Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

Hyundai Accent generasi kelima telah membuat kemunculan sulungnya pada Canadian International Auto Show yang berlangsung di Toronto. Menurut Hyundai, Accent generasi baharu ini menampilkan rekaan yang lebih garang, bahagian dalaman yang lebih sofistikated, unit janakuasa yang lebih efisien, kabin yang lebih senyap, serta dinamik pemanduan yang lebih baik.

Seperti pada model sebelum ini, Accent direka agak seiras dengan model segmen-C, Elantra, tetapi dengan dengan saiz lebih kecil. Sedan segmen-B ini direka lebih besar dari sebelum ini dengan dimensi 15 mm lebih panjang (4,385 mm) dan 29 mm lebih lebar (1,729 mm), bersama jarak roda 10 mm lebih panjang (2,580 mm). Model ini juga direka dengan kelegaan tanah 10 mm lebih rendah, tetapi ketinggiannya kekal dengan 1,450 mm.

Accent juga hadir dengan bentuk badan hatchback lima-pintu pada pasaran yang terdapat permintaan. Model lima-pintu baharu tersebut dibina 70 mm lebih panjang dan 29 mm lebih lebar berbanding model hatchback generasi sebelum ini.

Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

Accent 2018 menggunakan 54.5% “Keluli Berketegaran-Tinggi Lebih Maju”, 41.5% lebih banyak dari model generasi sebelum ini. Ketegaran Kilas casis baharu telah meningkat 32% dengan menggunakan pelekat struktur sepanjang 98.5 meter. Hasilnya, persepsi kualiti, pengasingan bunyi dan dinamik pemanduan telah dipertingkatkan. Menurut Hyundai, AHSS juga telah mempertingkatkan prestasi semasa pelanggaran tanpa menambah berat yang tidak diperlukan.

Hyundai turut mendakwa keselesaan, pengendalian dan stabiliti telah dipertingkatkan. Sistem stereng berkuasa elektrik MDPS juga telah ditala bagi memperbaiki pengendalian dan keselesaan dengan menaikkan pusat olengan bahagian belakang dan meningkatkan nisbah leveraj pada penyerap hentak belakang.

Hyundai Accent generasi baharu ini dijana enjin petrol Gamma GDI 1.6 liter berkuasa 132 hp/161 Nm. Berbanding model sebelum ini, lengkok kuasa pada enjin baharu ini telah meningkat 4.6% pada tork bermula 1,500 rpm untuk keupayaan pemanduan yang lebih baik. Secara spesifik pecutan untuk 40-80 km/j dan 80-120 km/j telah meningkat dari model sebelum ini sebanyak 0.2 dan 1.3 saat.

Hyundai Accent 2018 buat kemunculan sulung

Kecekapan bahan api telah meningkat sebanyak 7%. Ini dapat dicapai dengan penggunaan komponen enjin seperti gegelang omboh rendah geseran, modul tekanan bahan api bervariasi, dan juga perisian pada modul kawalan enjin yang telah dipertingkat untuk memperbaiki keseluruhan operasi. Return spring pada sistem brek juga telah dipertingkat bagi mengurangkan geseran ketika memandu.

Enjin baharu tersebut dipadankan dengan dua pilihan transmisi iaitu manual enam-kelajuan atau enam-kelajuan automatik konvensional. Kotak gear automatik automatik pada Accent baharu ini juga telah diberi sentuhan semula bagi meningkatkan kecekapannya, serta dua kg lebih ringan. Versi automatik tersebut turut diberikan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Sport.

Sebagai tambahan kepada casis yang lebih kukuh, Accent menampilkan penambahbaikkan pada bahagian hadapan dan juga bahagian dalaman bendul sisi bagi mempertingkatkan perlindungan pelanggaran. Zon renyuk bahagian hadapan dan beg udara hadapan telah dipertingkatkan, serta pengukuhan telah dibuat untuk memperbaiki prestasi kereta ini ketika kemalangan kecil bertindih. Enam beg udara dan ESC diberikan secara standard, manakala Sistem Brek Kecemasan Automatik turut ditawarkan sebagai opsyen.

Skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz tujuh-inci dengan Apple CarPlay, Adroid Auto dan kamera undur turut ditawarkan pada pasaran terpilih. Accent versi sedan akan mula menerjah pasaran pada suku ketiga tahun ini, diikuti versi lima-pintu pada suku keempat. Model ini tidak dipasarkan di Malaysia, tetapi abangnya Elantra bakal tiba tidak lama lagi ke pasaran tempatan, dijana enjin turbo berkuasa 204 hp/265 Nm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required