PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E – kembali dengan prestasi lebih menyengat bersama nilai lebih hebat

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E – kembali dengan prestasi lebih menyengat bersama nilai lebih hebat

Volvo V40 diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada 2012, dan tiba di Malaysia setahun selepas itu. Berbeza dengan model Volvo paling kecil generasi sebelumnya, ia tidak dibintangi oleh versi ‘S’ (sedan), manakala versi ‘V’ kali ini tidak berbentuk wagon, digantikan dengan hatchback lima-pintu.

Ketika mula menerjah masuk kepasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan dua pilihan unit janakuasa iaitu T4 dan T5. Untuk T4 ia didatangkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo (180 hp/240 Nm), yang dikaitkan dengan enjin EcoBoost Ford, digandingkan dengan transmisi klac berkembar enam-kelajuan PowerShift juga dari The Blue Oval. Manakala untuk T5, ia diberikan enjin 2.0 liter lima-silinder turbo berkuasa 213 hp/300 Nm digandingkan dengan transmisi automatik torque converter enam-kelajuan.

Walau bagaimanapun pada tahun lalu, Volvo Cars Malaysia telah membawa V40 versi dipertingkat. Kali ini tiada lagi pilihan varian T4, manakala untuk varian tunggal T5, ia diberikan enjin baharu Drive-E Volvo dengan kapasiti 2.0 liter, empat silinder turbo. Ia turut digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik baharu dari Aisin, dan tetap memacu roda hadapan.

Tiada perbezaan pada bahagian luaran model ini berbanding versi sebelumnya, di mana ia tampil sama seperti V40 pre-facelift. Sepasang lampu utama LED diberikan, mengapit gril utama yang agak lebar. Gril bahagian bampar direka nipis, bersambung dengan lampu nyalaan siang pada setiap sisi, memberikan imej seperti misai. Tiada liang udara sisi diberikan, tetapi bampar berkenaan diberikan garisan yang agak berotot. Bonet berbentuk-V turut dipadankan untuk melengkapkan imej gagah pada muka hatchback ini.

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E – kembali dengan prestasi lebih menyengat bersama nilai lebih hebat

Sama ada anda tahu atau tidak, V40 sebenarnya dibina di atas platform yang sama dengan Ford Focus. Jadi tidak hairanlah jika dilihat dari sisi, terutamanya pada garis tingkap dan bumbung, ia kelihatan hampir seiras dengan hatchback segmen-C dari Ford tersebut. Walau bagaimanapun, setiap perincian pada badan kereta ini seperti garis pintu, pembuka pintu, cermin sisi dan lain-lain direka dengan DNA Volvo sebenar. V40 T5 diberikan roda aloi lima-jejari berdiameter 17-inci, dibaluti tayar 225/45R17.

Bahagian belakang, V40 ini direka seakan model hatchback tiga-pintu C30. Ini termasuk lampu belakangnya yang berbentuk-L, serta cermin belakang yang labuh kebawah. Tetapi bahagian lebihan pada bahagian bawah cermin hanyalah kemasan plastik, berbanding cermin sebenar pada C30. Diffuser diberikan pada bampar belakang, yang turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk bulat.

Masuk ke bahagian kabin, rekaan pada V40 memberikan perasaan yang lebih relaks berbanding Focus walaupun dibina pada ruang yang sama. Papan pemuka V40 ini direka lebih tegak, menjadikan ia kelihatan lebih luas. Tipikal sebuah Volvo, tuil gear, tuil brek tangan dan juga suis-suis lain direka bagi membolehkan ia mudah dicapai dan digunakan. Bukan itu sahaja, material yang digunakan juga agak premium, sesuai dengan statusnya.

Untuk pasaran Malaysia, V40 T5 hanya diberikan kabin dengan warna hitam, dengan kemasan-kemasan aluminium digilap seperti pada konsol tengah, di sekeliling liang penghawa dingin dan skrin utama, serta pada panel-panel kemasan pintu.

Papan instrumen digital diambil terus dari S60 yang boleh diubah dengan tiga jenis tema iaitu ECO, Elegence, dan Performance. Skrin infotainmen dan juga suis-suis shortcut untuk ke setiap larasan juga hampir sama dengan S60, memberikan fungsi yang bukan sahaja ringkas, malah agak mudah untuk diguna. Ruang storan dibelakang ‘konsol tengah terapung’ masih diberikan pada V40.

