Search in Bahasa Malaysia:

  • Driven Movie Night: Menangi cenderahati dan tiket percuma filem Terminator: Dark Fate pada 23 Oktober

    Driven Movie Night kembali lagi, kali ini menggemakan semula baris keramat “I’ll be back,” yang disuarakan oleh Arnold Schwarzenegger tiga puluh lima tahun lalu. Beliau kini datang lagi dengan lanjutan kisah Terminator di dalam Terminator: Dark Fate. Dan, anda berpeluang untuk menontonnya bersama kami melalui peraduan ini. Hanya untuk 18 tahun ke atas.

    Linda Hamilton dan Arnold Schwarzenegger mengulangi peranan ikonik mereka masing-masing sebagai Sarah Connor dan T-800 Terminator. Saksikan bagaimana Sarah dan seorang super-askar canggih dari masa hadapan melindungi seorang gadis daripada ancaman Terminator merbahaya yang lebih maju, juga dari masa hadapan di dalam Terminator: Dark Fate.

    Terminator: Dark Fate akan mula ditayangkan 24 Oktober, tetapi kami memberikan peluang kepada anda untuk menontonnya lebih awal bersama kami ketika tayangan pra-tonton yang akan diadakan pada Rabu, 23 Oktober, 8.45 pm di MBO Starling Mall.

    Kami ingin mengagihkan empat set tiket (lapan tiket semuanya). Pemenang terpilih juga akan menerima cenderahati eksklusif Terminator: Dark Fate, ehsan dari The Walt Disney Company Malaysia. Apa yang perlu anda lakukan ialah tonton sedutan filem di bawah dan jawab dua soalan mudah.

    Ambil bahagian di dalam peraduan ini untuk tonton Terminator: Dark Fate secara percuma.

    *Tarikh tutup peraduan ialah pada Jumaat, 18 Oktober 2019. Pemenang akan diumumkan di paultan.org dan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Isnin, 21 Oktober 2019. Keputusan yang diumumkan adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan akan berlangsung pada Rabu, 23 Oktober 2019 pada jam 8.45 pm di MBO Starling Mall. Pemenang perlu menuntut tiket mereka di lokasi berkenaan sejam sebelum tayangan. Disebabkan lokasi tayangan, peraduan ini hanya terbuka kepada mereka yang berada di sekitar Lembah Klang sahaja.

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupe F44 kini diperkenalkan

    BMW kini ada tambahan terbaru kepada barisan kenderaan 2 Series keluarannya, dikenali sebagai BMW 2 Series Gran Coupé F44. Jangan keliru; BMW 2 Series biasa, sebagai sebuah coupe dua-pintu kecil, merupakan jentera pacuan roda belakang. Namun, versi Gran Coupé terbaru ini, berserta model MPV Active Tourer dan Gran Tourer dalam barisan yang sama menggunakan pacuan roda depan.

    Model ini merupakan pesaing yang lebih tepat untuk Mercedes-Benz CLA, walaupun sebenarnya ia sedikit lebih kecil. Dengan ukuran dimensi 4,526 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, versi Gran Coupe ini 162 mm lebih pendek, 30 mm lebih sempit dan 19 mm lebih rendah. Jarak antar rodanya pula ialah 2,670 mm, 59 mm lebih pendek berbanding pesaing sama. Ruang barangan juga lebih kecil; 430 liter berbanding 460 liter.

    Bagaimanapun, model BMW ini mempunyai penampilannya yang tersendiri. Secara keseluruhan, ia sarat dengan sentuhan sporty yang agak agresif. Dengan rekaan yang gril relatif besar, imej dari bahagian belakangnya lebih garang dan menarik, antaranya disebabkan rekaan lampu belakang yang panjang melintang. Lampu utama dan lampu belakangnya dengan rekaan khusus adalah dari jenis LED.

