TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Desert Sled – buka jalan kepada pengembaraan, mampu redah offroad

TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Desert Sled – buka jalan kepada pengembaraan, mampu redah offroad

Bagi kita yang duduk di Malaysia, walaupun bercuaca khatulistiwa, kita boleh mengatakan cuaca sekarang semakin tidak boleh diramal. Jika dulu kita boleh menjangka, dalam bulan tertentu, musim hujan atau musim panas, tetapi kini, semuanya sudah lari daripada kira-kira normal.

Ada yang menamakan ia sebagai kesan pemanasan global, yang mungkin adalah benar, tetapi bergantung kepada kepercayaan dan pemahaman masing-masing, kejadian ini ada sebab yang tertentu dan ia turut dapat dirasai di serata dunia.

Sementara saya bukanlah pakar meteorologi dan tahu, memulakan artikel dengan cuaca boleh dianggap lucu, saya sekadar mahu anda tahu, bagaimana keadaan di Almeria, Sepanyol – tempat yang saya pergi untuk sesi tunggang uji global Ducati Scrambler Desert Sled. Keadaan di sana juga sama, kerana biasanya Almeria ini adalah tempat penduduk Sepanyol ‘melarikan’ diri daripada kedinginan musim sejuk, tetapi tiba hari sesi tunggang uji, hujan turun dari pagi sehingga ke petang.

Tidak dinafikan, terdapat rasa cemburu dengan kumpulan wartawan permotoran yang berpeluang merasai motosikal ini pada hari sebelumnya, dalam keadaan kering, tetapi bila melihat dari perspektif yang berbeza, ia memberikan cabaran yang lebih menarik untuk motosikal ini serta diri sendiri.

Gaya hidup (lifestyle) adalah satu kata kunci pemasaran yang banyak digunakan oleh pengeluar kenderaan masa kini termasuk Ducati melalui model Scrambler. Bukan setakat motosikal sahaja yang ditawarkan, malah barangan lain seperti pakaian penunggang dan aksesori khas motosikal juga dikeluarkan oleh Ducati sendiri untuk penggemarnya.

Walaupun begitu, saya berpendapat, Scrambler Desert Sled ini adalah satu model yang boleh dijual berdasarkan kekuatan motosikal itu sendiri kerana ia menawarkan kelebihan di dalam dua alam, dan serasi dengan gaya yang popular masa kini. Tidak banyak model yang boleh berbangga dengan kelebihan ini, dan kebanyakannya hanya bertumpu kepada satu tujuan.

Gaya yang dimaksudkan sebenarnya adalah gaya klasik, yang digunakan pada motosikal keluaran puluhan tahun yang lalu, tapi masih kelihatan menarik sehingga kini. Terima kasih juga boleh diucapkan kepada golongan pembina motosikal kustom yang terus ‘menghidupkan’ gaya seperti ini.

Pada Scrambler Desert Sled anda boleh melihat, ia mempunyai gaya klasik yang ringkas, dengan lampu bulat di hadapan dan hanya bahagian penting sahaja yang disediakan. Penggayaan asasnya sama sahaja dengan enam lagi variasi Scrambler yang ditawarkan, tetapi apabila dilihat secara teliti, Desert Sled mempunyai tambahan kelengkapan untuk menyediakannya untuk dibawa ke jalan kasar, termasuk jeriji pelindung lampu hadapan, pelindung bawah enjin dan penghadang lumpur lebih tinggi.

Perjalanan saya menaiki bas ke Tabernas Almeria, iaitu tempat sesi tunggang uji dimulakan terasa seperti menaiki mesin merentas masa, kerana apabila tiba, lebih 20 buah Scrambler Desert Sled tersusun di hadapan ‘Saloon’ (yang juga bermaksud restoran), dalam pekan koboi kecil. Tempat ini sebenarnya adalah lokasi penggambaran terkenal yang pernah digunakan untuk filem termasuk Fort Bravo, Western Leone dan Mini Hollywood.

Selesai sesi pengenalan dan taklimat, semua wakil media bersiap mengenakan kelengkapan menunggang, dan disebabkan hujan masih turun, baju hujan adalah satu kemestian. Jika di Malaysia, saya tidak kisah untuk basah kerana sudah memiliki beg kalis air, tetapi di tempat sejuk seperti Almeria ini, lain ceritanya kerana sebaik pakaian anda basah, anda akan akan menggigil kesejukan.

TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Desert Sled – buka jalan kepada pengembaraan, mampu redah offroad

Perjalanan kami bermula dengan laluan bertar biasa. Dengan keadaan jalan basah, saya mengingatkan diri, motosikal ini mempunyai kedudukan lebih tinggi (suspensi terbalik USD boleh laras sepenuhnya Kayaba di hadapan, dengan pergerakan 200 mm dan penyerap hentak belakang Kayaba dengan katrij gas berasingan dan pelarasan pra beban serta lantunan), dan tiada ciri kawalan cengkaman.

Walaubagaimanapun, selepas melalui pelbagai selekoh, saya jadi kagum dengan motosikal ini kerana cengkaman yang dihasilkan cukup baik, dan memberikan keyakinan sepanjang perjalanan. Selain tetapan suspensi, pujian juga patut diberi kepada tayar Scorpion Rally STR baru yang dibangunkan oleh Pirelli, dan digunakan pada motosikal ini (saiz 120/70 R19 di hadapan dan 170/60 R17 di belakang).

Sebenarnya, bagi Desert Sled ini, Ducati telah melaras kembali tindak balas pendikit supaya lebih lancar dan tidak terlalu mendesak. Walaupun dengan keadaan begitu, impak kuasa (maksimum 75 hp dan 68 Nm tork) daripada enjin Desmodue dua silinder L 803 cc tetap mengujakan.

