Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton Persona Premium 2022 – tiada lagi bumbung hitam, harga kekal sama; RM55,800 dengan SST

    Proton Persona Premium 2022 – tiada lagi bumbung hitam, harga kekal sama; RM55,800 dengan SST

    Proton telah pun membuat satu perubahan kecil untuk model Persona 1.6L Premium CVT, iaitu tidak lagi menawarkan bumbung berwarna hitam pada sedan segmen-B varian paling tinggi tersebut.

    Namun tiada sebarang perubahan harga diumumkan di mana ia masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM54,900 tanpa cukai jualan dan servis (SST) sekiranya anda sempat untuk menempahnya hari ini, atau RM55,800 dengan SST bermula esok kerana insentif ‘cuti cukai’ yang ditawarkan oleh kerajaan tersebut telah pun tamat.

    Tiada sebarang perubahan untuk perincian lain, di mana Persona Premium masih menerima lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 16-inci dua-tona dan lip spoiler pada penutup but belakang untuk bahagian luaran.

    Perincian lain yang turut dikekalkan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit sintetik berwarna perang, skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen yang berfungsi dengan OS Atlas, paparan pelbagai informasi berwarna, empat pembesar suara, enam beg-udara dan kawalan kestabilan elektronik.

    Proton Persona Premium 2022 – tiada lagi bumbung hitam, harga kekal sama; RM55,800 dengan SST

    Ia juga masih menerima enjin 1.6 liter Campro VVT empat-silinder berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dari Punch untuk memacu roda hadapan.

    Persona menerima satu lagi versi facelift tahun lalu bersama kembar hatchbacknya, Proton Iriz. Ia kini tampil dengan logo baharu Proton pada semua tempat sepatutnya termasuk pada roda stereng, konsol tengah pada papan pemuka yang mengubah posisi liang penghembus udara dan skrin infotainmen yang kini lebih besar dan ‘terapung’, diberikan suis kawalan pendingin hawa baharu dan pelbagai lagi.

    Kotak gear juga telah menerima perisian dan talaan baharu di mana ia kini memberikan fungsi mod Eco sebenar, serta mod SAT yang memberikan tukaran gear maya seperti kotak gear AT konvensional sekiranya pedal pendikit dikerah sepenuhnya.

    Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

     
     
  • MBJB rangka perancangan atasi isu kesesakan trafik – sediakan bas perantara, kawasan parkir sementara

    MBJB rangka perancangan atasi isu kesesakan trafik – sediakan bas perantara, kawasan parkir sementara

    Bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di sekitar bandaraya Johor Bahru (JB), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merangka perancangan jangka pendek untuk tujuan tersebut.

    Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Noorazam Osman, kesesakan lalu lintas di JB adalah akibat peningkatan kenderaan sejak pintu sempadan Malaysia dan Singapura dibuka mulai 1 April lalu.

    Tambah beliau, pihaknya mendapati permasalahan berkenaan bertambah buruk dengan tindakan segelintir pemandu meletakkan kenderaan di tepi jalan yang bukan tempat meletak kenderan dibenarkan. Disebabkan itu, MBJB akan mengambil tindakan terhadap kenderaan yang diletakkan di tempat yang tidak dibenarkan supaya ia tidak mengganggu lalu lintas dan memberi imej kurang baik bandar raya, laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun, katanya MBJB tidak dapat menyediakan tempat letak kenderaan khas yang luas kerana tiada rezab kerajaan di dalam pusat bandar.

    Katanya, berikutan itu bagi penyelesaian jangka pendek, MBJB kini sedang di dalam proses perbincangan bersama pihak swasta yang memiliki tanah belum dibangunkan di pusat bandar supaya dijadikan tempat letak kenderaan sementara.

    MBJB rangka perancangan atasi isu kesesakan trafik – sediakan bas perantara, kawasan parkir sementara

    “Perbincangan juga akan diadakan dengan pemilik bangunan komersial yang tidak beroperasi di sekitar bandar raya Johor Bahru untuk dibuka bagi tujuan sama. Selain itu MBJB merancang untuk menyediakan perkhidmatan electric shuttle bus di dalam dan di pinggir pusat bandar bagi memudahkan orang ramai memasuki pusat bandar tanpa membawa kenderaan mereka ke pusat bandar.

    “Perkhidmatan shuttle bus ini akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan dapat membendung kenderaan yang diletakkan tanpa kebenaran di pusat bandar,” katanya.

    Beliau turut berkata, bagi penyelesaian jangka panjang pula, MBJB berharap perkhidmatan pengangkutan awam yang dirancang seperti Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit dan landasan berkembar KTMB dapat dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual dirancang.

    “Kedua-dua perkhidmatan pengangkutan awam ini penting untuk memudahkan orang ramai yang berada di luar daerah dan dalam kawasan Johor Bahru masuk ke pusat bandar tanpa membawa kenderaan mereka. Malah ia juga memberi sokongan kepada operasi Rapid Transit System Johor Bahru Singapura yang dijangka akan beroperasi pada tahun 2026.

    “MBJB juga mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri Johor untuk mengkaji pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) Johor Bahru bagi mengatasi isu kesesakan, sekali gus menyepadukan sistem pengangkutan di bandar raya,” katanya.

