Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Logo ‘H’ dengan latar belakang merah, bukanlah logo yang direka semata-mata untuk kelihatan cantik. Lencana berkenaan sebenarnya merupakan singkatan kepada Honda (logo ‘H’) Type-R (R bermaksud Racer dan diwakili oleh warna merah) – bermaksud model yang diberikan lencana ini di bina semata-mata untuk prestasi dan mengambil mudah ciri-ciri mewah serta keselesaan.

Setelah model prototaip yang dilihat hampir kepada bentuk produksi sebenar ditayangkan sebelum ini, model sebenar Honda Civic Type-R generasi baharu dijangka bakal membuat kemunculan sulungnya tidak lama lagi. Tahun 2017 juga sebenarnya merupakan ulangtahun ke-25 lencana Type-R diperkenalkan oleh Honda, dipadankan buat pertama kali pada NSX Type-R pada tahun 1992.

Menerusi artikel istimewa ini, kami akan membawa anda menyelusuri susur-galur sejarah model-model Type-R Honda, serta falsafah disebalik pembinaannya.

1992 – Honda NSX Type-R (NA1)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Honda NSX generasi pertama (NA1) diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1989, namun model tersebut merupakan model yang direka untuk kegunaan jalan raya biasa dengan talaan seimbang diberikan antara prestasi dan juga keselesaan. Setelah model tersebut berjaya dalam pasaran, Honda mengambil keputusan untuk menghasilkan NSX versi yang lebih hardcore dengan mengenepikan keselesaan, tetapi lebih tertumpu kepada prestasi khususnya untuk pemanduan di dalam litar.

Berat keseluruahn model istimewa tersebut telah dikurangkan sebanyak 120 kg dengan mengurangkan penebat-penebat bunyi, membuang sistem penghawa dingin (masih ditawarkan sebagai opsyen jika pelanggan mahukannya), membuang tayar gantian dan traction control (ketika ini penggunaan traction control belum dititik beratkan dan ia boleh mengehadkan kemampuan sebenar jentera berkenaan), serta menukar tempat duduk asal kepada tempat duduk kevlar-karbon dari Recaro.

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Ia juga diberikan komponen suspensi yang lebih keras termasuk kesemua bushing, penyerap hentak, spring serta bar anti-oleng. Kerangkan badan NSX ini juga menerima bracket tambahan bagi memberikan ketegaran yang lebih kuat. Aci engkol pada enjin 3.0 liter V6 DOHC VTEC telah diimbang semula, manakala nisbah akhir asal 4.235 pada gandar belakang ditukar kepada 4.06:1 bagi memberikan titik penukaran gear serta pecutan yang lebih pantas.

Setelah kesemua ini dilakukan, NSX ini akhirnya layak menerima lencana Type-R dan turut diberikan perincian Type-R lain seperti logo ‘H’ merah, tombol gear titanium, rim forged aluminium (16-inci di hadapan dan 17-inci dibelakang) yang lebih ringan berwarna putih dari Enkei, serta warna badan keseluruhan signatur Type-R iaitu Championship White – warna yang sama pada jentera Formula Satu Honda RA272 iaitu jentera pertama jenama berkenaan yang memenangi perlumbaan F1 pada tahun 1965.

Sebanyak 483 unit NSX-R NA1 dihasilkan dari 1992 hingga 1995 dan kesemuanya hanya dibina khas untuk pasaran domestik Jepun (JDM).

1995 – Honda Integra Type-R (DC2)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Honda Integra generasi ketiga dipilih sebagai model kedua yang diberikan lencana Type-R oleh Honda. Model asal yang dihasilkan bermula pada tahun 1995 ini juga dibina khas untuk pasaran JDM sahaja. Berbanding versi SiR yang berkuasa 176 hp, enjin 1.8 liter B18C DOHC VTEC pada versi Type-R ini diolah semula dengan liang kemasukan pada injap kemasukan diport dan digilap dengan tangan, menggunakan omboh yang dapat memberikan nisbah mampatan lebih tinggi, injap dengan rekaan baharu, serta sistem kemasukan dan ekzos dirombak semula, membolehkan ia menghasilkan kuasa 197 hp dengan putaran enjin dihadkan pada kelajuan 8,600 rpm.

