Akademi Bas Rapid kini dibuka kepada umum dan pihak-pihak yang berminat untuk menjadi pemandu bas atau ingin melatih mereka bagi tujuan menyelesaikan masalah kekurangan jumlah pemandu bas di negara ini, memetik laporan The Star.

Ketua akademi berkenaan, Jaslino Mohamed Yusoff memaklumkan, kemudahan itu mula dibuka kepada umum sejak November tahun lalu, namun tidak menerima sebarang permohonan. Kemudahan berkenaan mula beroperasi sejak 2012, namun hanya bertujuan untuk kegunaan dalaman syarikat itu sahaja untuk tujuan latihan.

“Pengusaha bas, persatuan atau individu yang berminat untuk dilatih menjadi pemandu bas boleh menghubungi kami,” ujar beliau. Sementara itu, CEO Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, syarikat itu telah menentukan penanda aras tersendiri bagi tujuan latihan kepada kapten bas yang bernaung di bawah syarikat itu.

“Tahap atau aras yang kami tentukan ini juga sudah disahkan oleh pihak berkuasa tempatan serta kumpulan antarabangsa,” tambah beliau. “Untuk itu, kami berada pada tahap standard dan kualiti yang sepatutnya untuk menawarkan latihan ini kepada umum, dan ini merupakan sebahagian sumbangan kami terhadap indsutri,” tambah beliau.