     
     
  • myTukar Auto Fair 2022 di Puchong South pada 1-3 Julai – nikmati tawaran hebat dan hadiah, menangi percutian ke Sydney!

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong South pada 1-3 Julai – nikmati tawaran hebat dan hadiah, menangi percutian ke Sydney!

    Sedang mencari kereta terpakai? Anda pasti akan temui apa yang anda cari di myTukar Auto Fair 2022 yang akan berlangsung pada hujung minggu ini, 1 hingga 3 Julai, di myTukar Retail Experience Centre yang terletak di Puchong South.

    Acara berkenaan menjanjikan pelbagai pilihan kenderaan terpakai, daripada jenama nasional dan Jepun hingga ke Continental bersama tawaran premium, semuanya dengan jaminan lanjutan, pakej servis percuma dan penghantaran cepat. Dengan lebih 1,000 kereta myTukar Certified tersedia, pastinya ada pilihan anda di sini.

    Walau apa pun model kenderaan yang anda pilih, pembelian yang anda buat pastinya bebas masalah. Ini kerana setiap kenderaan myTukar Certified telah menjalani pemeriksaan 160 point yang teliti untuk memastikan tiada ubahsuai perbatuan dan kereta berkenaan bebas daripada kemalangan besar, kebakaran dan kerosakan banjir. Pemeriksaan 160 mata termasuk enjin, stereng, brek & suspensi, transmisi & klac, luaran & dalaman serta pemeriksaan bahagian bawah badan & segenap ruang enjin.

    Selain itu, semua kereta myTukar Certified melalui proses baik pulih dan pemulihan menyeluruh untuk memastikan ianya sama seperti baharu. myTukar mempunyai Refurbishment Centre tercanggihnya sendiri untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih kenderaan.

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong South pada 1-3 Julai – nikmati tawaran hebat dan hadiah, menangi percutian ke Sydney!

    Kedua-dua bahagian dalam dan luar kenderaan, termasuk semua perincian elektronik, akan melalui proses pembaikan dan pemulihan mengikut piawaian “MyTukar Certified Pre-Owned”. Baik pulih dilakukan di bawah pematuhan piawaian ketat kerana myTukar sentiasa mengutamakan keselamatan pelanggan.

    Setiap pembelian myTukar juga adalah termasuk waranti lanjutan satu tahun PERCUMA, dan anda akan diberikan servis kereta secara percuma sebanyak DUA KALI, yang memberikan anda ketenangan fikiran. Sekiranya anda menghadapi masalah atau hanya mahu mengubah fikiran anda berkenaan kenderaan tersebut, anda boleh terus kembalikannya kepada myTukar menerusi polisi jaminan wang dikembalikan selama 5 hari – tanpa sebarang pertanyaan diajukan kepada anda.

    Urusan pembelian kenderaan menjadi sangat mudah kerana myTukar Experience Centres merupakan pusat sehenti yang memastikan perjalanan anda untuk membeli kenderaan berlangsung dengan mudah dan tidak rumit. Semua urusan dari pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman hinggalah kepada insuran, semuanya diuruskan oleh syarikat ini.

    Sekiranya anda ingin membuat urusan tukar-beli dengan kereta yang sedang anda miliki sekarang, anda boleh berbuat demikian di myTukar Auto Fair 2022. Pakar produk myTukar akan memberikan anda tawaran tukar beli segera dengan nilai maksimum untuk kenderaan anda pada acara tersebut.

    Jika anda membeli kenderaan di acara ini nanti, ganjaran sehingga RM800,000 juga menanti! Pembeli berpeluang untuk memenangi perjalanan ke Sydney, Australia dengan semua kos ditanggung. Anda juga akan menerima tawaran istimewa, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.88% untuk 150 tempahan pertama serta peluang untuk memenangi baucar dengan nilai sehingga RM1,000 melalui promosi Spin & Win.

    Tidak lupa juga ada hadiah bernilai RM12,000 untuk cabutan bertuah eksklusif untuk dimenangi. Ini termasuklah iPhone 13, sebuah iPad, sebuah konsol Playstation, SmarTV Android, pembersih hampagas Xiomi Mi Robot serta pam air Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Trak makanan turut akan berada di lokasi, membolehkah pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman pilihan mereka dengan mudah. Prosedur penghindaran Covid-19 juga perlu diamalkan — pelitup muka adalah wajib sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak lagi wajib. Kru acara akan kerap membersihkan keseluruhan lokasi serta permukaan yang kerap disentuh seperti kereta dan kemudahan umum untuk memastikan keselamatan terjamin.

    myTukar Retail Experience Centre di Puchong South terletak di tepi LDP (Lot 14225, KM 3.8) sebelum plaza tol Puchong Barat, jika anda datang dari IOI Mall dan Bandar Puteri. Sebelum tol, di sebelah kiri anda. Kotak oren misteri yang dilihat di myTukar Plentong juga akan berada di beberapa kawasan seluruh negara, imbas untuk tahu lebih lanjut!

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar, atau layari pilihan luas kenderaan yang ada ketika ini di inventori myTukar dan lihat tawaran yang diberikan. Datanglah ke myTukar Auto Fair at the myTukar Retail Experience Centre – Puchong South dari 1-3 Julai nanti, 9.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.

    Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara–Puchong,
    47100 Puchong, Selangor.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Persiaran Tun Arshad nama baharu bagi Persiaran Institut di Shah Alam atas titah Sultan Selangor

    Persiaran Tun Arshad nama baharu bagi Persiaran Institut di Shah Alam atas titah Sultan Selangor

    Pada 23 Jun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya nama Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam, Selangor ditukar kepada Persiaran Tun Arshad, bersempena nama Pengarah Pertama Institut Teknologi MARA (ITM).

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, titah berkenaan sudah diluluskan dan dikuatkuasakan serta-merta oleh Kerajaan Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

    “Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 (di hadapan pintu masuk utama Universiti Teknologi MARA/UiTM) hingga ke persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Selangor (Unisel) Seksyen 7, Shah Alam.

    “Penukaran nama persiaran ini bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang juga tokoh pendidikan negara dihormati dan disegani serta banyak berjasa memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini khususnya pembangunan UiTM,” katanya menerusi laman Facebook Selangor Royal Office.

    Pemasangan papan tanda nama persiaran baharu ini telah pun selesai dilakukan oleh MBSA.

    Arshad, 93, menghembuskan nafasnya pada 14 Jun lalu. Allahyarham berkhidmat sebagai Pengarah ITM sejak 1967 hingga 1975 yang kini dikenali sebagai UiTM. Sepanjang hayatnya, Allahyarham menabur bakti di UiTM, seterusnya dilantik Pro-Canselor selepas bersara daripada perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 32 tahun.

     
     
  • Yamaha YZF-R15M dilancar untuk pasaran Malaysia – tiada versi Standard, dua pilihan warna, RM14,998

    Yamaha YZF-R15M dilancar untuk pasaran Malaysia – tiada versi Standard, dua pilihan warna, RM14,998

    Menuruti beberapa teaser yang disiarkan sebelum ini, Yamaha YZF-R15M kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, pada harga jualan RM14,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Meskipun di negara luar terdapat versi Standard yang lebih murah bagi R15 V4 ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) cuma membawa versi prestasi R15M untuk pasaran dan dua pilihan grafik disediakan, iaitu Signature M (warna perak) dan Monster Energy Edition.

    Diperkenalkan kali pertama September tahun lalu di India, R15M ini menampilkan panel badan serba baru termasuk tangki, penghadang lumpur dan panel tepi, sementara lampu hadapan LED utama pula menggunakan satu unit di bahagian tengah, di tepinya terdapat jalur LED sebagai DRL.

    Enjin model ini masih lagi sama seperti R15 sebelum ini, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.

    Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.


     
     
  • Harga minyak 30 Jun-6 Julai – semuanya dikekalkan

    Harga minyak  30 Jun-6 Julai – semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 30 Jun hingga 6 Julai 2022, Kementerian Kewangan mengumumkan harga ketiga-tiga bahan api utama di negara ini dikekalkan seperti mana harga minggu sebelumnya. Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada paras RM4.84 seliter selepas mengalami kenaikan mendadak selama tiga minggu berturut-turut.

    Untuk harga bagi petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia juga dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kesemua harga ini masih berkuatkuasa sehingga Rabu hadapan, 6 Julai 2022.

     
     
  • Feri Penang lanjut 50% diskaun kenderaan 2 roda hingga 31 Dis – RM1 untuk motor, 70 sen bagi basikal

    Feri Penang lanjut 50% diskaun kenderaan 2 roda hingga 31 Dis – RM1 untuk motor, 70 sen bagi basikal

    Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) telah melanjutkan pemberian diskaun sebanyak 50% bagi kenderaan dua roda yang menaiki feri Pulau Pinang. Tawaran separuh harga itu telah mula diberikan sejak 1 Januari 2022 untuk tempoh enam bulan, iaitu sepatutnya berakhir esok (30 Jun 2022). Walau bagaimana pun, dengan lanjutan tempoh ini, pemberian diskaun tersebut akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022.

    Pengerusi PPC Datuk Tan Teik Cheng berkata, setakat 31 Mei, sebanyak 62,564 motosikal dan 1,393 basikal telah menikmati pemberian diskaun 50% ini. Dalam tempoh tersbeut, PPC – yang merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan – telah membelanjakan sebanyak RM65,539.10 untuk kempen diskaun berkenaan.

    Diskaun ini adalah untuk semua jenis motosikal, basikal dan beca, tanpa mengira warga negara penunggangnya. Untuk motosikal, dikenakan tambang sebanyak RM1 dan basikal pula 70 sen untuk menaiki feri RORO. PPC turut berkata, inisiatif ini dijangka memberikan manfaat buat 100,000 penunggang kenderaan dua roda.

     
     
  • Benarkan warga asing memandu – 3 motosikal, 3 kereta dan sebuah lori disita JPJ Perlis sejak 1 April

    Benarkan warga asing memandu – 3 motosikal, 3 kereta dan sebuah lori disita JPJ Perlis sejak 1 April

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah menyatakan bahawa sejak 1 April lalu pihaknya telah menyita tujuh kenderaan milik warga negara Malaysia yang dipandu oleh warga asing serta pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tanpa lesen.