Enjin berkenaan padankan bersama kotak gear lima-kelajuan manual dengan nisbah yang lebih pendek, serta diberikan LSD heliks. Pengendalian juga turut ditumpukan dengan diberikan set suspensi lebih keras, bersama rim aloi forged yang lebih ringan. Model ini juga menerima perincian-perincian signatur Type-R seperti kemasan bahagian dalam berwarna merah termasuk tempat duduk bucket dari Recaro, tombol gear titanium, lencana-lencana Type-R serta warna badan rasmi utama Championship White.

Seperti juga NSX-R, Inte-R turut menerima talaan casis dengan mengurangkan berat asal menerusi pengurangan penebat bunyi, menggunakan cermin 10% lebih nipis, serta tiada beg udara, penghawa dingin, penggilap cermin belakang, radio, jam pada konsol tengah, sistem stereng berkuasa dan juga sistem brek ABS. Kerangka kereta ini juga diperkuatkan dengan kimpalan ‘spot-weld’ yang lebih diberikan dan juga pemadanan bracket serta pendakap logam tambahan.

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Pada tahun 1998, model DC2 JDM ini menerima berberapa peningkatan. Nisbah gear akhir lebih tinggi diberikan, dan untuk mengimbanginya, nisbah gear 1 hingga 3 dipendekkan, manakala gear 4 dan 5 pula dipanjangkan. Rim forged aluminium bersaiz 16-inci diberikan bersama tayar 215/45R16 dengan lima-lubang nat, menggantikan rim 4 lubang terdahulu bersama hab dan brek yang lebih besar. Kuasa enjin masih lagi sama, tetapi tork maksima kini boleh dicapai lebih cepat menerusi manifold ekzos 4-1 yang direka lebih panjang.

Model 1998 ini juga menyaksikan buat pertama kali model Type-R dibawa kepasaran luar Jepun iaitu ke Amerika Syarikat (dijual atas jenama Acura) dan juga ke Eropah, tetapi dengan enjin B18C yang sedikit kurang kuasanya (195 hp untuk USDM dan 190 hp di Eropah) berbanding versi JDM. Model-model yang dieksport keluar ini juga dapat dikenalpasti menerusi rekaan mukanya yang menggunakan rekaan pre-facelift menampilkan lampu berbentuk bulat berkembar, berbanding model JDM yang menggunakan sepasang lampu tirus panjang.

1997 – Honda Civic Type-R (EK9)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Setelah mendominasi dunia hatchback pacuan roda hadapan tanpa bantuan turbo dengan enjin DOHC VTEC dan sistem suspensi double-wishbone pada model SiR terdahulu (EF9 dan EG6), Honda akhirnya mengambil keputusan untuk menghasilkan Civic talaan litar untuk kegunaan jalan raya pada model hatchback generasi ke-enam (EK), maka lahirlah Civic pertama dengan lencana Type-R pada tahun 1997.

Seperti biasa, ia menerima pengurangan berat yang hampir sama dengan Integra Type-R, suspensi lebih keras serta perincian Type-R seperti tempat duduk bucket Recaro dan kemasan dalaman lain berwarna merah, tombol gear yang diperbuat dari titanium serta roda stereng dari Momo yang berikan balutan kulit.


Honda Civic Type-R EK9 1999

Berbanding enjin DOHC VTEC 1.6 liter B16A pada varian EK4 SiR, enjin B16B pada EK9 Type-R ini menggunakan aci sesondol dengan durasi bukaan injap lebih besar, spring injap yang lebih kuat serta liang-liang injap yang dilakukan proses ‘port and polish’ menggunakan tangan.

Omboh enjin ini juga ditukar menggunakan omboh yang membolehkan ia mencapai nisbah mampatan setinggi 10.8:1. Hasilnya, enjin 1.6 liter B16B ini mampu menghasilkan kuasa 182 hp dengan putaran enjin dihadkan pada 8,400 rpm, berbanding B16A yang berkuasa 168 hp dengan putaran enjin dihadkan pada 8,000 rpm.

Model ini turut disegarkan kembali dengan versi facelift pada tahun 1999 sebelum ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2000.

1999 – Honda Accord Type-R (CH1)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Buat pertama kali, Honda UK diberi penghormatan untuk membina jentera Type-R versi mereka sendiri dan untuk projek tersebut, mereka memilih model Accord dari siri CH iaitu Accord generasi kelima yang dihasilkan untuk pasaran Eropah sahaja. Accord Type-R diberikan enjin DOHC VTEC 2.2 liter H22A ‘Red Top’ (sempena rocker cover enjin tersebut yang berwarna merah) berkuasa 209 hp pada takat 7,200 rpm dan tork maksima 222 Nm pada takat 6,700 rpm.