Dengan kotak gear baharu yang diberikan, T5 Drive-E turut menerima pedal penukar gear di belakang roda stereng pelbagai fungsi. Seperti juga model-model Volvo yang lain, tempat duduk larasan berkuasa balutan kulit (dengan fungsi memori pada bahagian pemandu) pada V40 ini merupakan antara yang paling selesa dalam kelasnya.

Walaupun direka sebagai hatchback, tahap praktikaliti V40 sebenarnya agak baik. Ruang but direka bagi mendapatkan kapasiti 335 liter. Dengan tempat duduk yang boleh dibaringkan, V40 lebih sesuai untuk dibawa ke Ikea untuk membeli almari tiga tingkat, berbanding membawa sebuah sedan.

Bagaimana pula dengan prestasi? Enjin empat silinder baharu ini sebenarnya sama seperti enjin T6 Drive-E pada S60, tetapi hanya diberikan sebuah pengecas turbo, berbanding enjin T6 yang turut diberikan supercharger. Untuk itu, T5 Drive-E menghasilkan kuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm bermula 1,500 hingga 4,800 rpm (berbanding T6 yang menghasilkan 306 hp/400 Nm).

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E – kembali dengan prestasi lebih menyengat bersama nilai lebih hebat

Atas kertas, hatchback ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 240 km/j. Dengan kuasa tujahan tork yang agak besar, sedikit torque steer dirasakan ketika boost turbo diberikan. Enjin ini juga sedikit ‘punchy‘ ketika pedal pendikit ditekan secara agresif, serta terasa sedikit turbo-lag sekiranya tujahan pendikit diberikan secara tiba-tiba.

Kotak gear pada V40 ini juga diberikan nisbah yang sama seperti transmisi lapan-kelajuan automatik pada S60 T6. Ini membolehkan cruising di lebuhraya pada kelajuan 110 km/j mencatatkan putaran enjin pada takat 1,800 rpm, manakala untuk kelajuan 150 km/j pula hanya pada takat 2,400 rpm. Mod ECO turut diberikan untuk aliran kuasa dengan kecekapan bahan api lebih baik, dan disertakan fungsi auto start/stop.

Walaupun kuasanya kini 32 hp/50 Nm lebih berkuasa dari T5 lima silinder terdahulu, Volvo mendakwa unit janakuasa baharu ini hanya menggunakan 6.1 liter petrol untuk 100 km perjalanan atau 16.4 km/l, membolehkan ia menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Bagi pengendaliannya pula, sebenarnya ia sudah cukup baik. Dinamik pemanduannya agak bagus, anda masih lagi boleh mengerah pedal pendikit tanpa risau ketika melalui selekoh dengan torque steer yang boleh diduga. Tetapi jika dibandingkan dengan pesaingnya dari Jerman seperti Volkswagen Golf GTi dan Mercedes-Benz A250, V40 mempunyai set suspensi yang agak lembut kerana ditala lebih untuk keselesaan dan tidak memberikan olengan sebaik pesaing-pesaingnya.

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E – kembali dengan prestasi lebih menyengat bersama nilai lebih hebat

Untuk keselamatan, seperti biasa Volvo merupakan juara bagi aspek ini. V40 dibekalkan dengan tujuh-beg udara, termasuk pada bahagian lutut untuk pemandu. Manakala untuk sistem keselamatan pasif dan bantuan pemanduan pula, ia dipadankan dengan Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS), Amaran Lintasan Trafik (CTA), Brek Kecemasan Automatik City Safety (yang berfungsi sehingga 50 km/j), Stabiliti Dinamik, Traction Control, Torque Vectoring dan juga Active Bending Lights.

Jadi adakah V40 T5 Drive-E ini merupakan alternatif yang baik dalam segmennya berbanding hatchback lima-pintu dari Jerman? Dari segi harga, jelas V40 merupakan yang paling murah antara ketiga-tiga hatchback ini, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM180,888 (VW Golf GTi berharga RM 227,060, manakala Mercedes-Benz A250 Sport pula RM 238,888).

Tetapi jika dibandingkan dari segi kuasa kuda pula, V40 T5 Drive-E juga jelas merupakan yang paling berkuasa di mana enjin 2.0 liter TSI pada Golf GTi hanya menjana 217 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,500 rpm, manakala enjin 2.0 liter turbo pada Merc A250 menghasilkan kuasa 211 hp pada takat 5,500 rpm serta tork maksima 350 Nm pada takat 1,200 rpm.

Jadi walau apa fakta sekalipun, seperti biasa, selain dari tepuk poket, dada juga kena tepuk untuk tanya selera kerana bukan semua orang suka gaya ringkas Scandinavia, dan bukan semua orang kena dengan gaya sofistikated Jerman.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required