Yamaha NVX 155 sebelum ini pernah muncul di Litar Antarabangsa Sepang, semasa perlumbaan MotoGP yang berlangsung, dan itu adalah penampilan pertama bagi motosikal skuter ini di Asean. Kita di Malaysia masih menanti ketibaannya, tetapi di Indonesia, harga untuk model yang ditunggu-tunggu ini sudah dikeluarkan.
Melihat kepada laman web Yamaha Indonesia, NVX 155 atau dikenali sebagai Aerox 155 di sana, akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu yang asas, R-Version dan S-Version. R-Version kelihatan lebih kepada prestasi tunggangan dengan tambahan suspensi belakang yang lebih berprestasi manakala S-Version pula dilengkapi brek ABS. Model asas tidak mempunyai ABS.
Di antara tiga varian ini, Yamaha Indonesia telah mengeluarkan harga bagi versi asas, iaitu 21,850,000 rupiah (RM7,314), dan jika dibandingkan dengan model NMax tanpa ABS, ia adalah lebih murah 3,100,000 rupiah (RM1,037). NMax tanpa ABS dijual di Indonesia pada harga 24,950,000 rupiah (RM8,352).
Ini sekaligus boleh memberi petanda awal kepada harga NVX 155 di Malaysia, kerana ramai yang menyangka ia akan menjadi lebih tinggi daripada NMax dan walaupun menggunakan enjin sama, dilihat lebih cenderung ke arah prestasi dan agresif. NVX 155 dikuasakan oleh enjin 155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, berkuasa 14.8 hp dan 14.4 Nm tork. Berbeza dengan NMax, NVX 155 ditambah dengan sistem Start/Stop dan berat keseluruhannya adalah 11 kg lebih ringan.
Di Malaysia, NMax yang ditawarkan tidak dilengkapi dengan ABS, dan ia dijual pada harga RM8,812 termasuk GST. Bila tiba waktu NVX 155 dilancarkan di Malaysia nanti, dan jika benar harganya akan lebih rendah sehingga RM1,000, pasti ia akan menjadi sebuah skuter yang hangat. Anda teruja?
GALERI: Yamaha NVX 155 di Litar Sepang
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.