Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kadar rizab tenaga Semenanjung Malaysia 28-36% – mencukupi untuk tampung keperluan mengecas EV

    Kadar rizab tenaga Semenanjung Malaysia 28-36% – mencukupi untuk tampung keperluan mengecas EV

    Kadar rizab tenaga di Semenanjung Malaysia diunjurkan berada pada antara 28% ke 36% dari tahun ini ke tahun 2030, dan ia adalah lebih tinggi daripada kadar minimum yang diperlukan untuk menampung permintaan elektrik sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan di mana-mana loji janakuasa.

    Perkara ini dilaporkan oleh Bernama dan ia juga dikatakan boleh memberi rizab kuasa yang mencukupi untuk menampung permintaan mengecas kenderaan elektrik. Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, unjuran keperluan tenaga bagi menampung permintaan industri dan pengangkutan elektrik ini telah dibincangkan dan diluluskan semasa mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) November lalu.

    “Sebagai contoh, unjuran permintaan bekalan elektrik di Semenanjung bagi tahun ini adalah 19,480 megawatt (MW) dan kita jangkakan menjelang tahun 2030, ia akan cecah 20,049 MW iaitu peningkatan sekitar 2.9 peratus,” kata Nasrullah.

    Kadar rizab tenaga Semenanjung Malaysia 28-36% – mencukupi untuk tampung keperluan mengecas EV

    Antara faktor yang menjadi penyumbang kepada peningkatan ini adalah aktiviti ekonomi, pembangunan industri seperti penubuhan pusat dara, penyambungan semula aktiviti ekonomi dan sosial selepas pandemik serta unjuran lebih lebih tinggi untuk kenderaan elektrik dalam negara.

    Beliau juga memberitahu bahawa margin rizab kuasa ini akan dikekalkan mengikut JPPPET, bagi memastikan kos bekalan elektrik yang mampu milik. “Pembekalan elektrik daripada syarikat-syarikat penjana tenaga dari sumber fosil dan bukan fosil ini pastinya akan mewujudkan kepelbagaian sumber bagi penjanaan bekalan elektrik agar keselamatan sistem bekalan elektrik negara sentiasa terjamin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

    Berkenaan rangkaian pengecas EV di Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Oktober lalu, negara berada di laluan betul untuk mencapai sasaran 10,000 pengecas EV menjelang thaun 2025, dengan 9,000 daripadanya adalah pengecas AC manakala 1,000 lagi DC.

     
     
  • Isi minyak dengan Caltex Rewards dan Touch ‘n Go eWallet untuk menikmati baucarbaucer pulangan tunai sehingga RM10, hingga 15 Mei

    Isi minyak dengan Caltex Rewards dan Touch ‘n Go eWallet untuk menikmati baucarbaucer pulangan tunai sehingga RM10, hingga 15 Mei

    Dapatkan ganjaran apabila anda mengisi minyak dengan Caltex Rewards dari 15 Mac 2024 hingga 15 Mei 2024. Dengan baucar pulangan tunai sehingga RM10 untuk dimenangi dimiliki, anda hanya perlu mengisi minyak dengan jumlah minimum RM20 dalam satu resit dan membuat pembayaran menggunakan fungsi ‘Bayar’ dalam Touch ‘n Go eWallet.

    Untuk transaksi pertama dengan perbelanjaan minimum RM20, anda akan diberikan baucar pulangan tunai RM5 Caltex. Pulangan tunai segera sebanyak RM5 lagi (dikreditkan ke Touch ‘n Go eWallet anda) juga menanti anda apabila anda membuat transaksi kedua dengan perbelanjaan minimum RM30.

    Promosi ini sah di semua stesen Caltex di Malaysia dan ia adalah untuk pembelian petrol dan diesel. Dengan cara yang begitu ringkas, sangat mudah untuk mendapatkan baucar pulangan tunai ini apabila anda membuat pengisian minyak rutin dengan Caltex.

    Pulangan tunai ini hanya terhad kepada 60,000 transaksi pertama (30,000 sebulan) dan setiap ahli Caltex Rewards berhak mendapat satu pulangan tunai sahaja setiap sebulan sahaja, sehingga maksimum dua pulangan tunai sepanjang tempoh promosi. Dapatkan butiran lanjut seperti terma dan syarat kempen ini menerusi pautan ini.