    Di dalam, Gran Coupe berkongsi asas rekaan yang sama dengan 1 Series. Rekaan umumnya lebih bersegi, dengan kemasan warna perak. Ditawarkan sebagai pilihan ialah lampu suasana di sepanjang papan pemuka serta panel pintu, dengan skrin sentuh utama bersaiz 10.25-inci menggunakan perisian
    BMW Operating System 7.0 terkini.

    Berbanding dengan versi coupe dua-pintunya, Gran Coupe empat-pintu ini sedikit lebih luas dengan tambahan 33 mm ruang kaki. Walaupun tempat duduk 12 mm lebih tinggi, ruang kepala tetap menerima tambahan 14 mm. Ruang but juga 40 liter lebih luas, dengan penyandar kerusi belakang boleh dilipat mengikut nisbah 40:20:40:.

    Ciri tambahan juga menerima pertambahan pada model ini, termasuk kawalan suara Intelligent Personal Assistant dan Digital Key yang membolehkan telefon Samsung terpilih digunakan untuk membuka dan menghidupkan kenderaan. Sudut keselamatan, di Eropah, kereta ini datang ciri brek kecemasan autonmous (AEB) sebagai standard.

    Sebagai pilihan pula turut ditawarkan pakej Driving Assistand dengan ciri bantuan mengekalkan lorong, amaran pra-perlanggaran, amaran trafik serta kawalan malayar adaptif serta Parking Assistant. Kerangka kereta ini pula dibina menggunakan campuran logam da alumimium kukuh untuk mengurangkan beratnya. Pilihan suspensi terdiri daripada M Sport standard – yang 10 mm lebih rendah berbanding jenis pasifnya – serta penyerap hentak adaptif. Gran Coupe turut dilengkapi dengan sistem ARB, sebuah sistem kawalan cengkaman yang lebih canggih.

    Antara lain, model ini turut dipasangkan dengan ciri torque vectoring dengan cara membrek BMW Performance Control serta Electronic Differential Lock Control (EDLC). Tidak lupa sebagai pilihan ialah sistem pacuan semua roda xDrive pada beberapa varian.

    Versi paling asas model ini menggunakan enjin B38 1.5 liter tiga-silinder dari 218i, yang kini lima kilogram lebih ringan dan peningkatan janaan, menghasilkan 140 hp pada 4,500 rpm hingga 4,600 rpm, dan 220 Nm tork dari 1,480 hingga 4,200 rpm. Gesaan tambahan sebanyak 10 Nm dihantar dalam kedudukan gear keempat dan lebih tinggi.

    Ia mempunyai kepantasan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 215 km/j. Kadar penggunaan minyak pula sekitar 5.0 liter dan 5.7 liter bagi setiap 100 km. Ini dipandankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, dengan pilihan untuk transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, varian 228i xDrive dengan enjin 2.0 liter empat-silinder janaan 231 hp/350 Nm turut ditawarkan. Versi diesel, 220d dengan 2.0 liter turbo berkembar dengan janaan 190 hp/400 Nm juga ada. Model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan laju maksimum 235 km/j. Varian paling lengkap pula ialah M235i xDrive; ia menggunakan enjin B48 2.0 liter dengan janaan 306 hp antara 5,000 rpm dan 6,250 rpm, manakala tork pula sebanyak 450 Nm dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm – 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dengan laju maksimum 250 km/j.

     
     
  • Zarco sah ganti Nakagami untuk baki tiga perlumbaan

    Selepas kerjasama antara Johann Zarco dan KTM ditamatkan, banyak khabar angin yang muncul berkenaan hala tuju pelumba tersebut. Namun, yang betul-betul rasmi sekarang adalah khidmat beliau akan digunakan sebagai pengganti kepada Takaaki Nakagami dalam pasukan LCR Honda Team.

    Nakagami terpaksa ‘melepaskan’ sebentar kedudukan beliau sebagai pelumba kerana perlu menjalani pembedahan bahu dan pulih sebelum musim 2020 bermula. Kontrak beliau bersama pasukan itu juga sudah disambung untuk tahun 2020. Jadi, Zarco akan berlumba menggunakan jentera Honda RC213V di Australia, Malaysia dan Valencia.

