Honda City facelift akan dilancarkan di Thailand esok, tetapi ini rupa sedan segmen B berkenaan yang telah kelihatan di India. Gambar ini adalah dari Team-BHP.com, dan dirakam ketika sedang menjalani sesi penggambaran iklan.

Tidak seperti teaser yang dipertontonkan sebelum ini, yang menumpukan kepada wajah utamanya, siri gambar ini menunjukkan pula bahagian sisi dan belakang Honda City facelift berkenaan. Kini, antara yang lebih jelas kelihatan ialah rekaan rim aloi serta kluster lampu belakang yang diberi rekaan baru bagi model dengan spesifikasi India.

Lampu belakang yang dilihat di sini terdapat bahagian putih, yang tidak terdapat pada model yang ditunjukkan di Thailand sebelum ini – ia nampak sama seperti City versi sebelum facelift. Turut kelihatan ialah spoiler pada pintu but belakang dengan lampu brek ketiga terpasang padanya. Begitu juga dengan bahagian bawah bampar belakang yang lebih sporty dengan sedikit kemasan hitam ditengahnya.

Bagaimanapun, bahagian depannya tidak kelihatan dalam gambar terbaru ini, yang mengambil pendekatan rekaan yang sama seperti Civic FC. Antara “sentuhan” yang dipinjam daripada model itu ialah jalur krom di bahagian bucu kluster lampu utama serta posisi lampu LED bentuk L yang ada padanya.