    Caltex Rewards ialah program kesetiaan yang membolehkan pelanggan memperoleh dan menebus mata Caltex untuk diskaun bahan api, ganjaran rakan niaga dan banyak lagi. Anda akan kehilangan banyak manfaat jika anda tidak mendaftar, jadi muat turun aplikasi CaltexGo (iOS atau Android) untuk mendaftarkan diri anda dan nikmati pelbagai ganjaran yang menanti.

     
     
  • 11 lebuhraya laksana sistem pembayaran tol terbuka; 6.25j transaksi kad kredit/debit Okt 2023-Feb 2024

    11 lebuhraya laksana sistem pembayaran tol terbuka; 6.25j transaksi kad kredit/debit Okt 2023-Feb 2024

    Menerusi persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini, 11 daripada 33 lebuhraya di Malaysia telah pun memperkenalkan perkhidmatan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) sebagai salah satu kaedah pembayaran alternatif tol.

    Sistem ini melibatkan pembayaran termasuk menggunakan kad debit dan kedit, selain masih menggunakan kaedah sedia ada seperti RFID dan Touch n’ Go.

    “Untuk rekod, dari bulan Oktober 2023 sehingga Februari 2024, 6.25 juta transaksi pembayaran tol menggunakan kad debit/kredit direkodkan, mewakili 2.1 % daripada keseluruhan mod pembayaran tol di 11 lebuh raya yang terlibat. Ia merangkumi 68.17% pengguna kad debit dan 31.83% pengguna kad kredit.

    11 lebuhraya laksana sistem pembayaran tol terbuka; 6.25j transaksi kad kredit/debit Okt 2023-Feb 2024

    “Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan mengaplikasikan SPT di lebuhraya yang lain dari semasa ke semasa dengan enam lagi lebuhraya dijangka akan melaksanakan SPT tahun ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan berkaitan peratusan penggunaan kad debit/kredit bagi pembayaran tol di kesemua konsesi yang menyediakan perkhidmatan SPT ini.

    Pada Mei 2023, sejumlah 12 syarikat konsesi lebuhraya bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka di lebuhraya kendalian masing-masing mulai September lalu. Buat setakat ini, antara lebuhraya yang telah melaksanakan SPT termasuklah Lebuhraya GCE, AKLEH, DUKE, MEX, dan Jambatan Pulau Pinang.

     
     
  • Pusat 3S Chery Kota Kinabalu, Sabah kini dibuka

    Pusat 3S Chery Kota Kinabalu, Sabah kini dibuka

    Chery Malaysia hari ini mengumumkan jaringan pengedarnya kini berkembang di Sabah dengan pembukaan pusat 3S baharu di Kota Kinabalu yang dioperasikan oleh salah satu dari 40 rakan-pengedarnya di Malaysia iaitu Universal Chery Sdn Bhd.

    Fasiliti yang menampilkan bilik pameran, pusat servis dan jualan alat ganti tersebut dibina dengan keluasa 1,400 meter persegi, terletak di Lot 7, Jalan Limau Manis Off Jalan Lintas Inanam. Ia dilengkapi dengan ruang menunggu yang lebih selasa, lapan ruang servis dan pembaikan, didakwa mampu menyelenggara sehingga 830 kenderaan setiap bulan.

    “Kami sangat berbesar hati untuk menetapkan kehadiran kami di Sabah, dengan itu memperluaskan rangkaian kami di seluruh Malaysia, memberikan peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rangkaian kenderaan kami,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang ketika melancarkan pusat tersebut.

    “Dengan pembukaan pusat pameran dan servis di Kota Kinabalu, ini seterusnya menunjukkan komitmen kami di Chery Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan yang luar biasa dan kemudahan kepada pelanggan kami di Sabah. Kami juga ingin memperkenalkan jenama kami kepada lebih ramai pelanggan terutamanya di Sabah untuk memandu uji dan mengenali dengan lebih dekat lagi kenderaan Chery,” tambahnya lagi.

    Bilik pameran Chery Kota Kinabalu ini dibuka setiap hari, dari 8.30 pagi hingga 6 petang (Isnin – Jumaat), 8.30 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan dari 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan Cuti Umum). Manakala pusat servis pula dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin – Jumaat) dan dari 8 pagi hingga 3 petang (Sabtu); ditutup pada hari Ahad dan Cuti Umum.

