Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menarik balik lesen pemandu teksi serta permit kenderaannya yang terlibat di dalam kes mengenakan kadar tambang sehingga RM800 terhadap pelancong Perancis bulan lalu, lapor Bernama.

SPAD di dalam sebuah kenyataan memaklumkan, ini adalah berikutan aduan yang diterima daripada pelancong berkenaan yang menggunakan perkhidmatan teksi dari KLCC ke Masjid Negara pada 17 Disember tahun lalu. “SPAD akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu berkenaan. Sekiranya di dapati bersalah, dia akan di denda atau berdepan hukuman penjara.

“Individu yang terlibat juga akan disenarai hitam untuk mengelakkan dia daripada memperolehi lesen di masa hadapan,” jelas kenyataan itu. Tindakan penarikan balik lesen itu diambil kerana pemandu berkenaan telah melanggar Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Menurut seksyen berkenaan, seorang pemandu yang berdaftar dengas SPAD secara sah perlu menyediakan perkhidmatan teksi dengan menggunakan meter untuk menentukan kadar tambang, serta mengeluarkan resit bagi satu-satu perjalanan yang dibuat,” seperti yang dijelaskan di dalam kenyataan berkenaan.