    “Masa saya menghubungi Zarco, beliau ada menunjukkan keinginan dan kami telah bersama mengambil langkah persediaan seterusnya, yang akan lengkap di Valencia. Dari pihak kami, kami akan memberi usaha yang maksimum untuk menyokong Zarco, seorang pelumba yang menunjukkan bakat besar dan profesional sepanjang karier beliau,” kata ketua pasukan LCR Honda Team, Lucio Cecchinello.

    “Saya sangat berterima kasih dengan peluang ini, dan akan melakukan yang terbaik untuk mendapat keputusan bagus dan menikmati masa ini, kerana ia mungkin adalah tiga perlumbaan terakhir saya untuk masa yang panjang. Kita tengok nanti apa yang boleh saya lakukan. Sasarannya adalah untuk berlumba dengan rentak yang baik, dan mendapatkan semula rasa bagus yang pernah saya alami sebelum ini,” kata Zarco.

    Zarco sebelum ini pernah dinobatkan sebagai juara dunia Moto2 sebanyak dua kali dan rookie terbaik MotoGP pada tahun 2017. Antara pihak yang sudah menunjukkan minat kepada Zarco selepas beliau ‘berpisah’ dengan KTM adalah Yamaha, yang telah mendekati beliau untuk menjadi penunggang ujian (test rider).

     
     
  • Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

    Kita baru sahaja menerima Toyota Yaris generasi ketiga April lalu, tapi kini pengeluar dari Jepun itu telah mendedahkan pula Yaris generasi baru. Namun anda perlu tahu, Yaris baharu ini adalah kesinambungan dari model Yaris pasaran Eropah dan Vitz di Jepun, tidak sama dengan Yaris yang kita dan pasaran ASEAN lain terima, iaitu model hatchback yang dihasilkan dari sedan Vios.

    Toyota Yaris ini akan mula dijual di Jepun pada bulan Februari 2020 dan juga akan dibawa ke Tokyo Motor Show minggu depan. Sebagai sebuah model generasi baru, Yaris ini juga menggunakan platform yang baru, iaitu TNGA (GA-B) untuk kenderaan kompak dan menjadikannya model pertama Toyota yang menggunakan platform itu. Dengannya, 50 kg berat dapat dikurangkan, kekuatan bertambah 30 peratus dan titik graviti tengah direndahkan 15 mm – menyumbang kepada pengendalian lebih lincah dan tegap.

    Keseluruhannya terdapat tiga penggerak yang disediakan untuk Yaris baru ini iaitu enjin 1.0 liter 1KR (dipertingkat), 1.5 liter tiga silinder Dynamic Force Engine M15A (unit baru) dan 1.5 liter yang dipadankan bersama sistem hibrid THS II.

    Bagi unit 1.0L, ia cuma boleh didapati dengan transmisi Super CVT-i (FWD) manakala 1.5L boleh didapati dengan transmisi Direct Shift CVT (FWD/4WD) atau manual enam kelajuan (FWD). Versi hibrid 1.5L pula datang dengan sistem reduction gear serta pilihan pacuan dua roda hadapan (FWD) atau pacuan empat roda E-Four. Ini semua adalah transmisi baru yang dibangunkan untuk enjin tersebut sementara untuk sistem E-Four, Yaris adalah kenderaan kompak Toyota pertama yang menggunakannya.

    Semua versi Yaris baru ini menggunakan suspensi jenis MacPherson di hadapan sementara di belakang pula terdapat perbezaan di mana model pacuan roda hadapan menggunakan torsion beam manakala model pacuan empat roda dan E-Four pula menggunakan tetapan two-link double wishbone.