     
     
  • Zeekr dilaporkan ada rancangan jual EV di Thai, Laos, Myanmar dan Filipina tahun ini – bakal ke Malaysia?

    Zeekr dilaporkan ada rancangan jual EV di Thai, Laos, Myanmar dan Filipina tahun ini – bakal ke Malaysia?

    Jurucakap Zeekr berkata syarikat ini merancang untuk menubuhkan pusat operasi di Thailand dan bekerjasama dengan pengedar tempatan dan mula jualan kenderaan elektrik (EV) pada separuh pertama tahun ini, laporan Reuters.

    Ditubuhkan pada 2021, Zeekr dimiliki oleh Geely dan kini mempunyai 001, 007, 009 dan X dalam barisannya. Selain Thailand, jurucakap itu memberitahu Reuters bahawa pembuat kereta itu juga telah menandatangani kontrak dengan pengedar tempatan di Laos, Myanmar dan Filipina, dengan jualan di pasaran berkenaan dikatakan akan bermula pada suku kedua 2024.

    Zeekr dilaporkan berkembang ke Asia Tenggara susulan laporan pada November lalu di mana syarikat ini mengumumkan sedang membangunkan kereta pemanduan sebelah-kanan dengan rancangan untuk menghantarnya kepada pelanggan bermula tahun ini. Ia juga telah mengumumkan akan memasuki pasaran Hong Kong dan Singapura serta Eropah, Timur Tengah dan Asia Tengah

    Untuk Malaysia, buat setakat ini tiada pengumuman rasmi dilakukan tetapi ada kemungkinan jenama ini akan memasuki pasaran kita. Pada April tahun lalu, anak syarikat Proton yang mengendalikan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) iaitu Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) mengesahkan bahawa ia turut akan membawa satu lagi jenama EV dari Geely iaitu Zeekr selepas ini.

     
     
  • Kia K4 2025 muncul dalam teaser – pengganti Cerato/Forte; diperkenalkan pada 27 Mac di New York

    Kia K4 2025 muncul dalam teaser – pengganti Cerato/Forte; diperkenalkan pada 27 Mac di New York

    Kia telah menyiarkan imej teaser bagi model K4 generasi akan datang, yang akan didedahkan dalam dua peringkat pada bulan ini. Pada 21 Mac, pengeluar kereta Korea Selatan ini akan mendedahkan rekaan global bagi sedan baharu ini, sementara tontonan di peringkat dunia pula dijadualkan akan berlangsung di New York Auto Show pada 27 Mac ini.

    Berdasarkan pada imej bayangan ini, K4 nampaknya lebih kurang serupa dengan Concept EV4 yang dipertontonkan oleh Kia pada Oktober lalu, walau pun diubahsuai bentuknya supaya menjadi kurang pelik. Walaupun begitu, masih terdapat beberapa klue reka bentuk tersendiri seperti elemen lampu hadapan dan belakang, seakan sama dengan model Carnival dan K3 terkini.

    Dengan foto yang disunting, kelihatan tiang belakang K4 yang agak luar biasa dengan garisan tingkap bagaikan terputus pada satu titik yang menghubungkan antara bumbung dengan tingkap belakang. Manakala pemegang pintu belakang juga “tersembunyi”, dan kelihatan juga seperti ada bumbung suria.

    Kia K4 2025 muncul dalam teaser – pengganti Cerato/Forte; diperkenalkan pada 27 Mac di New York

    K4 dilaporkan akan menggantikan Forte/Cerato dalam barisan model Kia dan akan bersaing dengan model segmen-C yang lain termasuk Toyota Corolla dan Honda Civic. Sebelum ini, Forte/Cerato juga dikenali sebagai K3, tetapi kini nama tersebut digunakan untuk sedan segmen-B yang lebih kecil yang didedahkan pada Ogos tahun lalu.

    Untuk perincian lebih lanjut termasuk penawaran penjana kuasanya hanya akan didedahkan pada majlis pengenalannya, tetapi buat masa ini, apa pendapat anda mengenai K4 ini?

