Selepas dipertonton buat pertama kali semasa Los Angeles Auto Show 2015, Porsche Cayman GT4 Clubsport singgah di Malaysia dalam satu acara yang diadakan di litar go-kart Sepang. Model ini adalah diasaskan daripada Cayman GT4 versi jalanan, namun diubah suai untuk kegunaan perlumbaan.

Ia dijanakan oleh enjin 3.8 liter enam silinder yang sama, digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan Porsche Doppelkupplung (PDK) dan datang dengan penukar gear di stereng. Kuasa sebanyak 385 ps dapat dihasilkan oleh kenderaan berspesifikasi lumba ini, dan ia disampaikan kepada roda melalui LSD perlumbaan dan flywheel dual mass.

Berat keseluruhan kenderaan ini hanya 1,300 kg dan ia dapat dicapai dengan penggunaan gentian karbon pada bahagian seperti pintu, tempat duduk dan spoiler belakang, serta pengurangan berat pada bahagian-bahagian lain, seperti yang boleh dilihat pada bahagian dalamnya yang ‘kosong’.

Kelengkapan lain yang menjadikan kenderaan ini terletak dalam kelas GT4 termasuk tangki minyak keselamatan 100 liter FT3 dengan injap pemutus keselamatan, sistem pemadam kebakaran, sistem jack angin, cermin polycarbonate dan jaring di pintu. Pendingin hawa juga disediakan sebagai pilihan.

Porsche GT4 Clubsport versi Manthey Racing (MR) seperti yang dilihat dalam gambar ini adalah milik syarikat pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance sendiri.

Bagi pelanggan yang inginkan spesifikasi seperti ini, MR menyediakan pilihan pelbagai aksesori seperti bateri lithium-ion lebih ringan, lampu tambahan pada bampar hadapan, rim BBS, pelindung bahagian bawah kenderaan, sistem minuman untuk pemandu, serta tempat duduk Recaro untuk penumpang, berserta tali pinggang keselamatan six-point.

Porsche Cayman GT4 Clubsport MR dijual pada harga 159,990 Euro (RM747,811), di mana 127,900 Euro (RM597,807) adalah harga untuk kereta asas dan 32,090 Euro (RM149,986) untuk kit Manthey Racing. Cayman GT4 untuk kegunaan jalan biasa dijual di Malaysia pada harga RM840,000 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.