Tujuan utama pelarasan ini dilakukan adalah supaya kuasa lebih senang dinikmati apabila di jalan offroad, tetapi saya boleh memberitahu bahawa di atas jalan biasa pun, ia masih lagi ‘bersemangat’ dan serba kena dengan pelbagai keadaan. Ini adalah sesuatu yang penting kerana Desert Sled tidak mempunyai pilihan mod tunggangan, dan Ducati berjaya mendapatkan satu tetapan yang betul.

Saya juga ingin menyatakan bahawa Desert Sled adalah sebuah motosikal yang selesa. Tempat duduknya cukup empuk, dan walaupun geometri kedudukan penunggang sudah diubah berbanding Scrambler lain (pemegang lebih lebar dan ke hadapan, tapak peletak kaki lebih ke hadapan dan jarak antara tempat duduk dan peletak kaki yang lebih jauh), ia rasa selesa dengan saya yang berketinggian hampir 180 sm.

Saya membayangkan, jika pengguna motosikal ini mahu mencari sesuatu yang mencabar, walaupun ia terletak jauh beratus kilometer, anda masih akan bertahan mengharunginya.

TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Desert Sled – buka jalan kepada pengembaraan, mampu redah offroad

Jadi sekarang, anda sudah tahu, Scrambler Desert Sled ini tidak bermasalah untuk digunakan di atas jalan biasa, malah cukup memuaskan. Tetapi, apa yang membezakannya dengan enam lagi variasi Scrambler lain adalah kemampuan di atas jalan offroad. Dan naik taraf yang diberikan juga banyak bertumpu kepada aspek itu.

Selain perubahan suspensi, geometri, tindak balas pendikit dan tayar seperti yang dinyatakan tadi, Desert Sled juga mempunyai beberapa keistimewaan lain seperti jarak roda yang lebih panjang (1,505 mm), lengan ayun aluminium lebih panjang (+25 mm), tempat duduk lebih kurus di hadapan supaya penunggang dapat mengepit tangki serta hos bendalir brek salutan besi dan laluan baru supaya lebih tahan.

Semua ini terbukti berkesan apabila saya betul-betul mengerah Desert Sled di laluan berpasir basah dan penuh batu di beberapa bahagian semasa sesi offroad. Sudah tentu, motosikal yang mempunyai berat 207 kg ini tidak boleh menyaingi kelincahan motosikal enduro seperti KTM EXC 450, Honda CRF 450 X atau Suzuki DRZ 400, tetapi saya tetap tersenyum puas setiap kali pendikit dipulas agresif dan tayar belakang mula melibas ke kiri dan kanan.

Ducati juga sekadar meletakkan Scrambler Desert Sled sebagai soft offroader. Bermakna, setakat permukaan yang tidak begitu ekstrem, ia tidak akan bermasalah, tetapi sebenarnya, itu sahaja sudah membuka luas jalan kepada pelbagai pengembaraan. Sekali lagi saya membayangkan, jika di Malaysia, apabila dibawa menunggang di persisiran pantai (yang tidak ramai orang pastinya), atau masuk meneroka jalan hutan (trail) pasti ia menyeronokkan.

Dalam keadaan ini juga, sistem brek ABS yang ada pada Desert Sled boleh ditutup, dan penunggang perlu memilihnya di dalam susunan menu yang terpapar pada meter dan menekan butang di bahagian kiri pemegang. Ia tidak begitu susah, tetapi lebih selamat jika dilakukan apabila berhenti. Kelengkapan brek yang disediakan adalah sama seperti Scrambler lain, iaitu cakera 330 mm dan angkup Brembo radial 4 piston di hadapan, dan cakera 245 mm dan angkup satu piston terapung di belakang.

Di atas jalan offroad biasanya penunggang akan lebih aktif – tangan, kaki dan badan untuk mengawal motosikal. Dengan Desert Sled ini, walaupun ia lebih berat berbanding motosikal enduro/ motocross, saya tidak rasa begitu terbeban dan tuil klacnya kerana cukup ringan untuk ditarik kerap menggunakan dua jari sahaja.

Bila perlu untuk berdiri, saya merasakan beberapa pelarasan perlu dibuat seperti meninggikan sedikit pemegang (menambah bar riser) dan peletak kaki yang lebih lebar. Cermin sisi juga mungkin perlu ditukar kerana berada rapat dengan tangan (apabila berdiri). Sudah tentu, ini adalah modifikasi yang boleh dibuat oleh pemilik setelah membeli motosikal ini kerana bukan semua orang mempunyai keperluan yang sama.

Bagi sebuah motosikal baru yang keluar terus dari kilang, ia sudah cukup menarik dan boleh terus dibawa untuk mencari pengembaraan baru. Pada pendapat saya, pemilik Ducati Scrambler Desert Sled dapat menikmati dua perkara utama: pertama, gaya klasik yang menjadi trend masa kini (dan mungkin tidak akan lapuk dek zaman), dan juga jentera berprestasi yang boleh menjalankan tugasnya dengan baik.

Perkara ini juga meletakkan Scrambler Desert Sled di tempat yang unik berbanding motosikal lain yang juga mempunyai kelebihan offroad. Ia tidak mempunyai gaya membosankan/ terlalu serius seperti motosikal jelajah dan lebih selesa serta bergaya berbanding jentera enduro/motocross.

Daripada perkhabaran yang diterima, Scrambler Desert Sled ini mungkin akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei nanti, dan menjadikannya lebih menarik, Ducati Malaysia juga dikatakan sedang merancang struktur harga baru, supaya ia lebih mesra kepada pengguna, seperti yang dilakukan pada model semasa mereka, yang menyaksikan penurunan harga sehingga RM14,000.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required