     
     
  • Audi Malaysia gesa pemilik terlibat dengan panggilan semula beg udara Takata segera buat pembaikan

    Audi Malaysia gesa pemilik terlibat dengan panggilan semula beg udara Takata segera buat pembaikan

    Pengedar rasmi jenama Audi untuk pasaran tempatan iaitu PHS Automotive Malaysia (PHSAM) menggesa pemilik-pemilik kenderaan jenama tersebut yang terlibat dalam panggilan semula beg udara keluaran Takata yang sedang berlangsung agar segera datang ke pusat servisnya bagi membuat pemeriksaan dan pembaikkan.

    Panggilan semula ini melibatkan 2,297 unit kenderaan, terdiri daripada model Audi Q5, A5 Cabriolet dan A5 Sportback yang diproduksi di antara tahun 2009 dan 2012, serta Audi TT dan R8 yang dikilangkan bermula tahun 2014 hingga 2017 yang mana beg udara Takata dipasang pada bahagian pemandu.

    Selain itu, senarai ini juga turut melibatkan model Audi A4, A4 Cabriolet dan A6 yang dihasilkan di antara tahun 2005 dan 2011 di mana beg udara Takata yang dipasang untuk penumpang hadapan turut bermasalah. PHSAM menyatakan bahawa buat masa sekarang peratusan pemilik yang telah datang menukar komponen terjejas tersebut hanya berada pada kadar 25% iaitu 569 unit daripada jumlah keseluruhan 2,297.

    Menerusi maklumat yang disediakan oleh Takata, PHSAM menyatakan bahawa generator gas pada beg udara hadapan Takata yang terjejas mungkin pecah apabila beg udara diaktifkan semasa kemalangan, jika bahan dorong di dalamnya menunjukkan tanda-tanda dimakan usia berikutan kesan keadaan sekeliling yang ekstrem.

    Akibatnya, serpihan-serpihan besi daripada gas generator boleh masuk ke dalam kabin dan mendatangkan kecederaan parah kepada penumpang.

    Audi Malaysia gesa pemilik terlibat dengan panggilan semula beg udara Takata segera buat pembaikan

    “Justeru, pemilik dinasihatkan supaya memeriksa dan menggantikan beg udara itu secepat mungkin di pusat servis Audi bagi memastikan kenderaan dapat berfungsi pada standard keselamatan terbaik. Bergantung kepada pemasangan beg udara Takata dan model kereta, komponen bahan dorong atau modul penuh pemacu beg udara terbabit perlu diganti tanpa sebarang kos,” kata PHSAM dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarikat itu turut menambah, sebagai tanda penghargaan buat pemilik yang datang untuk menukar atau memeriksa beg udara Takata mereka, PHSAM akan memberikan pemeriksaan 20 poin secara percuma.

    Bagi memastikan sama ada kenderaan anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh membuat semakan di laman web Audi dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (Vehicle Identification Number, VIN) yang boleh didapati pada bahagian bawah kiri cermin utama.

    Selain itu, pemilik juga boleh menghubungi Audi Customer Service di talian 1-800-22-2834, emel ke [email protected] atau kunjungi mana-mana Audi Centre terdekat dan dapatkan temu janji untuk pemeriksaan percuma dan penggantian jika perlu.

     
     
  • Nissan dan Honda sahkan kerjasama untuk bina EV – MoU kajian kebolehlaksanaan telah ditandatangani

    Nissan dan Honda sahkan kerjasama untuk bina EV – MoU kajian kebolehlaksanaan telah ditandatangani

    Selepas khabar angin yang bertiup minggu lalu, kini Nissan Motor Co. dan Honda Motor Co. telah mengesahkan bahawa kedua-duanya bakal membangunkan produk bersama dalam segmen EV. Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, Nissan dan Honda menyatakan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani bagi memulakan kajian kebolehlaksanaan kerjasama strategik dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan teknologi pintar.

    “Untuk mempercepatkan lagi usaha ke arah neutraliti karbon dan sifar kemalangan maut trafik, adalah penting untuk mengukuhkan teknologi alam sekitar dan elektrifikasi serta pembangunan perisian. Kedua-dua syarikat telah mencapai persefahaman berdasarkan kepercayaan bahawa adalah perlu untuk menggabungkan kekuatan kedua-duanya dan meneroka kemungkinan kerjasama masa depan,” tulis kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Ia juga menjelaskan bahawa skop kajian kebolehlaksanaan itu turut merangkumi platform perisian automotif, komponen-komponen utama berkaitan dengan EV, dan produk-produk pelengkap.