    Jika dibandingkan dengan model sebelumya, Yaris generasi baru ini nampak lebih kompak secara keseluruhan dengan lampu yang juga lebih kecil, bukaan ‘mulut’ yang lebih besar serta lekuk-lekuk yang agresif. Bahagian belakang juga berubah sepenuhnya dengan menjadi lebih bulat serta lampu dan spoiler yang lebih kecil. Kesemuanya ada 12 warna ditawarkan untuk Yaris baru, termasuk warna baru Ice Pink Metallic dan Coral Crystal Shine. Ia juga boleh didapati dengan bumbung berwarna hitam atau putih.

    Pada bahagian dalam, Toyota menggunakan rekaan papan pemuka melengkung bertingkat yang menggunakan padanan warna coklat, hitam dan putih. Dua paparan bulat pada panel instrumen di hadapan pemandu sebenarnya adalah unit digital TFT, manakala di tengah pula terdapat skrin lebih besar untuk sistem infotainmen. Penyampaian informasi kepada pemandu juga boleh dibantu dengan sistem head-up display.

    Walaupun Yaris ini adalah sebuah kenderaan kompak segmen B, Toyota telah menawarkannya dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense, yang termasuk Pre-Collision Warning (boleh mengesan pejalan kaki waktu siang dan malam, dan penunggang basikal pada waktu malam sahaja, termasuk di persimpangan), Low Speed Acceleration Control (membrek sendiri pada kelajuan rendah sekiranya terdapat objek di hadapan), Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA), Automatic High Beam (AHB) dan Road Sign Assist (RSA).

    Selain daripada itu, Yaris baru ini juga dilengkapi dengan Secondary Collision Brake (membrek selepas perlanggaran pertama dan beg udara mengembung) serta sistem bantuan letak kereta Advanced Park yang bukan sahaja boleh mengawal stereng, tetapi juga brek dan minyak (kereta Toyota pertama yang menggunakannya).

    Beberapa ciri menarik lain pada Yaris baru adalah seperti Easy Return Seat yang boleh mengingati kedudukan tempat duduk pemandu secara manual serta Turn Tilt Seat yang membolehkan tempat duduk dipusing ke tepi untuk memudahkan pemandu dan penumpang hadapan keluar. Bagi kedua-dua ciri ini, Yaris adalah model Toyota pertama yang menggunakannya.

    Sistem sambungan yang disediakan pada model ini juga adalah daripada versi terkini Toyota, yang termasuk Display Audio yang boleh disambung kepada telefon pintar untuk pelbagai kegunaan, SmartDeviceLink untuk navigasi, Apple CarPlay, Android Auto serta servis T-Connect yang boleh dipilih dalam pelbagai pakej bersama bayaran bulanan atau tahunan.

     
     
  • Aplikasi Ryde dilancarkan di Malaysia – platform perkongsian kenderaan tanpa berasaskan keuntungan

    Aplikasi Ryde merupakan platform perkongsian kenderaan yang dibangunkan dan cukup popular di Singapura, kini telah pun dilancarkan di Malaysia. Mula diasaskan oleh Terence Zou sejak tahun 2015 di republik berkenaan, Ryde mensasarkan sistem perkongsian kenderaan yang menawarkan lebih banyak opsyen untuk pengangkutan membolehkan pengguna lebih menjimatkan kos, membina komuniti tersendiri selain dapat membantu menjaga alam sekitar yang lebih mampan dan juga mengurangkan kesesakan trafik.

    Menurut Terence, RydePool ini membolehkan pemandu mendapatkan rakan ‘seperjalanan’ menerusi aplikasi berkenaan. Contohnya, jika anda mendaftar menerusi aplikasi ini sebagai pemandu, setiap hari anda berulang alik dari rumah di Shah Alam ke tempat kerja di Petaling Jaya. Sesiapa yang juga mendaftar menerusi aplikasi tersebut sebagai penumpang boleh ‘mengesan’ dan berhubung dengan anda bertujuan berkongsi kenderaan untuk ke destinasi yang sama. Malah pemandu dan penumpang boleh merancang perjalanan mereka bersama.