    “Berdasarkan rekod kita sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka pada 1 April lalu, sebanyak tujuh kenderaan disita membabitkan masing-masing tiga motosikal dan kereta serta sebuah lori. Malah, daripada jumlah itu, enam daripadanya adalah warga Myanmar etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR serta seorang warga Pakistan,” kata Fatimah kepada Berita Harian selepas melakukan tinjauan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) Bersepadu semalam.

    Menurutnya lagi JPJ mendapati kenderaan-kenderaan yang dipandu oleh warga asing terutama pemegang kad UNHCR berkenaan adalah milik majikan warga tempatan yang membenarkan mereka memandu, dan ada juga disewakan kepada mereka oleh warga tempatan. Tindakan tersebut menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna jalan raya disebabkan golongan ini tidak mempunyai lesen memandu sama sekali, tambahnya lagi.

    Fatimah turut menjelaskan bahawa terdapat ketetapan undang-undang pengangkutan jalan di Malaysia yang melarang sama sekali warga asing pemegang kad UNHCR terutama warga Myanmar dari etnik Rohingya memandu atau memiliki lesen serta kenderaan di negara ini.

    “Memang sudah termaktub dalam undang-undang jalan raya bahawa warga asing pemegang kad UNHCR tidak dibenarkan memandu apatah lagi menunggang motosikal di negara ini. Kita boleh menahan dan memberikan kompaun kepada mereka atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

     
     
  • Pemegang permit kerja tidak boleh simpan, guna kenderaan pendaftaran asing di S’pura mulai 1 Julai

    Pemegang permit kerja tidak boleh simpan, guna kenderaan pendaftaran asing di S’pura mulai 1 Julai

    Sejak pintu masuk Malaysia (menerusi Johor)-Singapura dibuka pada April lalu, ia turut membuka peluang untuk kedua-dua warga negara berkenaan merentasi sempadan bagi tujuan meneruskan pekerjaan demi kelangsungan hidup. Malahan saban hari, beribu-ribu warga kita berulang-alik ke Singapura untuk bekerja. Rata-ratanya memilih menggunakan kenderaan sendiri dan sanggup bersesakan di pintu pemeriksaan darat (CIQ) antara Malaysia dan Singapura.

    Malahan sejak kebelakangan ini, kesesakan lalu lintas itu semakin meruncing membuatkan Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengambil tindakan untuk mengekang jumlah kenderaan yang memasuki negara terbabit.

    Di mana LTA telah mengumumkan bermula 1 Julai 2022, pemegang permit kerja (Working Pass Holder) tidak lagi boleh menyimpan dan menggunakan kenderaan berpendaftaran asing di Singapura. Ekoran daripada peraturan itu juga, pengedar kereta tempatan Singapura telah merekodkan peningkatan sebanyak 30% dalam bilangan kenderaan yang dijual, laporan mustsharenews.com.

    Sebelum ini, pada Mei lalu, LTA telah memberi amaran kepada pemilik kenderaan berhubung perkara tersebut. Pengumuman tersebut melibatkan penarikan balik pengecualian yang akan datang untuk pemegang permit kerja “menyimpan dan menggunakan kenderaan berdaftar asing mereka selama-lamanya di Singapura”.

    Sebelum perubahan tersebut dilakukan, LTA telah membenarkan pemegang permit kerja menyimpan dan menggunakan kenderaan mereka di Singapura kerana sekatan sempadan semasa pandemik COVID-19.

    8world News pula melaporkan bahawa peraturan baharu itu diharapkan dapat membantu keperluan mengawal jumlah kenderaan yang masuk ke negara republik itu.

    Di bawah pindaan baharu Akta Trafik Lebuhraya, pesalah kali pertama akan didenda sehingga S$1,000 (RM 3169.09) dan penjara sehingga tiga bulan. Kesalahan seterusnya akan membawa denda sehingga S$2,000 (RM 6338.18) atau sehingga enam bulan penjara.

    Manakala pemegang permit kerja yang tidak tinggal di Singapura juga perlu memastikan kenderaan berpendaftaran asing mereka kekal berada di luar Singapura selama sekurang-kurangnya enam jam setiap hari.

    Ternyata keputusan LTA ini lebih berpihak pada negara jiran kita itu kerana ia dilihat mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan CIQ. Walau bagaimana pun, untuk pemegang permit kerja dari Malaysia, keputusan ini agak sukar untuk diterima. Malah ada di antara mereka yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli kenderaan di Singapura, sekurang-kurangnya motosikal, bagi tujuan berulang-alik ke kedua-dua negara berkenaan untuk bekerja.

    Buat setakat ini, kerajaan Malaysia masih belum memberikan sebarang tindak balas berhubung tindakan terbaru Singapura ini.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Hyundai Ioniq 6 akhirnya didedah sepenuhnya, dan menjadi model elektrik terbaru jenama itu, mengikuti Ioniq 5 yang diperkenalkan Februari lalu. Membawa rekaan serba lain, Ioniq 6 ini diberitahu mencatat kecekapan rintangan angin cuma 0.21, dan merupakan yang paling rendah berbanding model-model Hyundai yang lain.

