Mazda CX-3 2017 kini dijual di Malaysia – ditambah dengan G-Vectoring Control, harga meningkat RM3,230

Mazda CX-3 2017 kini dijual di Malaysia – ditambah dengan G-Vectoring Control, harga meningkat RM3,230

Selain Mazda 6 2017 yang diperbaharui, Bermaz juga telah memperkenalkan Mazda CX-3 2017, melihatkan beberapa perubahan dan tambahan teknologi, bersama harga yang sedikit tinggi, sama seperti model sedan tersebut.

Seperti sebelum ini, Mazda CX-3 2017 masih lagi ditawarkan dalam satu varian sahaja, iaitu yang berenjin 2.0 liter petrol, tetapi dijual dengan tambahan harga RM3,230, menjadi RM138,373 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans). Model lama walaubagaimanapun masih lagi dijual pada harga RM135,082 (RM61 lebih rendah). Disertakan sekali adalah jaminan selama tiga tahun tanpa had batuan, dan servis percuma tiga tahun.

Tiada perubahan pada bahagian luar kenderaan ini, tetapi di dalam, ia kini menggunakan roda stereng daripada SUV CX-9, bersama head-up display Active Driving Display dengan warna penuh, serta kecerahan, kontras dan definisi yang lebih terang. Turut ditambah adalah tempat duduk pemandu pelarasan elektronik dengan dua simpanan memori.

Selain daripada itu, barangan standard untuk kenderaan ini masih lagi sama, termasuk lampu utama dan belakang LED, kemasan campuran suede dan kulit, rim aloi 18 inci, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, bumbung suria, pendingin hawa elektronik, lampu dan pengelap cermin automatik, penukar gear di pedal, cruise control, sistem hiburan dan informasi MZD Connect dengan skrin sesentuh tujuh inci, enam pembesar suara dan kamera undur.

Begitu juga dengan barangan keselamatan – masih lagi sama – enam beg udara, ABS dengan EBD dan BA, kawalan stabiliti, Hill Start Assist dan cangkuk ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

Tambahan paling utama yang tidak boleh dilihat adalah sistem G-Vectoring Control, satu sistem yang boleh mengawal tork enjin supaya kenderaan menjadi lebih stabil dan meningkatkan tindak balas stereng. Bahagian suspensi dan stereng juga disemak semula supaya menjadi lebih sesuai dengan teknologi baru tersebut. Terdapat juga cermin belakang yang lebih tebal dan kedapan bunyi yang dipertingkat.

Enjin SkyActiv-G empat silinder 2.0 liter petrol pada CX-3 2017 mampu menghasilkan 154 hp pada 6,000 rpm dan 204 Nm tork pada 2,800 rpm. Semua ini dihantar ke dua roda hadapan melalui kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan.

Anda boleh melihat spesifikasi dan kelengkapan penuh Mazda CX-3 di CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required