    “Di Malaysia, perkhidmatan RydePool boleh digunakan mulai 1 November ini dan ia tidak berasaskan keuntungan. Ryde juga menawarkan bayaran sifar komisen kepada pemandu, ini bermakna, pemandu boleh memperoleh 100% tambang yang ditetapkan itu berdasarkan kos pengangkutan yang digunakan. Contohnya, kos minyak, tol dan lain-lain.

    “Ini bukanlah konsep seperti perkhidmatan e-hailing, kerana tiada bayaran tertentu yang ditetapkan. Pemandu boleh meletakkan ‘harga’ ikut budi bicara dan penumpang juga boleh memilih mana-mana pemandu yang disenaraikan untuk perjalanan berkenaan. Penumpang juga boleh memberikan pemandu bayaran ‘tip’ sejurus sampai ke destinasi atau pun mengajak pemandu untuk pergi minum kopi. Aplikasi ini turut membenarkan bidaan kadar tambang, di mana penumpang boleh membida bayaran yang dikehendaki,” ujar Terence selaku CEO Ryde.

    Buat masa ini, untuk Malaysia, aplikasi Ryde dilancarkan terlebih dahulu di Kuala Lumpur, sebelum diperluaskan di Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang. Selepas Malaysia, aplikasi Ryde juga bakal dikembangkan ke Sydney, Australia pada tahun 2020 sebelum memasuki Hong Kong.

    Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Playstore dan Apple Apps Store, malah pendaftaran dibuka mulai hari ini. Jika di Singapura, penggunaannya telah mencecah ratusan ribu pengguna dan mempunyai ribuan pemandu berdaftar. Walau bagaimana pun, di republik berkenaan, Ryde menetapkan bayaran sebanyak 9% daripada kadar tambang yang diperoleh pemandu.

    “Untuk masa ini, sebagai pengenalan, ia ditawarkan secara percuma di mana pemandu yang berdaftar tidak perlu membayar apa-apa kepada Ryde. Malah pemandu dan penumpang juga boleh membatalkan perjalanan tanpa dikenakan sebarang penalti. Cuma jika kadar pembatalan melebihi 20%, mereka akan berhadapan dengan ‘penggantungan’ (tidak dibenar menggunakan perkhidmatan terbabit) secara automatik,” jelasnya lagi.

     
     
  • Honda siar teaser Jazz generasi baharu – muncul di Tokyo minggu hadapan, hanya hibrid untuk Eropah

    Honda teases image of next generation Jazz

    Setelah mengesahkan kemunculan sulung globalnya di Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan berlangsung minggu hadapan, hari ini Honda menyiarkan imej teaser untuk model Jazz generasi terbaharu secara rasmi.

    Menerusi imej tersebut – yang menayangkan bahagian sisi hatchback segmen-b berkenaan – semakin jelas Jazz atau Fit untuk pasaran JDM ini menampilkan rupa yang hampir seiras dengan imej bayangan yang dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin, dibuat berdasarkan gambar spyshot prototaip sebenar Honda Jazz generasi baharu yang ditemui sedang diuji.

    Menurut Honda lagi, kemunculan Fit di Jepun minggu hadapan adalah serentak dengan penampilan pertama Jazz pasaran Eropah yang akan didedahkan di Amsterdam, Belanda ketika Honda melangsungkan acara “Electric Vision” di mana jenama tersebut akan mengumumkan pelan halatuju teknologi elektrik mereka pada pasaran Eropah.

    Imej bayangan Honda Jazz generasi baharu oleh Theophilus Chin

    Penyiaran imej teaser ini turut disusuli dengan pengumuman bahawa buat pertama kalinya, Honda Jazz bakal ditawarkan pada pasaran Eropah hanya dengan unit janakuasa hibrid menerusi model generasi baharu ini.