    Selain bentuk asas melengkung seperti yang boleh dilihat dalam gambar, penyumbang lain kecekapan aerodinamik ini adalah seperti bampar tirus, sirip udara aktif, penutup ruang roda, kamera digital menggantikan cermin sisi, spoiler atas but, bahagian bawah kenderaan yang tertutup sepenuhnya serta sirip angin di beberapa bahagian lain.

    Mengikuti Ioniq yang lain, Ioniq 6 ini juga menggunakan elemen Parametric Pixels, yang boleh didapati termasuk pada lampu hadapan, lampu belakang, sensor bawah di hadapan, hiasan pada corong pendingin hawa, konsol tengah serta lampu brek ketiga.

    Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Di sebalik badannya adalah platform Electric Global Modular Platform (E-GMP) sama seperti Ioniq 5, Kia EV6 dan Genesis GV60. Spesifikasi teknikal Ioniq 6 ini masih belum didedahkan tetapi menurut Ars Technica, ia adalah lebih kecil berbanding Ioniq 5 dengan jarak roda kurang 50 mm.

    “Inilah rekaannya, dan sejujurnya, inilah apa yang kami mahu di pusat rekaan. Tetapi, bahagian jualan dan pemasaran memutuskan 4,485 mm (jarak roda Ioniq 6) adalah saiz yang sepatutnya,” kata ketua rekaan Hyundai, Lee Sangyup kepada Ars Technica, merujuk kepada jarak rodak Ioniq 6 yang kini lebih pendek berbanding Ioniq 5.

    Memandangkan platform adalah sama, kita boleh menjangkakan pakej kuasa Ioniq 6 juga adalah sama seperti Ioniq 5. Dengan pakej bateri 77.6 kWh, Ioniq 6 dijangka boleh mencatat jarak gerak 482 km, dan melihat kepada Ioniq 5 yang menggunakan bateri ini, dan paling berkuasa, ia boleh menghasilkan 302 hp/605 Nm, melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan mencecah kelajuan maksimum 185 km/j.

    Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Menurut Hyundai, bahagian dalam Ioniq 6 menggunakan rekaan “berbentuk kepompong” untuk menyediakan ruang peribadi tersorok, sementara bateri yang terletak di bawah lantai menjadikan ruangnya lebih luas dan selesa. Terdapat lampu suasana dengan pilihan 64 warna di dalam kereta ini dan di bahagian tengah stereng terdapat lampu Interactive Pixel.

    Panel pintu hadapan direka untuk tidak mempunyai sebarang butang kawalan demi “memberikan lebih ruang bernafas”, manakala kemasan lutsinar pada beberapa bahagian menurut Hyundai adalah untuk meningkatkan lagi rasa luas di dalam kabin.

    Selain penggerak tanpa emisi, Ioniq 6 juga cuba memperkuatkan ciri mesra alamnya dengan penggunaan bahan seperti pigmen cat kitar semula, plastik PET, lapik papan pemuka bio TPO, fabrik bio PET untuk lapis bumbung, jala kitar semula untuk lapik kaki serta cat bio daripada minyak sayur. Perincian selanjutnya berkenaan Ioniq 6 ini akan didedah bulan hadapan oleh Hyundai.

     
     
  • Pihak berkuasa Jerman serbu pejabat Hyundai dan Kia – didakwa guna peranti pengubah tipu ujian emisi

    Pihak berkuasa Jerman serbu pejabat Hyundai dan Kia – didakwa guna peranti pengubah tipu ujian emisi

    Pejabat Hyundai dan Kia di Jerman telah diserbu oleh pihak berkuasa negara berkenaan pada Selasa lalu kerana kes yang melibatkan penipuan dalam ujian emisi, lapor Reuters.

    Penipuan tersebut melibatkan sejumlah 210,000 unit model diesel yang dijual oleh kedua-dua jenama Korea berkenaan, didakwa menerima peranti pengubah haram yang digunakan di atas jalan raya oleh pejabat pendakwaraya negeri Frankfurt.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perisian sistem pengurusan enjin yang didakwa mengandungi peranti pengubah tersebut dibekalkan oleh Bosch dan Delphi, di mana kedua-dua jenama tersebut kini di bawah kumpulan Borgwarner.

    Reuters turut melaporkan bahawa pendakwaraya di Frankfurt telah mengesahkan lapan lokasi milik Hyundai dan Kia di Jerman dan Luxembourg telah diserbu melibatkan isu yang sama dalam operasi yang dikoordinasi oleh agensi Kesatuan Eropah, Eurojust.

    Pihak berkuasa Jerman serbu pejabat Hyundai dan Kia – didakwa guna peranti pengubah tipu ujian emisi

    Jurucakap Hyundai telah pun mengesahkan serbuan tersebut dan menyatakan mereka kini sedang memberikan kerjasama terhadap pihak berkuasa, lapor agensi berita tersebut lagi.

    Apa yang sedang di hadapi Hyundai dan Kia ini nampaknya hampir sama dengan skandal Dieselgate membabitkan Volkswagen Group pada 2015, apabila pihak berkuasa mengesan peranti pengubah dalam model-model diesel keluaran gergasi automotif Jerman berkenaan.