    “Adalah penting untuk bersiap sedia bagi meningkatkan kadar transformasi dalam mobiliti untuk jangka masa pertengahan hingga panjang, dan adalah penting bahawa kami telah mencapai persetujuan ini berdasarkan persefahaman bersama bahawa Honda dan Nissan menghadapi cabaran bersama. Kami menantikan perbincangan lanjut dan menyasarkan untuk mencari solusi menang-menang untuk pertumbuhan yang mampan,” kata presiden dan CEO Nissan, Makoto Uchida.

    “Dalam tempoh transformasi sekali dalam satu abad dalam industri automotif ini, kami akan mengkaji potensi perkongsian antara Nissan dan Honda. Kriteria kajian kami ialah sama ada sinergi teknologi dan pengetahuan yang telah diusahakan oleh syarikat kami akan membolehkan kami menjadi peneraju industri dengan mencipta nilai baharu untuk industri automotif,” kata presiden, pengarah dan wakil pegawai eksekutif Honda, Toshihiro Mibe pula.

     
     
  • Plaza tol Jambatan Pulau Pinang laksana sistem pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    Plaza tol Jambatan Pulau Pinang laksana sistem pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan pihaknya kini sedang melaksanakan ujian rintis awam bagi sistem pembayaran terbuka di plaza tol Jambatan Pulau Pinang. Di mana kini pengguna Jambatan Pulau Pinang boleh melakukan pembayaran transaksi tol menggunakan kad debit atau kredit selain daripada kad Touch ‘n Go dan RFID.

    “Transaksi tol kini boleh dibuat di lorong yang dipasang papan tanda dengan logo MyDebit, Visa dan Mastercard. Di lorong tersebut, disediakan dua jenis peranti iaitu peranti kad Touch ‘n Go dan peranti MyDebit-Visa-Mastercard.

    “Pengguna boleh menyentuh kad debit atau kredit mereka pada peranti MyDebit-Visa-Mastercard untuk transaksi tol, di mana bayaran tol akan ditolak dari baki kad debit atau kad kredit mereka. Dengan pelaksanaan ini, orang ramai kini mempunyai lebih mod pilihan untuk membayar tol di lebuh raya terbabit,” kata PLUS.

    Tambah PLUS, bagi penduduk Pulau Pinang yang layak, anda boleh mendapat diskaun sebanyak 20% sekiranya mendaftar kad bank di portal JimatDiPenang.

     
     
  • Pemeriksaan Kereta Percuma Carro Care di Citta Mall – pastikan kereta anda bersedia untuk balik kampung!

    Pemeriksaan Kereta Percuma Carro Care di Citta Mall – pastikan kereta anda bersedia untuk balik kampung!

    Baru sahaja minggu pertama Ramadan, namun bagi semua yang menyambutnya, anda pasti tahu apa yang perlu dilakukan tidak lama lagi – pulang ke kampung halaman untuk Hari Raya dan menghabiskan masa bersama keluarga.

    Bagi banyak orang, ini melibatkan perjalanan jauh antara negeri, oleh itu, lebih baik pastikan kenderaan kita berada dalam keadaan terbaik sebelum berangkat.

    Inilah sebabnya kami menggesa anda untuk melakukan pemeriksaan sekarang. Ini memberikan masa yang cukup untuk anda mengatasi sebarang masalah yang mungkin ditemui.

    Anda boleh ke tempat letak kereta terbuka Citta Mall pada hujung minggu ini di mana Carro Care telah menubuhkan pusat pemeriksaan PERCUMA dimana anda boleh melakukan pemeriksaan kesihatan ringkas kereta anda dalam masa 15 minit.

    Jika terdapat sebarang masalah, teknisi Carro Care juga akan dapat memberi nasihat tentang apa yang perlu dilakukan untuk memperbaikinya dan memberikan anggaran kos.

    Terdapat juga beg hadiah dari Nippon dan Liqui Moly untuk dibagikan.

    Berikut adalah pautan Google Maps dan Waze ke Citta Mall.