Enjin berkenaan dipadankan bersama kotak gear manual lima-kelajuan dengan ‘short-shifter‘ serta unit LSD heliks. Tipikal sebuah Type-R, Accord ini turut menerima roda stereng kulit dari Momo, tempat duduk bucket Recaro dan kemasan dalaman lain berwarna merah, pengurangan berat keseluruhan, kerangaka yang diperteguhkan, suspensi lebih keras, dan juga rim aluminium forged 17-inci berwarna putih.

Walaupun kurang popular dalam dunia street racing, Accord Type-R merupakan antara jentera yang digeruni dalam siri perlumbaan European Super Touring Cup musim 2000.

2001 – Honda Civic Type-R (EP3)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Setelah berjaya menghasilkan Accord Type-R, Honda UK diberi peluang untuk membina sebuah lagi Type-R, kali ini menggunakan kerangka Civic – juga versi khas untuk pasaran Eropah sahaja iaitu Civic generasi ketujuh hatchback siri EP (ketika ini pasaran Malaysia/Asia hanya menerima Civic generasi ketujuh versi sedan empat-pintu dari siri ES).

Civic Type-R EP3 menampilkan bentuk cermin tingkap sisi (hadapan dan belakang) yang diinspirasikan dari Civic ‘bullet’ iaitu Civic hatchback generasi kelima (EG). Model ini dikuasakan oleh enjin DOHC i-VTEC Honda generasi baharu K20A 2.0 liter berkuasa 197 hp pada takat 7,400 rpm dan tork maksima 196 Nm pada takat 5,900 rpm.

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dengan short-shifter. Tetapi, kotak gear pada Civic Type-R UK ini tidak menerima unit LSD heliks, malah ia turut tidak diberikan dengan tempat duduk dari Recaro (ia tetap diberikan tempat duduk bucket dan kemasan-kemasan dalaman lain berwarna merah.

Walau bagaimanapun, kilang Honda di Swindon, UK ada menghasilkan Civic Type-R EP3 yang dikhaskan untuk dieksport kembali ke Jepun dalam jumlah terhad. Model berkenaan diberikan enjin K20A yang lebih berkuasa, menjana 212 hp dan turut dilengkapi LSD heliks, tempat duduk Recaro serta perincian-perincian lain yang lebih premium.

2001 – Honda Integra Type-R (DC5)

Ketika Civic Type-R baharu dibina di UK, Honda Jepun turut membina sebuah lagi model Type-R berasaskan kerangka Integra generasi baharu. Honda Integra Type-R DC5 ini menampilkan warisan asli Type-R iaitu di bina di Jepun, dan hanya untuk pasaran Jepun sahaja.

Ia turut menerima enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A tetapi dengan kerahan kuasa yang lebih besar iaitu 220 hp, dipadankan dengan kotak gear manual nisbah rapat enam-kelajuan, lengkap bersama LSD heliks.

Ciri lain seperti casis yang diperteguh, pengurangan berat keseluruhan, suspensi lebih keras serta tempat duduk bucket dari Recaro diberikan secara standard serta turut ditambah dengan sistem brek dari Brembo.

2002 – Honda NSX Type-R (NA2)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Honda NSX generasi pertama menerima enjin baharu berkapasiti lebih besar – 3.2 liter berbanding enjin asal 3.0 liter – pada tahun 1997, seterusnya versi facelift terakhir diberikan pada tahun 2002, menampilkan lampu hadapan jenis tetap (lampu pop-up pada model sebelum ini) dan juga tayar belakang yang lebih lebar.

Serentak dengan itu, Honda turut menghasilkan versi baharu NSX Type-R yang jauh lebih hebat dari model sebelum ini. Perkara yang sama dilakukan untuk mengurangkan berat keseluruhan NSX Type-R baharu ini, tetapi bahagian yang diperteguhkan ditambah lebih banyak lagi bagi memberikan kerangka yang lebih tegar.

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

NSX-R 2002 ini juga menerima spoiler belakang yang lebih agresif bersama penutup hud berliang yang diperbuat dari bahan gentian-kabon. Enjin 3.2 liter V6 DOHC VTEC pada NSX-R ini masih menghasilkan kuasa yang sama dengan NSX standard iaitu 290 hp/305 Nm, tetapi dengan bahagian dalamannya yang telah diimbang semula, berjaya menghasilkan respon enjin yang lebih baik.

