Renault Driving Experience pertingkatkan pengalaman pemilikan, kesedaran pelanggan tentang jalan raya

Baru-baru ini, TC Euro Cars (TCEC), pengedar Renault di Malaysia, telah menganjurkan acara Renault Driving Experience yang bermatlamat untuk mempromosikan aspek keselamatan jalan raya, selain meningkatkan pengalaman pemilikan buat para pemilik kenderaan Renault di Malaysia.

Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Renault Driving Experience merupakan lanjutan kepada acara Renault Track Day yang sudah dianjurkan beberapa kali setahun sejak tahun 2010. Direka untuk meningkatkan pengalaman pemilikan buat pemilik jentera Renault Sport, sesi trek berkelajuan tinggi itu menawarkan peminat sukan bermotor peluang untuk menajamkan kemahiran pemanduan masing-masing dalam persekitaran yang terkawal.

Malah dalam masa yang sama, buat pertama kalinya TCEC turut menganjurkan satu kursus pemanduan defensif untuk pemilik Renault Captur dan Fluence untuk meningkatkan kesedaran dan menyampaikan kemahiran praktikal bagi pemanduan yang lebih selamat.

“Kami mahu melengkapkan para pelanggan dengan beberapa kemahiran pemanduan defensif yang penting. Ini kerana banyak kemalangan boleh dielakkan jika pemandu lebih bersedia untuk memberi maklum balas ke atas pelbagai keadaan dan kondisi di atas jalan raya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Kuan Kim Luen.

Renault Driving Experience pertingkatkan pengalaman pemilikan, kesedaran pelanggan tentang jalan raya

Berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2015, walaupun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia kini meningkat kepada 1.25 juta, kecederaan di jalan raya sebenarnya menjadi punca kematian utama dalam kalangan golongan muda berusia 15-29 tahun.

Sambung Kuan lagi, “Keselamatan jalan raya adalah masalah yang sangat penting dan relevan dengan perniagaan kami. Kursus pemanduan defensif ini bertujuan membantu meningkatkan kesedaran mengenai amalan srta teknik memandu yang selamat. Terutama apabila jumlah pemandu muda di negara ini kian meningkat. Jadi, ia mampu membantu mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan.”

Program Renault Defensive Driving Experience dimulakan dengan teori mengenai pentingnya mempunyai jarak pandangan yang jelas, menerusi mengkaji laluan di hadapan dan memahami masalah oversteering dan understeering. Peserta juga diajar tentang pentingnya menggunakan lampu isyarat membelok dan semua penumpang perlu memakai tali pinggang keledar, tip-tip memandu di lebuh raya ketika hujan, tidak memasang lampu kecemasan (hazard lights) ketika hujan lebat serta banyak lagi.

Renault Driving Experience pertingkatkan pengalaman pemilikan, kesedaran pelanggan tentang jalan raya

Peserta diajar tentang posisi duduk dan pemanduan yang betul. Ia memang penting untuk membolehkan mereka mengawal kereta sepenuhnya. Mereka diajar bagaimana untuk duduk dekat dengan stereng, boleh meletakkan pergelangan tangan di atas stereng, pada masa yang sama boleh menekan brek sepenuhnya. Posisi ini membolehkan mereka berada dalam posisi lebih baik untuk memberi tindak balas jika berlaku kecemasan.

Kursus itu turut merangkumi penggunaan ciri-ciri keselamatan Renault seperti Brek Anti Kunci (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Dalam sesi praktikal, para peserta akan merasai sendiri pengalaman menggunakan sistem kawalan kestabilan dengan ESC ketika menangani masalah understeer atau oversteer. Pada masa sama, mereka diajar mengenai cara memegang stereng dengan betul (posisi pukul tiga dan sembilan). Posisi itu membolehkan input yang lebih pantas dan secara langsung. Peserta diajar bagaimana untuk melakukan pusingan pantas yang cukup berguna terutama ketika terpaksa mengelak halangan di hadapan.

Mereka juga merasai sendiri pengalaman menguji keupayaan dan keberkesanan brek ABS yang membolehkan pemandu dapat mengawal kenderaan, walaupun ketika pedal brek ditekan keras. Latihan itu kemudian diteruskan dengan aktiviti menukar laluan dalam situasi cemas di mana pemandu perlu bergerak ke kiri dan ke kanan sebelum berhenti sepenuhnya. Ia diakhiri dengan latihan slalom yang membolehkan peserta menggabung dan mempraktikkan semua teknik pemanduan defensif yang telah dipelajari sepanjang hari.

Seramai 30 orang pemilik kenderaan Renault mengambil bahagian dalam kursus pemanduan defensif ini yang dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama pada waktu pagi dan sesi kedua pada sebelah petang.

Sementara 25 orang pemilik jentera Renault Sport pula menghadiri sesi di litar untuk menguji kemahiran dan prestasi kereta. Mereka perlu menamatkan sebanyak mungkin pusingan di litar dalam tempoh empat jam yang ditetapkan untuk sesi pada waktu pagi itu.

Sepanjang sesi berkenaan, mereka yang memandu model Megane R.S., Clio R.S. dan beberapa buah Megane R.S. 275 Trophy R sentiasa memeriksa catatan masa yang berjaya dilakukan. Bukan sekadar untuk melihat prestasi pemandu lain, malah untuk memadamkan rekod sendiri sebelum ini.

Untuk mereka yang memandu buat kali pertama, jurulatih ada disediakan untuk memberi tunjuk ajar mengenai cara pemanduan dan pengenalian yang betul ketika berada di litar.

TCEC mahu menganjurkan acara Renault Driving Experience pada setiap tahun untuk menawarkan sesi pemanduan di litar serta kursus pemanduan defensif kepada para pemilik Renault Sport dan Renault di Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required