagi memberikan ruang kargo berkapasiti 539 liter (223 liter sekiranya tempat duduk tidak dilipat).

Barisan ketiga tempat duduk BR-V turut diberikan tali pinggan tiga poin, dan menurut Honda ia merupakan tempat duduk barisan terakhir paling selesa dalam kelasnya serta kedudukannya umpama ‘tempat duduk dalam studio teater’ kerana ia tinggi sedikit berbanding baris kedua untuk memberikan pandangan yang lebih jelas buat penumpang yang duduk di bahagian tersebut.

Untuk aspek keselamatan, kedua-dua varian turut menerima elemen yang sama iaitu dua beg udara SRS hadapan, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isofix untuk tempat duduk baris kedua dan pengesan undur. Cuma varian V sahaja yang dilengkapi dengan kamera undur.

Dengan elemen keselamatan yang ditawarkan ini terutamanya VSA, membolehkan BR-V menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

Setiap pembelian BR-V ini turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dan tanpa had perbatuan serta selang servis 10,000 km. Ia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Taffeta White, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Dark Ruby Red Pearl dan warna baharu yang pertama kali diperkenalkan oleh Honda di Malaysia iaitu Golden Brown Metallic.

Ternyata kedatangan BR-V ini mampu memberikan lebih banyak pilihan buat rakyat Malaysia yang inginkan sebuah kenderaan untuk kegunaan seisi keluarga. Malah crossover ini turut memberikan persaingan hebat buat kenderaan sama segmen dengannya iaitu Nissan Grand Livina, Perodua Alza, Toyota Rush dan Toyota Avanza.

Kami telah memandu uji BR-V versi Thailand di Bangkok pada hujung tahun lalu, untuk mengetahui sedikit gambaran mengenainya, sila baca ulasan tersebut DI SINI.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi lengkap dan perincian mengenai BR-V ini, sila layari Carbase.my.

GALERI: Honda BR-V Gred V

GALERI: Honda BR-V Gred E

GALERI: Honda BR-V Modulo

GALERI: Honda BR-V yang dipamerkan di MIECC November lalu