Jurnalis dan bekas pelumba Jepun, Motoharu Kurosawa atau lebih dikenali sebagai Gan-San telah mencatatkan rekod lap terpantas di litar Nurburgring, Jerman dengan catatan masa 7 minit 56 saat dengan NSX-R baharu ini, sama seperti yang dicatatkan oleh Ferrari 360 Challenge Stradale, walaupun kuasa kuda NSX-R kurang 100 hp berbanding Ferrari berkenaan.

2007 – Honda Civic Type-R hatchback (FN2)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Honda UK kembali membina Civic Type-R baharu menggunakan kerangka Civic hatchback Eropah generasi kelapan iaitu dari siri FN di kilang Honda Swindon. Model ini masih menggunakan enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A berkuasa 198 hp/193 Nm dan juga kotak gear manual enam-kelajuan lengkap dengan LSD heliks.

Walau bagaimanapun, prestasi Civic Type-R FN2 ini kurang memberangsangkan berbanding model terdahulu kerana asas Civic Eropah itu sendiri yang dibina berdasarkan platform yang agak seiras dengan Honda Jazz, menampilkan suspensi torsion beam pada bahagian belakang serta tangki minyak yang ditempatkan di bawah tempat duduk hadapan.

2007 – Honda Civic Type-R sedan empat-pintu (FD2)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Walaupun FN2 mendapat kritikan di Eropah, perkara sebaliknya berlaku di Jepun. Honda Jepun turut menghasilkan Civic Type-R generasi baharu versi mereka, menggunakan kerangka Civic sedan empat pintu generasi kelapan iaitu FD2. Asas Civic FD itu sendiri merupakan Civic paling sempurna pernah dihasilkan pada ketika itu, menampilkan bukan sahaja rupa yang sporty dan dan juga futuristik, ia turut diberikan sistem suspensi yang bagus dan juga kerangka yang lebih dinamik.

FD2 Type-R turut dijana oleh enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A, kali ini ditala bagi mendapatkan kuasa 222 hp pada takat 8,400 rpm dan tork maksima 215 Nm pada takat 6,100 rpm. Kuasa dihantar kepada kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan nisbah rapat lengkap dengan LSD heliks. Sistem brek hadapan menerima angkup empat pot dari Brembo manakala rim aloi forged bersaiz 18-inci dibaluti tayar Brigestone Potenza RE070 225/40R18, kesemua ini diberikan secara standard.

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Tempat duduk hadapan diberikan tempat duduk jenis bucket (kali ini bukan dari Recaro) berwarna merah-hitam, bersama kemasan-kemasan lain yang turut diberikan tema yang sama. Latar biru pada panel instrumen Civic standard ditukar kepada warna merah untuk model Type-R ini, dan ia turut diberi butang tekan penghidup enjin juga berwarna merah bagi memberikan gaya sebuah kereta lumba sebenar.

Selain dari suspensi yang lebih keras dan juga bentangan sistem gantungan bebas jenis multilink diberikan pada bahagian belakang, pengendalian Civic ini juga dibantu oleh dimensi asas sebuah sedan empat pintu yang lebih lebar serta jarak roda yang lebih panjang, membolehkan ia meredah selekoh dengan kelajuan yang lebih tinggi dari model-model sebelum ini.

Honda Civic Type-R FD2 antara model Type-R terbaik pernah dihasilkan oleh Honda Jepun, malangnya, kereta berkenaan merupakan model Type-R terakhir yang dikeluarkan oleh mereka. Model ini juga merupakan satu-satunya Type-R yang dibawa masuk ke negara kita secara rasmi oleh Honda Malaysia, dijual pada harga RM200k ketika itu.

2015 – Honda Civic Type-R (FK2)

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Pengumuman Honda untuk menghentikan pembinaan model-model Type-R sebelum ini ternyata hanya berkuatkuasa untuk Honda Jepun, tetapi tidak melibatkan Honda UK. Pada 2014, Honda UK mengesahkan Civic Type-R generasi baharu akan dibina di kilang Swindon mereka.

Model berkenaan akhirnya didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2015, bersama Honda NSX generasi kedua. Type-R baharu ini diasaskan dari Civic hatchback lima-pintu pasaran Eropah, yang turut membawa sekali sistem suspensi torsion beam pada bahagian belakang.

Namun apa yang menjadi perhatian pada model baharu ini adalah enjinnya, di mana ia dikuasakan oleh enjin K20C 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo suntikan bahan api terus yang mampu menjana 306 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Ini menjadikan FK2R ini sebagai Civic Type-R paling berkuasa dalam sejarah dan juga Type-R pertama diberikan pengecas turbo!