    Diskaun 20% untuk pembaikan

    Jika kereta anda mempunyai calar, lekukan, atau kemek, ini adalah peluang anda untuk memperbaikinya. Carro Care akan menawarkan promosi diskaun 20% untuk kerja-kerja pembaikan di mana anda dapat memperbaiki kereta anda dan membuatnya kelihatan seperti baru! Tiada siapa yang akan dapat mengesan kereta anda tidak selalu sehalus telur.

    Promosi cat semburan diskaun 30%

    Jika anda merancang untuk menyimpan kereta anda lebih lama, memberikan lapisan cat baru dapat membuat anda jatuh cinta dengan kereta itu sekali lagi kerana ia akan kelihatan seperti baru keluar dari barisan perakitan.

    Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai promosi cat semburan diskaun 30% Carro Care di gerai, atau anda boleh membaca lebih lanjut di sini dan mengetahui cara untuk mendaftar. Anda boleh mengecat semula kereta anda dari hanya RM2,100 berkat promosi diskaun 30%, asalkan anda mendaftar sebelum 31 Mac 2023.

    Carro Care kini memiliki dua pusat Badan & Cat yang terletak di Taman Perindustrian Subang di USJ dan Ulu Tiram di Johor.

    Pakej Waranti Lanjutan tersedia

    Anda juga boleh bertanya tentang pakej Waranti Lanjutan Carro Certified Plus Carro Care di gerai Citta Mall. Kereta anda tidak perlu dibeli dari Carro Malaysia Certified Pre-Owned untuk membeli Waranti Lanjutan Carro Certified Plus.

    Carro Certified Plus adalah pakej waranti lanjutan selama 1 tahun yang dijamin oleh Allianz untuk kereta yang tidak lebih tua daripada 11 tahun dan jarak tempuh di bawah 170,000 km.

    Harga bermula dari RM380 untuk kereta Jepun dengan enjin di bawah 1,500cc, jadi jika anda memiliki Myvi, City, Vios dengan waranti kilang telah tamat, kereta anda layak dan anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk mendapatkan Carro Certified Plus untuk ketenangan fikiran.

     
     
  • Review Proton S70 — betul ke lagi bagus dari Civic?

    Kami akhirnya meluangkan masa yang agak panjang bersama Proton S70 untuk melihat dari dekat apa sebenarnya yang mampu ditawarkan oleh sedan terbaru Proton ini. Banyak persoalan yang bermain dalam fikiran sebelum ini, misalnya adakah ia mampu memberikan pada kadar yang lebih baik seperti yang pernah diberikan oleh model segmen C Proton yang lain sebelum ini, seperti Preve, Waja atau bahkan Inspira?

    Adakah Lotus “Ride & Handling” yang pernah menjadi kebanggaan model Proton dalam segmen berkenaan masih membawa erti yang sama atau sebaliknya? Begitu juga tentang kesamaran segmen penawaran bagi S70 — adakah sedan segmen B atau C — dan bagaimana untuk memahami perkara ini.

    Seperti yang telah anda sedia maklum, Proton S70 ditawarkan dalam empat varian dengan harga seperti berikut — Executive (RM73,800), Premium (RM79,800), Flagship (RM89,800) dan Flagship X (RM94,800) — harga atas jalan tidak termasuk insurans. Bagaimana harga ini jiga dibandingkan dengan Toyota Vios dan Honda City, adakah S70 lebih berbaloi dan ada nilai tambah?

    Semua persoalan ini dan banyak lagi dibincangkan dalam video review ini. Selamat menonton.

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro – pendaftaran minat (ROI) di Malaysia bagi pesaing Proton X70 kini dibuka

    Chery Tiggo 7 Pro – pendaftaran minat (ROI) di Malaysia bagi pesaing Proton X70 kini dibuka

    Dalam satu hantaran yang dibuat oleh Chery Malaysia, jenama dari China itu mengumumkan bahawa SUV segmen-C Chery Tiggo 7 Pro bakal dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lagi. Serentak dengan itu, Chery turut telah membuka pendaftaran minat (ROI) untuk pelanggan yang berminat dengan model ini dan ia boleh dibuat pada PAUTAN INI.