    Menerusi pengumuman sebelum ini, Honda telah mengesahkan bahawa versi hibrid Honda Jazz generasi seterusnya itu bakal menggunakan sistem dua motor elektrik Intelligent Multi-mode Drive (i-MMD) seperti Honda Accord dan CR-V Hybrid terkini, tetapi dalam versi lebih kecil.

    Menurut Honda, sistem i-MMD yang lebih kompak dari sistem Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) sedia ada kerana tidak mempunyai kotak gear akan membolehkan Jazz tersebut menerima ruang dalaman yang lebih luas.

    Versi petrol biasa turut akan diteruskan untuk pasaran selain Eropah dengan konfigurasi sama seperti sekarang dengan menempatkan tangki petrol pada bawah tempat duduk hadapan membolehkan konfigurasi tempat duduk Ultra Seat yang versatil terus ditampilkan pada Jazz.

    Jazz generasi terbaharu ini akan menampilkan rekaan yang lebih bulat dan kelihatan lebih lembut, jika dibandingkan dengan model generasi GK sedia ada dengan elemen lebih tajam dan agresif.

    Selain dari Jazz baharu tersebut, Honda turut akan mempamerkan MPV Freed facelift, dan juga pengenalan semula Accord di Jepun setelah empat tahun tidak dijual pada pasaran negara matahari tersebut. Tokyo Motor Show 2019 akan berlangsung bermula 23 Oktober sehingga 4 November, dan jangan lupa untuk nantikan laporan langsung kami dari sana pada tarikh berkenaan.

    GALERI: Spyshot Honda Jazz generasi seterusnya

     
     
  • Ducati Streetfighter V4 akan didedah 23 Oktober ini

    Kewujudan model naked Ducati Streetfighter V4 bukan lagi satu rahsia. Versi prototaipnya telah pun didedahkan dan turut digunakan dalam perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb 30 Jun lepas. Malangnya, pelumba yang menggunakan motosikal ini telah terlibat dalam kemalangan dan terkorban semasa acara tersebut.

    Sejak daripada itu, berita tentang Streetfighter V4 senyap seketika, mungkin untuk menghormati pemergian pelumba tersebut. Macam mana pun, model tersebut perlu diperkenalkan kepada umum secara rasmi dalam versi produksi, dan nampaknya Ducati sudah bersedia.

    Pengeluar dari Itali itu telah menyiarkan satu teaser pendek melalui akaun media sosial mereka, menyatakan Streetfighter V4 akan didedahkan 23 Oktober ini. Mungkin selepas itu, ia akan dibawa pula ke pameran EICMA di Milan, Itali.

    Apa yang boleh dilihat cuma bahagian lampu depan motosikal tersebut, yang mempunyai DRL seperti kening yang beralun. Selain daripada itu, Ducati cuma memberitahu beberapa maklumat seperti enjin V4 Desmosedici Stradale, sayap biplane, pakej elektronik seperti Panigale V4, berat 178 kg, pemegang tinggi dan kuasa 208 hp pada 12,750 rpm.

    Dari sini, kita boleh tahu Streetfighter V4 mempunyai sedikit kurang kuasa berbanding Panigale V4 (214 hp), berat yang lebih 3 kg (Panigale V4 175 kg) dan sistem elektronik seperti Ducati Power Launch, Ducati Quick Shift EVO, Bosch Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Slide Control (DSC) dan Engine Brake Control (EBC) EVO.

    GALERI: Ducati Streetfighter V4 Prototype

     
     
  • Isuzu Hicom Malaysia terima anugerah pensijilan ISO

    Isuzu Hicom Malaysia (IHM) telah dianugerahkan pensijilan antarabangsa berprestij, International Organisation for Standardisation (ISO) 45001:2018 Occupational Health dan Safety Management Systems and ISO 14001:2015 Environmental Management System bagi cawangannya di Pekan dan Shah Alam.

