Hari ini, 208 Puretech dan 2008 SUV Puretechfacelift telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan, selepas sebulan yang lalu, ia pernah dipertontonkan di Queensbay Mall, Pulau Pinang dan juga di Saujana Subang.

Ditawarkan dengan harga atas jalan RM89,888 bagi 208 dan RM109,888 untuk 2008, kedua-duanya didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/120,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) bagi menggantikan waranti pengeluar tiga tahun/dua tahun perlindungan insurans. Dan kedua-dua model terbabit turut ditawarkan dengan pakej servis percuma selama tiga tahun bagi 100 unit tempahan pertama.

Diberi sedikit suntikan peningkatan, model 208 dan 2008 ini tampil lebih segar pada bahagian luaran.
Bagi 208 facelift, kini ia menerima kombinasi gril yang lebih lebar dengan kekemasan krom dan bampar baharu yang lebih maskulin, bersama lampu utama signatur baharu dengan dwi-tona berwarna hitam yang lebih terang bersama bezel krom. Melewati bahagian belakang pula, ia dipadankan dengan kluster lampu LED-penuh 3D bersama motif cakaran yang menonjol. Dan ia juga dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 16-inci.

Manakala untuk 2008 pula, ia telah diberikan sedikit prubahan pada bahagian hadapan dengan menampilkan gril melintang baharu, di samping lampu utama dan sambungan gerbang roda hitam yang diperkemaskini serta scuff plates baharu serta rim aloi Hydre Antra dwi-tona 17-inci, sekaligus menyerlahkan lagi gaya SUV kompak tersebut. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dengan pencahayaan bantuan selekoh dan lampu belakang 3D.

Menjengah bahagian dalamnya, seperti model Peugeot terkini yang lain, ia turut mengetengahkan Peugeot i-Cockpit yang memberikan bantuan kepada pemandu untuk pengalaman pemanduan yang lebih jitu dan selamat. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan roda stereng balutan kulit dengan penambahbaikan pengendaliannya, skrin sesentuh berwarna pelbagai fungsi HD tujuh-inci dan sistem auto Start & Stop.

Lain-lain elemen termasuklah sistem Arkhamys 3D Audio dengan enam pembesar suara, sambungan digital sepenuhnya bersama USB dan Bluetooth dan kawalan suhu dwi-zon digital menerusi skrin sesentuh. Bagi 2008, elemen tambahan yang turut disertakan ialah pencahayaan LED biru dengan bumbung panoramik.

Peugeot 208 Puretech (kiri) & Peugeot 2008 SUV Puretech (kanan)

Kali ini Peugeot turut mengubah sudut mekanikal bagi kedua-dua model. Jika model terdahulu menerima enjin 1.6 liter (122 PS/160 Nm) bersama transmisi auto empat-kelajuan, bagi kedua-dua model facelift ini ditampilkan dengan enjin baharu 1.2 liter PureTech yang mampu menghamburkan output 112 PS dan 205 Nm, bersama transmisi baharu automatik enam-kelajuan Aisin.

Dengan penjana kuasa ini, membolehkan model 208 facelift dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 4.5 l/100 km bagi kitaran kombinasi. Berbeza dengan versi lama yang memerlukan 10.7 saat bagi 0-100 km/j dan penggunaan bahan api sekitar 6.7 l/100 km. Walau bagaimana pun, kelajuan maksimum tidak berubah.

Bagi model 2008 pula, kini ia mampu mencapai 9.9 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum sehingga 188 km/j dan lebih kurang 4.8 l/100 km. Sebagai perbandingan, model pre-facelift hanya 11.2 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum 190 km/j dan menggunakan 6.5 l/100 km.

Untuk aspek keselamatan, kedua-duanya menerima enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DCS). Selain itu, ia turut turut menampilkan binaan badan Keluli Ketahanan Sangat Tinggi, Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan tiga set ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

Bagi 208 Puretech, ia ditawarkan dengan enam warna menarik iaitu Digital White, Virtual Blue, Nera Black, Atomic Orange, Rouge Red dan Aluminium. Manakala untuk 2008 SUV Puretech hadir dengan empat warna iaitu Digital White, Ultimate Red, Emerald dan Artense Grey.

Menurut Dato’ Samson Anand George, COO Kumpulan, AUtomotive Group, Naza Corporation Holding, pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 2,500 unit bagi 208 dan 1,100 unit untuk 2008 pada tahun 2017, iaitu merangkumi 44% daripada sasaran jualan keseluruhan Peugeot di Malaysia.

Bagi mengetahui lebih terperinci mengenai spesifikasi, sila layari Carbase.my bagi 208 Puretech dan 2008 SUV Puretech.

GALERI: Peugeot 208 facelift

GALERI: Peugeot 2008 facelift