Beberapa hari ini, makin bertebaran berita menerusi laman media sosial dan Internet mengenai Perodua Axia 2017 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Malah sudah ada jurujual Perodua yang menyebarkan risalah promosi bagi Axia facelift ini. Walau bagaimana pun, pihak Perodua sendiri masih mengunci mulut mengenai perkara ini, ternyata masih belum bersedia untuk menguar-uarkannya.

Menurut apa yang disebarkan, terdapat beberapa ciri baharu yang bakal ditampilkan untuk Axia 2017 ini. Ini termasuklah bampar hadapan dan belakang baharu serta unit lampu utama projektor baharu.

Malahan Perodua turut memberikan enjin baharu untuk Axia ini, iaitu 1.0 liter VVT-i, unit penjana kuasa yang sama dengan Bezza. Ia adalah bagi menggantikan enjin yang dipadankan pada Axia terdahulu yang dilancarkan pada September 2014, iaitu 1.0 liter 12-injap DOHC.

Model semasa Perodua Axia Advance

Selain itu, ia turut menampilkan sistem kemasukan pintar dan butang penghidup enjin, tetapi hanya untuk varian SE dan Advance sahaja.

Bukan itu sahaja, Axia 2017 juga bakal dilengkapi dengan sistem navigasi multimedia DVD baharu dengan Mirror Link untuk telefon pintar Android. Malah terdapat sumber yang menyatakan lampu belakang juga akan menampilkan mekanisma operasi baharu.

Menurut risalah yang tersebar di laman media sosial, warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.

Walau bagaimana pun, semua perubahan yang dinyatakan di atas hanya berdasarkan khabar yang bersebaran di Internet. Untuk kesahihannya, kenalah tunggu perkembangan selanjutnya daripada pihak Perodua sendiri.

GALERI: Model semasa Perodua Axia Advance