    Ketua Pegawai Eksekutif IHM, Taizo Nakahigashi berkata, adalah penting bagi pengeluar kenderaan perdagangan untuk menerima pensijilan ISO 45001:2018 ini kerana ia menjadi cerminan kepada usaha proaktif syarikat untuk mempertingkat keselamatan dan kesihatan keseluruhan ditempat kerja bagi mengelakkan kecederaan atau sebarang isu berkaitan kesihatan.

    “Sebagai pelopor bagi kenderaan perdagangan ringan, medium serta tugas berat, adalah sangat penting bagi kami untuk memenuhi piawaian dan peraturan tempatan dan juga antarabangsa. Usaha kemi ke arah penambahbaikan, yang mendorong kepada penganugerahan pensijilan ini menunjukkan komitmen IHM untuk melindungi pekerja, pelanggan, kontraktor serta penyedia perkhidmatan daripada kemalangan berkaitan pekerjaan,” ujar beliau.

    Dua kilang berkenaan menerima pensijilan dari SIRIM QAS International susulan kepada pelaksanaan Occupational Health and Safety Management System yang menepati ISO 45001:2018. Pensijilan berkenaan meliputi pengilangan trak pikap dan tugasan ringan, tugasan sederhada, tugasan berat serta casis bas. Selain itu, ia termasuk juga pemasangan kontrak terhadap trak-trak tugasan berat dan ringan, van, pacuan empat roda dan casis bas bagi pemegang francais.

    Sebagai tambahan, kedua-dua cawangan IHM dianugerahkan juga dengan ISO14001:2015 Environmental Management System kerana menepati peraturan alam sekitar yang ditetapkan ISO. IHM mengilangkan trak-trak perdagangan Isuzu seperti trak N-Series, F-Series dan trak tugasan berat selain trak pikap D-Max. Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan, bagi tempoh setengah tahun ini sahaja, Isuzu telah menjual sebanyak 4,135 unit kenderaan perdagangan. Sepanjang 2018, jenama itu menjual 11,000 unit keseluruhannya.

     
     
  • Daihatsu Rocky generasi baharu akan didedahkan pada TMS 2019, versi produksi DN Trec – laporan

    Jika Suzuki ada Jimny sebagai jentera off-road dalam saiz kecil, begitu juga dengan seteru utama dalam dunia K-Carnya iaitu Daihatsu – sebelum adanya Daihatsu Terios (model asal Perodua Kembara dan kini Perodua Aruz), jenama tersebut popular dengan model Daihatsu Rocky (atau Feroza di Malaysia), ingat lagi? Menurut portal Jepun BestCarWeb, nama Rocky ini akan muncul semula pada Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan berlangsung minggu hadapan, dan ia adalah versi produksi SUV konsep Daihatsu DN Trec yang muncul pada acara sama dua tahun lalu!

    DN Trec bukan sahaja akan dihasilkan sebagai Daihatsu Rocky, malah ia turut hadir dengan pasangan kembar oleh Toyota yang akan digelar Toyota Rise, persis pasangan kembar Daihatsu Terios dan Toyota Rush.

    Menurut portal itu lagi, Toyota telah pun mula mengambil tempahan untuk Rise bermula 1 Oktober lalu, dan ia akan menjadi pilihan alternatif kepada SUV kompak Toyota yang lain seperti C-HR dan RAV4. Manakala untuk Daihatsu Rocky pula, tempahan bagi pasaran Jepun akan mula dibuka pada akhir bulan ini.

    Kedua-dua Rocky dan Rise dikatakan akan dijana oleh enjin tiga-silinder turbo bersama kotak gear CVT automatik, selari dengan DN Trec yang diberitahu ketika kemunculannya dulu bahawa ia dicadangkan untuk digerakkan sama ada dengan unit janakuasa hibrid elektrik dengan enjin 1.2 liter NA, atau 1.0 liter turbo.

    Ia juga akan ditawarkan sama ada dengan pacuan roda hadapan (FF) dan juga pacuan empat roda (4WD) . Untuk Toyota Rise yang sudah pun boleh ditempah, ia akan hadir dengan empat varian FF dan empat varian 4WD, dengan julat harga bermula 1.68 juta yen (RM65k) hingga 2.28 juta yen (RM88k).