    Selepas dilancarkan kelak, Tiggo 7 Pro bakal memberikan saingan terus terhadap model-model seperti Proton X70, Honda CR-V dan juga Mazda CX-5. Ia dihasilkan 113 mm lebih panjang dan 32 mm lebih lebar dari Chery Omoda 5, manakala panjang keseluruhan dengan 4,513 mm adalah hampir sama seperti Proton X70 dengan ukuran 4,519 mm.

    Model ini telah ditunjukkan kepada media tempatan pada Oktober 2022, dan kemudian dilihat di atas jalan pada Januari tahun ini. Seperti dua model awal Chery yang dilancarkan sebelum ini iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, Tiggo 7 Pro ini juga akan terus hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang menerusi kilang di Kulim, Kedah.

    Chery Tiggo 7 Pro – pendaftaran minat (ROI) di Malaysia bagi pesaing Proton X70 kini dibuka

    Dalam pembentangan rancangan perniagaannya bagi 2024 Januari lalu, Chery Malaysia turut telah mengesahkan beberapa perincian yang bakal diberikan pada Tiggo 7 Pro pasaran Malaysia ini. Ia akan ditawarkan hanya dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya dengan menampilkan enjin 1.6 liter empat silinder turbo berkuasa 197 hp dan tork maksima 290 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

    Gandingan ini membolehkan Tiggo 7 Pro ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Antara perincian lain yang turut disahkan bagi model pasaran Malaysia ini termasuk rim aloi 18-inci, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan 17-fungsi, Android Auto dan Apple CarPlay sambungan tanpa wayar, bumbung suria panaromik dan liang pengudaraan pada tempat duduk hadapan.

    Selain itu ia juga menerima perincian lazim model-model terkini Chery seperti kamera pemantau ‘540-darjah’, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara dan juga dua buah skrin berkembar untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh keseluruhannya bersaiz 25.6-inci.

     
     
  • Polis mula siarkan statistik kes kemalangan jalan raya secara harian menerusi laman media sosial

    Polis mula siarkan statistik kes kemalangan jalan raya secara harian menerusi laman media sosial

    Bermula hari ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menyiarkan maklumat statistik kes kemalangan jalan raya dan kematian secara harian, seperti mana yang diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya baru-baru ini.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, setiap hari statistik kemalangan jalan raya mengenai kes kemalangan dan kematian akan dikeluarkan secara masa sebenar (real time) dengan mengambil data kemalangan yang berlaku pada hari sebelumnya.

    “Penyiaran berbentuk infografik akan dimuat naik di laman sosial rasmi JSPT seperti Facebook, Instgram dan X bermula hari ini dan masa akan dikeluarkan sebelum atau pada jam 2 petang. Penyiaran data statistik kepada umum adalah langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai mengenai betapa seriusnya kes kemalangan jalan raya yang berlaku pada setiap hari,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut statistik kemalangan yang berlaku semalam, 14 Mac 2024, sebanyak 1,999 kes kemalangan jalan raya dengan 12 kematian direkodkan di seluruh negara.

    “PDRM menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi. Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita,” katanya.

    Pada 8 Mac lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan polis bagi menyediakan data, dengan maklumat mengenai kematian kemalangan jalan raya dari hari sebelumnya dan ia akan dikeluarkan setiap hari. Ia bertujuan bagi mempertingkatkan kesedaran terhadap keselamatan di jalan raya, dan kerajaan berhasrat untuk membuat statistik setiap hari mengenai kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian untuk pengetahuan umum.

     
     
  • Chery Malaysia tawar pakej Extra Peace of Mind – servis 7-tahun, waranti enjin 10-tahun, RM11,600

    Chery Malaysia tawar pakej Extra Peace of Mind – servis 7-tahun, waranti enjin 10-tahun, RM11,600

    Chery Malaysia hari ini telah pun mengumumkan pakej perlindungan baharu untuk pelangganya iaitu pakej Extra Peace of Mind. Pakej yang berharga RM11,600 ini ditawarkan untuk pembeli baharu yang memilih Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro di mana pelanggan tidak perlu gusar berkenaan kos servis dalam tempoh tujuh tahun pertama pemilikan kedua-dua SUV tersebut.

    Menurut Chery Malaysia, pakej ini akan merangkumi penukaran alat ganti dalam servis penyelenggaran berkala seperti minyak enjin, penapis minyak enjin, cecair penyejuk radiator, bendalir brek, penapis udara, palam pencucuh, sesendal palam buang minyak enjin dan minyak transmisi.

