Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

Ford telah mendedahkan foto dan perincian Mustang generasi keenam versi facelift yang bakal muncul sebagai model 2018. Selain dari sedikit penyegaran dari segi rupa, model ini juga turut diberikan pelbagai ciri dan kelengkapan baharu.

Pada bahagian muka, Mustang 2018 menerima sentuhan semula pada gril utama dan gril bawah, hud hadapan, serta kedudukan liang hud yang telah diubah. Ia juga kini menerima lampu hadapan LED untuk kesemua varian, serta lampu isyarat membelok LED baharu. Perumah lampu kabus juga telah direka semula, begitu juga pada bahagian fender hadapan.

Bahagian belakang pula, Mustang kini diberikan lampu LED dengan rekaan tiga-bar baharu, bersama bampar baharu dan juga spoiler belakang. Model EcoBoost dapat dikenal pasti pada penggunaan tip ekzos berkembar, manakala model GT V8 pula diberikan empat tip ekzos.

Pilihan opsyen juga kini lebih luas dimana pembeli boleh memilih 12 jenis rim berbeza serta pengenalan tiga warna baharu – Orange Fury metalik tiga-lapis, Royal Crimson lapisan gelap dan Kona Blue.

Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

New Ford Mustang V8 GT with Performance Package in Magnetic

Beralih ke kabin, perubahan terbesar diberikan pada paparan instrumen di mana Mustang kini diberikan skrin LCD 12-inci yang berfungsi untuk memberikan informasi instrumentasi. Konsol tengah juga kini diberikan jahitan tangan dengan benang kontras manakala trim pada panel pintu juga kini diberikan kemasan aluminium.

Rekaan tempat duduk kini telah dikemaskini, menampilkan corak dan pilihan warna baharu, manakala kunci juga diberikan bentuk baharu. Ford turut memberikan sistem Ford Sync Connect bersama FordPass, yang membolehkan pemandu menghidupkan enjin, mengunci pintu dan mengesan kereta mereka menerusi aplikasi dalam telefon pintar.

Ford masih mengekalkan dua enjin sedia ada iaitu 2.3 liter EcoBoost dan juga 5.0 liter Coyote V8, manakala enjin 3.7 liter Cyclone V6 yang diletakkan sebagai pilihan pada model asas telah digugurkan dari barisan model Mustang, mengesahkan khabar angin yang tersebar sebelum ini.

Jumlah kuasa kuda yang dihasilkan masih lagi belum diumumkan, namun kedua-dua enjin ini dikhabarkan akan menerima lonjakkan prestasi – EcoBoost akan diberikan tambahan tork maksima, manakala Coyote V8 bakal menerima tambahan kuasa kuda dan juga tork.

Peningkatan tersebut dilakukan menerusi olahan semula enjin V8 asal – dengan gabungan penggunaan sistem suntikan bahan api terus bertekanan tinggi dan juga suntikan bahan api pada port bertekanan rendah. Rombakan ini bukan sahaja menghasilkan lebih tork pada rpm rendah dan juga lebih kuasa pada rpm tinggi, malah turut memperbaiki kecekapan penggunaan bahan api.

Seperti yang diumumkan sebelum ini juga, versi transmisi automatik akan diberikan kotak gear automatik 10-kelajuan 10R80 menggantikan kotak gear ZF 6R80 SelectShiift enam-kelajuan automatik sebelum ini. Ford mendakwa, kotak gear baharu 10-kelajuan ini menawarkan tukaran gear yang lebih cepat, respon kelajuan rendah yang lebih pantas, serta mengurangkan kehilangan tenaga akibat geseran.

Kotak gear 10R80 ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan elektronik serba-baharu, yang memberikan mod pemanduan berbeza serta pemasaan tukaran gear adaptif masa-sebenar bagi memastikan nisbah gear yang tepat diberikan pada setiap masa.

Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

Kotak gear manual Getrag MT82 enam-kelajuan juga turut diberikan tingkat taraf, dengan karekteristik tork yang lebih baik pada kedua-dua versi enjin. Untuk transmisi pada enjin V8, kotak gear berkenaan telah menerima sentuhan semula dengan penggunaan klac-dua lapis bersama roda tenaga (flywheel) yang direka untuk memberikan dua beban berbeza. Ciri-ciri ini akan meningkatkan kebolehn tork serta memberikan modulasi klac yang lebih efisien.

Perubahan mekanikal lain yang diterima termasuk peningkatan yang diberikan pada casis untuk mempertingkatkan pengendaliannya. Penyerap hentak baharu diberikan bagi menawarkan kawalan pemanduan yang lebih baik, manakala penghubung paksi melintang baharu pada suspensi belakang meningkatkan ketegaran lateral. Bar penstabil baharu turut diberikan bagi menghasilkan respon dan pengendalian yang lebih tajam.

Mustang turut ditawarkan dengan sistem penyerap hentak MagnaRide sebagai opsyen, diberikan sebagai sebahagian dari Mustang Performance Package. Varian GT pada model facelift ini juga ditawarkan sebagai opsyen kepada sistem injap ekzos bervariasi, yang memberikan ngauman bervariasi penuh untuk dipadankan pada setiap kadar pecutan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required