Siri Malaysia Speed Festival (MSF) akan memulakan saingan bagi musim keduanya hujung minggu depan, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Pusingan pertama perlumbaan itu, yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Saturday Night Fever (SNF) akan berlangsung pada 26 Februari ini.
Siri perlumbaan tertutup ini menerima sambutan yang positif pada tahun pertama penganjurannya, dengan hampir 300 pemandu mengambil bahagian tahun lalu, melibatkan 149 buah kenderaan. Penganjur menjangkakan momentum dan sambutan bagi tahun 2017 akan kekal sama.
Terdapat banyak kategori perlumbaan yang dipertandingan dalam MSF; termasuk Special Kei, Super 1,500 NA, Proton 1,800 NA, Street Tuned dan Street Tuned 1,600, Super Street dan 1,600 serta 1,800 Race Car. Turut dipertandingkan ialah kategori Race Car Open, yang menampilkan kereta-kereta yang disediakan secara profesional dan ditala untuk prestasi, yang dipandu oleh pemandu profesional tempatan.
Kemuncak dalam siri perlumbaan ini ialah kategori Saga Cup, kemunculan semula Kejuaran Proton Saga yang pernah ada pada tahun-tahun 1990an, yang menjadi batu loncatan kepada ramai pemandu perlumbaan di Malaysia. Siri baru kejuaraan ini terbahagi kepada dua kategori – Expert dan Novice.
Proton R3 turut akan turut serta dalam perlumbaan musim baru ini, memberi sokongan kepada lapan pelanggannya dalam Program Perlumbaan Pelanggan R3, yang akan bertanding di dalam kelas 1600 Race Car serta Saga Cup.
Program pelanggan berkenaan, yang dimulakan tahun lalu, menawarkan pendedahan perlumbaan dan rali bagi mereka yang berminat, sama ada secara berpasukan atau individu – yang berpeluang mengendalikan jentera-jentera lumba sebenar serta mempelajari disiplin perlumbaan.
Bagi kategori Saga Cup, ia akan melibatkan kos sekitar RM25,000 untuk R3 untuk mempersiapkan sebuah Saga bagi tujuan perlumbaan. Ini adalah kos tambahan, tidak termasuk kos asas sebuah kereta Saga yang perlu ditanggung sendiri oleh pelanggan. Turut ada sebagai pilihan bagi R3 ialah untuk menyediakan kru serta khidmat logistik, juga dengan kos tambahan yang lain.
Tiket bagi Pusingan 1 MSF ini berharga RM20 jika dibeli sebelum 11 pagi, 26 Februari. Selepas tempoh berkenaan, harganya ialah RM35. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi MSF Racing atau laman Facebook.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.