    Peranti tersebut mampu mengesan situasi apabila kenderaan berkenaan masuk ke makmal untuk di uji, dan terus mengubah talaan enjin secara automatik agar memenuhi standard emisi yang dibenarkan, kemudian bertukar semula kepada talaan asal apabila dipandu di jalan raya.

    Skandal Dieselgate ini telah menyebabkan Volkswagen kerugian berbilion dollar untuk membayar saman di pelbagai negara di seluruh dunia. Kemudian kaedah penipuan yang hampir sama turut dikesan digunakan oleh beberapa pengeluar lain termasuk Mercedes-Benz dan lain-lain.

     
     
  • BMW 218i Gran Coupé Limited Edition diperkenal oleh Auto Bavaria di Malaysia – harga dari RM228,000

    BMW 218i Gran Coupé Limited Edition diperkenal oleh Auto Bavaria di Malaysia – harga dari RM228,000

    Bagi menjadikan pilihan lebih menarik, pengedar kenderaan BMW di Malaysia, Auto Bavaria (AB), telah memperkenalkan pakej edisi terhad untuk model 218i Gran Coupé M Sport F44. Melalui pakej ini, kereta tersebut akan ditambah dengan beberapa kelengkapan dan barang hiasan.

    Pembeli disediakan dengan tiga pilihan, dengan yang dijangka menjadi pilihan utama adalah pakej Aesthetics, menjadikan kereta tersebut bernilai RM228,000. Harga ini adalah RM15,400 lebih mahal berbanding model standard (RM213,400), dan anda akan menerima beberapa barang M Performance Parts di bahagian luar.

    Ini termasuklah gril hitam berkilat dengan rekaan seperti M235i, lapik cermin sisi gentian karbon, spoiler atas but warna hitam serta pemancar logo BMW M. Menurut AB, semua komponen ini bernilai RM8,888 dan turut diberi adalah penapis cahaya cermin, baucar petrol RM3,000 serta cawan seramik Sttoke.

    Pembeli juga boleh memilih pakej Signature Sound yang menjadikan harga kereta RM227,800 (lebih RM14,400 berbanding model standard). Pakej ini memberikan naik taraf pembesar suara Harman Kardon bernilai RM8,400, pembesar suara mudah alih Bluetooth Harman Kardon berharga RM1,699, penapis cahaya cermin serta cawan seramik Sttoke. Jika mahu mendapatkan barang dalam kedua-dua pakej ini, anda boleh menggabungkannya dengan memilih Best of Both Worlds, yang menjadikan harga kereta RM233,800.

    Kelengkapan lain pada kereta standard dikekalkan, termasuk lampu utama LED, rim 18 inci, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, balutan kulit Dakota asli, kemasan dalam “Boston” berlampu, cermin boleh malap sendiri, kamera undur, bantuan parkir, BMW Live Cockpit Professional dengan dua skrin 10.25 inci dan pintu but boleh buka tanpa sentuh.

    Turut dikekalkan adalah pakej Driving Assistant yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik, serta Traffic Sign Recognition. Stability Control dan enam beg udara diberi secara standard.

    Penggeraknya adalah enjin tiga silinder turbo 1.5 liter, menghasilkan 140 PS pada 4,600 hingga 6,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,480 hingga 4,200 rpm. Dengan transmisi klac berkembar Getrag dan pacuan roda hadapan, model ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 213 km/j.

     
     
  • Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Selain Mazda MX-30, Bermaz hari ini turut memperkenalkan Mazda CX-8 2022 untuk pasaran tempatan dan ia melibatkan beberapa kemaskini terbaru. Yang paling utama ialah pertambahan varian 2.5 T High Plus AWD, yang menjadi penawaran paling tingginya kini, dengan harga RM212,225 atas jalan tidak termasuk insuran. Varian petrol lain masih dikekalkan, dengan 2.5 Mid 2WD pada harga RM177,674; 2.5 High 2WD pada RM183,452; dan 2.5 High Plus 2WD pada RM197,553.

    Turut berubah adalah varian diesel tunggal 2.2 D High Plus, kini tanpa sistem pacuan semua roda. Ia kini dijual pada harga RM204,759. Ini tidak termasuk SST, dan pengecualian ini akan berakhir Jumaat nanti. Semua pembelian datang dengan jaminan lima-tahun/100,000 km dan servis percuma selama lima tahun.

    Enjin 2.5 liter terbaru ini, dengan nama Skyactiv-G 2.5 T, dikongsi juga dengan CX-5 dan menghasilkan kuasa 228 hp pada 5,000 rpm dan 420 Nm tork 2,000 rpm. Ini berbeza agak banyak berbanding enjin NA yang hadir dengan 192 hp pada 6,000 rpm dan 258 Nm pada 4,000 rpm. Model turbo ini juga merupakan satu-satunya yang dilengkapi dengan i-Activ AWD.

    Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Varian 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel masih lagi menjana 188 hp pada 4,500 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm. Semua model menggunakan transmisi automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan, lengkap dengan ciri G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) baru yang kini boleh mengaktifkan brek dan menstabilkan kenderaan.