    Adakah model ini akan turut akan dijelmakan sebagai Perodua seperti Terios, Rush dan Aruz? Agak susah nak jangka kerana Perodua juga nampaknya sedang membina sebuah SUV segmen-B lima tempat duduk dengan kod D55L yang mempunyai saiz hampir sama dengan Kembara – mungkin akan dihasilkan sendiri oleh jurutera tempatan seperti apa yang mereka lakukan pada Myvi berdasarkan model prototaip yang dilihat sedang diuji sekitar Genting Highland minggu lalu.

    GALERI: Model konsep Daihatsu DN Trec di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • Geely Icon – gambar awal SUV versi produksi didedah

    Adakah anda masih ingat dengan model Geely Concept Icon yang ditunjukkan tahun lepas? Ia adalah sebuah SUV futuristik yagn sepatutnya membawa Geely ke tahap baru, tetapi sejak ditunjukkan, tiada sebarang berita mengenainya. Itu tidak bermakna Geely melupakannya terus, sebaliknya mereka bekerja keras untuk menukarnya kepada realiti.

    Impak visual kereta versi produksi ini masih sama seperti model konsep, dengan rekaan yang begitu minimalis. Sudah pasti, rimnya adalah lain, cermin sisi lebih besar dan mempunyai bingkai tingkap, tetapi rekaan keseluruhan kebanyakannya masih sama.

    Paling menyerlah mungkin adalah bahagian hadapan. Lampu utama sebenarnya adalah yang berada di bawah, dengan kedudukan menegak dan di tengahnya terdapat gril “expanding cosmos” yang sudah menjadi tanda unik model Geely, tetapi lebih lebar dan besar. Jalur lampu nipis di atas mungkin adalah DRL, dan garisannya bersambung pada seluruh bahagian depan, serta hingga ke pintu.

    Kemudiannya di belakang juga mempunyai garis yang selari, bermula dari lekuk tayar dan bersambung sehinggalah ke pintu but. Kenderaan ini banyak menggunakan bentuk petak dan lurus, dan ia juga boleh dilihat pada bahagian-bahagian lain seperti pembuka pintu, lampu penunjuk arah dan juga lampu belakang.

    Keseluruhan bahagian bumbung serta tiang tingkap kenderaan ini diwarnakan hitam untuk menghasilkan visual seperti bumbung yang terapung. Untuk pintu, jika model konsep menggunakan jenis terbuka secara suicide, model produksi ini pula boleh dibuka seperti biasa.

    Bahagian dalam juga masih mempunyai rekaan asas yang sama seperti model konsep. Ia masih menggunakan papan pemuka bertingkat, serta konsol tengah yang tinggi dan mempunyai pemegang untuk penumpang. Di bawahnya boleh diletakkan sedikit barang, dan kelihatan juga seperti terdapat pengecas tanpa wayar di situ. Dua skrin digunakan untuk paparan infotainmen dan instrumen, sementara warna dua tona coklat dan putih menjadikannya lebih menyerlah.

    Tiada perincian teknikal yang didedahkan, tapi ada laporan yang mengatakan Icon ini sebenarnya menggunakan asas daripada Binyue dan dibina atas platform B-segment Modular Architecture (BMA). Sepatutnya, ia berukuran 4,350 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,615 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Ini adalah 20 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan enam milimeter lebih tinggi berbanding Binyue.

    Hanya satu enjin saja yang dikatakan sudah disahkan bakal digunakan pada Icon, iaitu unit empat silinder 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 174 hp dan 255 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.08 (0.00)
RON 97 RM2.67 (+0.07)
RON 100 RM3.19
VPR RM3.50
DIESEL
EURO 2M RM2.18 (0.00)
EURO 5 RM2.28 (0.00)
Last Updated 12 Oct 2019