    Syarikat itu menyatakan dengan memilih pakej ini ia akan menjimatkan wang pelanggan sehingga RM2,750 untuk kos servis dalam pemilikan tujuh tahun pertama Omoda 5 atau Tiggo 8 Pro tersebut.

    Chery Malaysia tawar pakej Extra Peace of Mind – servis 7-tahun, waranti enjin 10-tahun, RM11,600

    “Dengan membeli Pakej Extra Peace of Mind, pelanggan boleh yakin bahawa mereka tidak akan terjejas oleh peningkatan harga alat ganti dan kos penyelenggaraan dari masa ke semasa. Ini membolehkan mereka merancang perbelanjaan mereka dengan lebih berkesan dan cermat,” kata Chery dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Ia turut menambah bahawa pakej Extra Peace of Mind ini juga disekalikan dengan pakej waranti enjin selama 10-tahun atau 1 juta km.

    Sekiranya anda tidak memilih apa-apa tawaran tambahan dari Chery Malaysia, setiap kenderaan baharu yang dijual datang standard dengan perlindungan waranti enjin selama tujuh-tahun atau 150,000 km. Dan jika anda mahukan perlindungan waranti enjin 10-tahun/1 juta km sahaja, ia boleh ditambah dengan bayaran sebanyak RM2,000.

     
     
  • Nissan pertimbang kerjasama dengan Honda untuk hasilkan EV bagi atasi pesaing seperti Tesla

    Nissan pertimbang kerjasama dengan Honda untuk hasilkan EV bagi atasi pesaing seperti Tesla

    Menurut laporan portal berita Jepun Kyodo News, Nissan kini sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Honda dalam sektor kenderaan elektrik (EV), yang mungkin bakal mewujudkan kerjasama antara kedua-dua jenama automotif Jepun berkenaan bagi bersaing dengan pengeluar EV luar seperti Tesla.

    Dengan mengambil sumber yang rapat tentang perkara ini, Kyodo News menyatakan bahawa Nissan kini sedang mempertimbangkan untuk berkongsi perolehan alat ganti dan komponen utama bagi model-model EV akan datang bersama Honda bagi mengurangkan kos, namun perbincangan tersebut masih diperingkat awal serta pendirian Honda mengenai kerjasama itu masih belum jelas buat masa ini.

    “Boleh saya katakan ia adalah satu langkah yang realistik. Mereka juga boleh meluaskan skop kerjasama kepada kereta hibrid dan bateri,” kata penganalisis kanan Makmal Kajian Tokai Tokyo, Seiji Sugiura dalam laporan Kyodo News tersebut.

    Februari tahun lalu Nissan telah pun mengumumkan strategi Ambition 2030, mendedahkan bahawa ia akan melancarkan 19 EV baharu menjelang 2030, sebagai sebahagian dari 27 model yang menerima teknologi elektrifikasi yang turut akan diperkenalkan ketika itu.

    Nissan pertimbang kerjasama dengan Honda untuk hasilkan EV bagi atasi pesaing seperti Tesla

    Manakala untuk Honda, ia juga telah mengumumkan rancangan EVnya pada 2022 yang menyebut bahawa ia akan melancarkan 30 model EV menjelang 2030, serta mensasarkan jumlah pengeluaran tahunan dua juta unit.

    Honda turut telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sony pada Mac 2022, dan kemudian mewujudkan Sony Honda Mobility bagi pembangunan bersama “kenderaan elektrik bateri dengan nilai tambah tinggi”. Dan pada Januari lalu, Sony dan Honda mengumumkan jenama Afeela yang diwujudkan hasil kerjasama tersebut, dengan kereta pertamanya akan dijual di Amerika Utara pada 2026.

    Selain itu, Honda turut bekerjasama dengan General Motor (GM) pada 2022 untuk menghasilkan EV mampu milik menggunakan platform Ultium rekaan GM, yang kemudiannya menghasilkan SUV EV Honda Prologue didedahkan pada 2023. Walau bagaimanapun, kerjasama tersebut berakhir tidak lama selepas itu kerana kedua-dua pihak mengakui bukan mudah untuk menghasilkan produk sedemikian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Mar 07, 2024