    Model 2022 ini juga turut melibatkan beberapa perubahan estetika. Di luar, CX-8 tampil dengan rekaan gril baru untuk varian High Plus dalam penyudah kemasan gunmetal. Ia juga diberikan kemasan jalur krom di sekeliling di bahagian bawahnya, dan rim aloi 19-inci baru. Tidak lupa, ada dua warna metalik baru — Platinum Quartz dan Polymetal Grey dari Mazda 3.

    Di dalam, skrin sentuh lapan-inci kini standard, walaupun untuk pasaran tempatan tiada lagi paparan 10-inci diberikan seperti di pasaran lain. Dan untuk Apple CarPlay kini tanpa wayar serta pengecas Qi bagi varian 2.5 High dan ke atas. Kerusi balutan kulit adalah standard, dan bagi varian High Plus, kulit Nappa dan pemanas kerusi berliang jadi tambahan (termasuk pemanas kerusi barisan kedua).

    Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Selebihnya kelengkapan kekal sama; lampu depan dan belakang LED automatik, lampu kabus LED, sistem tanpa kunci, butang Start, kawalan pendingin tiga-zon, paparan instrumen tujuh-inci, kerusi depan larasan kuasa dan memori untuk kerusi pemandu, tujuh-tempat duduk, cermin pandang belakang anti-silau, enam-pembesar suara, kamera undur dan pintu ruang karga bebas kendalian tangan.

    Beralih ke varian 2.5 High, ia menerima lampu LED adaptif, DRL LED, lampu belakang LED, pencahayaan dalaman LED, cermin pandang belakang tanpa bingkai dan enam tempat-duduk. High Plus pula diberikan head-up display, penghadang matahari pintu belakang dan sistem kamera 360-darjah. Landasan bumbung hanya untuk model turbocas sahaja.

    Untuk aspek keselamatan, CX-8 datang standard dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan, dengan 2.5 High hadir bersama sistem bantuan pemandu i-Activsense; ini termasuklah AEB, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Baru untuk 2022 adalah ciri tambahan untuk High Plus, seperti kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong dan sistem AEB yang dipertingkat dengan turut berfungsi ketika mengundur.

    Mazda CX-8 2.5 T High Plus AWD

     
     
  • Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Selepas dipertontonkan pertama kali April lalu, Bermaz Motor kini memperkenalkan secara rasmi model elektrik sepenuhnya Mazda MX-30 untuk pasaran tempatan. Ia merupakan unit yang diimport sepenuhnya dari Jepun, dan dijual pada harga bermula RM198,780. Serahan untuk pasaran tempatan pula dijangka akan dilakukan bermula suku keempat tahun ini.

    Ketika pelancaran, terdapat dua varian MX-30 ditawarkan, iaitu MX-30 EV Mid dan MX-30 EV High, dengan perbezaan antara keduanya melibatkan kelengkapan yang ditawarkan. Kedua-duanya berkongsi sistem janaan yang sama; terdiri daripada bateri lithium ion 35.5 kWh, 355 volt serta motor elektrik berkuasa 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm tork, yang dipadankan bersama transmisi satu kelajuan.

    Penggerak elektrik yang digunakan pada MX-30 ini dipanggil sebagai e-Skyactiv, di mana ia terdiri daripada bateri lithium ion 35.5 kWh, 355 volt serta motor elektrik berkuasa 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm tork, yang dipadankan bersama transmisi satu kelajuan. Bagi prestasi, model ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, dengan kelajuan maksimum 140 km/j manakala untuk jarak gerak, dengan cas penuh, ia boleh bergerak sejauh 199 km.

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Untuk pengecasan, MX-30 datang dengan pengecas AC Type 2 yang boleh digunakan sehingga 6.6 kW, dan apabila menggunakan wallbox pada kadar maksimum, baterinya akan mengambil masa lima jam untuk penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Berkongsi platform SkyActiv-Vehicle Architecture yang sama, serta saiz yang hampir dengan CX-30, model ini mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,570 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,655 mm — hampir sama dengan saiz CX-30, cuma lebih tinggi 30 mm. Beratnya adalah 1,645 kg, sama bagi kedua-dua varian.

    Antara kelengkapan standard luaran termasuklah lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang kombinasi LED Signature di belakang serta lampu kabus dan lampu undur LED. Turut disediakan ialah sensor pengilap cermin dan sistem tanpa kunci, serta empat sensor parkir di depan dan enam di belakang. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci dengan tayar 215/55.

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Menggunakan rekaan papan pemuka yang lebih mendatar dan bergaris lurus, MX-30 turut dipasang dengan tiga skrin iaitu untuk panel instrumen (TFT 7.0-inci LCD), infotainmen dan pengawal suhu (unit di bawah, berhampiran tombol gear). Bahagian kabin ini juga ada menggunakan bahan kitar semula termasuk pada tempat duduk dan panel pintu.

    Kelengkapan lain untuk kedua-dua varian termasuklah kawalan pendingin dua zon, brek parkir elektronik, lampu dalaman LED, paddle shifter, head-up display, stereng dan tombol gear balutan kulit, suis kawalan audio di stereng dan skrin sentuh 8.8-inci untuk sistem infotainmen Mazda Connect dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    MX-30 EV Mid menerima sistem audio lapan-pembesar suara, kerusi balutan fabrik, kerusi depan larasan enam-hala dan kamera undur. Varian High pula ada 12-pembesar suara dengan sistem bunyi Bose. Selain itu, varian lebih tinggi itu juga diberikan kerusi balutan kombinasi fabrik dan kulit dengan larasan lumbar dua-hala, dua momori untuk kedudukan kerusi serta fungsi pemanas. Kamera undur untuk varian ini pula memaparkan tinjauan 360-darjah, serta ada sunroof larasan elektrik.

    Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Bagi sistem bantuan pemandu, kereta ini dilengkapi dengan i-Activesense yang terdiri daripada AEB, fungsi Start/Go dengan kawalan melayar adaptif Mazda, penggera perhatian pemandu, peninjau titik buta, penggera lintasan trafik di belakang, sistem bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong — semuanya standard untuk kedua-dua varian.

    Varian Mid datang dengan lampu depan adaptif (AFS) dan kawalan lampu tinggi, sementara varian High menerima lampu utama LED adaptif (ALH), amaran lintasan trafik depan serta sokongan melayar dan trafik (CTS).

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Daripada aspek praktikaliti, MX-30 menyediakan ruang but 332 liter manakala tempat duduknya pula boleh dilipat 60:40 untuk menjadikan ruang keseluruhan 1,137 liter. Tiada ruang kosong di bawah hud kerana ia digunakan untuk menempatkan motor elektrik serta kelengkapan lain.

    Lima pilihan warna ditawarkan; Polymetal Gray dan Machine Gray, serta pilihan dua-tona warna Jet Black Mica (dengan tiang warna perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red Crystal (dengan bumbung hitam).

    Mazda MX-30 datang dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km, yang mana dulu dan bateri pula dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan untuk MX-30 ini di Mazda Glenmarie bermula hari ini.

    Pratonton Mazda MX-30 EV

     
     
  • Tesla rugi berbilion dolar; berisiko untuk muflis?

    Tesla rugi berbilion dolar; berisiko untuk muflis?

    Pembuat kereta elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla kini berhadapan kerugian berbilion dolar dari kilang-kilang produksi baharu, isu rantaian bekalan dan juga sekatan-sekatan pergerakan berkaitan dengan pandemik. Menurut CEO syarikat tersebut, Elon Musk dalam wawancara baru-baru ini, syarikatnya mungkin boleh muflis kerana kerugian besar tersebut, lapor CNN Business.

    “Gangguan rantaian bekalan menjadi mimpi ngeri untuk dua tahun kebelakangan ini, selepas satu, satu lagi perkara berlaku. Kami belum keluar lagi dari masalah tersebut; kebimbangan kami adalah bagaimana untuk memastikan kilang beroperasi supaya kami boleh membayar orang ramai dan tidak muflis,” kata Musk dalam temu bual bersama kumpulan pemilik Tesla.

    CNN Business menyatakan bahawa Tesla telah sampai ke penghujung suku paling sukar dalam tempoh dua tahun, kerana sebahagian operasi kilangnya di Shanghai, China terpaksa dihentikan akibat sekatan pergerakan berkaitan Covid di bandar berkenaan.

    Dalam temu bual yang sama, Musk turut mendedahkan bahawa kilangnya di Berlin, Jerman dan Texas, Amerika Syarikat telah menyebabkan syarikat tersebut kerugian “berbilion dolar” kerana isu rantaian bekalan. Masalah tersebut telah memperlahankan produksi seterusnya mengurangkan jumlah kereta yang siap – laporan ini menyebut bahawa kenyataan berkenaan telah pun direkodkan akhir Mei lalu, tetapi hanya didedahkan pada minggu lalu.

    Tesla rugi berbilion dolar; berisiko untuk muflis?

    “Muflis adalah risiko sebenar untuk [Tesla], [kerana] banyak tunai mereka terperangkap di China,” kata Gordon Johnson dari GLJ Research kepada CNN Business. Tesla tidak menguntungkan sehinggalah kerjasama di China, dan China tidak membenarkan syarikat-syarikat luar membawa pulang wang yang dijana di negara tersebut, yang mendatangkan “masalah sebenar” untuk Tesla, katanya lagi.

    Tesla melaporkan keuntungan bersih suku tahunan pertamanya dalam dua tahun pada suku ketiga 2018, dan merekodkan jualan, keuntungan dan hasil terbaiknya pada suku ketiga tahun lalu. Namun keuntungan tersebut dilihat bakal berakhir, menurut kajian penganalisis oleh Refinitiv, tulis laporan CNN Business berkenaan.

    Penganalisis meramalkan bahawa pendapatan Tesla yang dilaras pada suku kedua 2022 akan turun kepada AS$2.5 bilion (RM11 bilion), turun daripada AS$3.7 bilion (RM16.3 bilion) yang dihasilkan pada suku pertama 2022. Walau bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa ini masih merupakan peningkatan berbanding pendapatan yang dilaras sebanyak AS$1.6 bilion (RM7.03 bilion) dicatatkan pada suku kedua 2021.

    CNN Business juga menyatakan produksi kenderaan Tesla kekal dikurangkan 0.1% pada suku pertama 2022 berbanding suku keempat 2021, walaupun produksi tahun ke tahun adalah 69% lebih tinggi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024