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Kuasa liar berkenaan disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan manual lengkap dengan LSD heliks, membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 285 km/j. Honda turut memadankan butang R+ pada model ini yang meningkatkan respon casis, pendikit dan juga enjin bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan.

Kehadiran Civic FK2R ini dalam pasaran seolah-olah Honda ‘melancarkan serangan’ ke atas model-model hot-hatch pacuan roda hadapan di Eropah termasuk Renault Megane RS, Volkswagen Golf GTI dan juga Ford Focus ST.

Setahun sebelum Civic ini diperkenalkan, Renault Megane RS 275 Trophy-R telah dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan paling pantas di litar Nurburgring dengan catatan masa 7 minit 54.36 saat. Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan pula oleh Honda Civic Type-R dengan catatan masa 7 minit 50.63 saat. Walau bagaimanapun, rekod tersebut telah dipecahkan sekali lagi pada tahun lalu oleh Volkswagen Golf GTI Clubsport S dengan catatan masa 7 minit 49.21 saat. Honda nampaknya belum berbuat apa-apa untuk merampas kembali kedudukan tersebut, mungkin tugas ini akan diambil alih oleh Civic Type-R generasi seterusnya?

Honda Civic Type-R Generasi Seterusnya

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Honda Civic standard generasi kesepuluh mula membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2015. Apa yang menarik, model generasi paling baharu ini dibina sebagai model global, bermaksud tidak kira ia model sedan untuk Asia dan Amerika Syarikat, model coupe dua-pintu khas untuk pasaran Amerika atau model hatchback lima-pintu untuk Eropah, ia dibina berasaskan platform yang sama.

Ini merupakan berita baik sekiranya Honda UK mahu membangunkan Honda Civic Type-R generasi baharu kerana dinamik dan dimensi platform baharu ini sememangnya lebih bagus serta diberikan suspensi bebas jenis multilink di bahagian belakang.

Perkara tersebut nampaknya benar-benar terjadi. Setelah gambar rasmi Civic generasi kesepuluh versi hatchback untuk pasaran Amerika Syarikat didedahkan, Honda Civic Type-R yang diasaskan dari model tersebut dikesan sedang diuji diatas jalan raya tidak lama selepas itu.

Legasi Type-R – lambang semangat perlumbaan Honda, 25 tahun berperang bersama kelajuan!

Akhirnya, hampir separuh teka-teki berkenaan terjawab setelah model prototaip Civic Type-R yang kelihatan sudah hampir lengkap sebagai model produksi didedahkan di Paris Motor Show tahun lalu.

Rupa asas Civic standard masih lagi kelihatan, namun model prototaip Type-R ini menampilkan rupa yang jauh lebih agresif. Liang kemasukan udara bersaiz besar pada setiap sisi bampar hadapan kekal pada bampar versi Type-R ini tetapi ditambah dengan liang melintang pada bahagian hujung dan lampu kabus juga dialihkan sedikit. Pada bahagian bawah bampar Civic ini dilengkapi dengan spoiler penuh manakala pada bahagian penutup hud, Type-R ini turut diberikan liang kemasukan udara.

Keempat-empat ruang roda turut dilebarkan, menyaksikan fender hadapan dapat diberikan liang sisi atas kerja pelebaran berkenaan. Skirt sisi yang lebih labuh dipadankan bagi melengkapkan sudut ini. Rupa agresif turut disumbangkan oleh spoiler belakang bersaiz besar. Honda memadankan dua bilah pada bahagian atas pintu tailgate belakang dipercayai untuk tujuan aliran udara yang lebih baik. Berbanding model biasa yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga-tip ekzos pada bahagian tengah.

Model ini dijangka bakal menggunakan enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C sama seperti model FK2R, tetapi sama ada ia diberikan kuasa tambahan atau tidak masih lagi belum diketahui. Model ini juga bakal dibawa masuk secara rasmi ke pasaran Amerika Syarikat, dan penala-penala dari negara berkenaan seperti Bisimoto Engineering dan AEM telah diundang untuk melihat sendiri model ini secara dekat dan eksklusif sebelum dipamerkan di SEMA 2016.

Belum ada tarikh rasmi bila model ini akan menerjah pasaran, namun kilang Honda Swindon telah pun menghasilkan 100 unit Civic Type-R FK2R Black Edition yang merupakan kumpulan terakhir model generasi tersebut, menandakan produksi Civic Type-R generasi baharu ini akan dimulakan tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required