Sempena memperingati berakhirnya pengeluaran model semasa Civic Type R dikilangnya di Swindon, Honda United Kingdom telah mengasingkan 100 unit terakhir yang keluar dari kemudahan mereka untuk dijadikan model Black Edition.

Dianggap sebagai true collector’s item, Civic Type R berkenaan menempatkan beberapa sentuhan rekaan yang unik bertujuan untuk membuatkannya berlainan daripada versi biasa. Di bahagian luar, spoiler belakang kini diwarnakan merah, sementara ruang dalaman dengan latar warna hitam turut menerima kemasan merah.

Ia kekal menggunakan enjin K20C1 2.0 liter turbocaj empat silinder dengan janaan 310 PS pada 6,500 rpm dan 400 Nm pada 2,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Bacaan 0-100 km/j pula dalam masa 5.7 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

Honda Civic Type R Black Edition dijual pada harga yang sama dengan model GT di UK, iaitu 32,300 pound Sterling (RM175,278) – semua penambah baikan yang dibuat pada versi ini adalah percuma. Menurut syarikat itu, kilang di Swindon berkenaan sedang membuat persediaan untuk mengeluarkan versi terbaru Civic Type R, dijangka dalam tahun ini.