Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • BMW i7 di Malaysia – EV 7 series muncul dalam laman tempatan, hingga 544 PS dan jarak 615 km; ROI dibuka

    BMW i7 di Malaysia – EV 7 series muncul dalam laman tempatan, hingga 544 PS dan jarak 615 km; ROI dibuka

    Kurang daripada seminggu ia diperkenalkan secara rasmi, BMW i7 telah pun muncul dalam laman web BMW Malaysia dengan perincian spesifikasi serta pendaftaran minat (ROI) juga telah dibuka. Menerusi paparan dalam laman web terbabit, bateri bagi kenderaan elektrik (EV) ini mampu memberi jarak hingga 615 km, dan puncak kuasanya boleh mencapai 440 kW (600 PS), dengan varian M60 mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam kurang empat saat.

    Ia ditawarkan dalam versi xDrive60, penjana kuasa dwi-motor turut didatangkan dengan motor hadapan 258 PS/365 Nm dan 313 PS/380 Nm bagi motor belakang, dengan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 544 PS dan tork 745 Nm, seperti yang dipaparkan dalam laman web tersebut. Ini membenarkan i7 dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.7 saat, dan mampu mencapai kelajuan tertinggi dengan pengehad elektronik sehingga 240 km/j.

    Dikuasakan oleh bateri lithium-ion 101.7 kWh, ia mampu mencapai status pengecasan dari 10% hingga 80% menerusi pusat pengecasan 195 kW dalam hanya 50 minit. Namun jika menggunakan pengecasan AC 11 kW menerusi sambungan Type yang mampu memberikan jarak hingga 100 km, boleh dicapai dalam satu jam 38 minit, atau pengecasan penuh sekitar 9.5 jam.

    Menerusi maklumat yang dipaparkan di laman web tersebut, i7 didatangkan dengan ciri termasuk gril ‘kidney’ iluminasi Iconic Glow, “Great Entrance Moments” welcome scenario, ambien dalaman boleh laras menerusi My Modes, dan Skrin Teater bersaiz 31.3-inci yang dipasang di atas siling untuk penumpang belakang.

    Turut diberikan ialah bumbung suria panoramik Sky Lounge, yang membolehkan cahaya semulajadi memasuki kabin pada waktu siang serta efek lampu dinamik pada waktu malam.

    Konfigurasi kompakmen untuk penumpang belakang juga disenaraikan termasuk tempat duduk Executive Lounge, menawarkan tempat duduk penumpang belakang dengan rekaan ottoman di mana BMW menggelarkannya sebagai ‘perehat kaki’, yang boleh dibaringkan sehingga 42.5 darjah. Turut diberikan skrin sesentuh 5.5-inci pada setiap pintu untuk barisan kedua.

    Manakala untuk pemandu pula, i7 menawarkan Curved Display 14.9-inci bagi infotainmen, dan juga BMW Interaction Bar yang melintang sepanjang papan pemuka.

    Bagi fungsi digital pula, pemilik BMW i7 boleh menempah ciri ConnectedDrive yang dipertingkatkan, termasuklah fungsi bagi roda stereng dengan pemanasan dan Parking Assistant Professional, dan semua ciri ini boleh didapati mulai suku ke-empat tahun ini.

    Lain-lain ciri yang diberikan termasuklah BMW Remote Software Upgrade untuk kemaskini over-the-air dan Digital Key Plus yang membolehkan pemandu menggunakan telefon pintar sebagai kunci i7. BMW turut berkata, menerusi aplikasi My BMW, seramai lima individu boleh diberikan kebenaran untuk menggunakan kenderaan terbabit.

    Untuk perincian penuh dan harga yang ditawarkan untuk BMW i7 ini, kena nantikan perkembangan selanjutnya dari BMW Malaysia.

     
     
  • Kerajaan beri tol percuma dan diskaun tol sehingga 50% sempena Aidilfitri untuk 30 Apr-1 Mei, 7-8 Mei

    Kerajaan beri tol percuma dan diskaun tol sehingga 50% sempena Aidilfitri untuk 30 Apr-1 Mei, 7-8 Mei

    Sempena dengan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah ini dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.

    “Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi,” katanya dalam pengumuman hari ini.

    Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan Lebuhraya utara–selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang mengendalikan Lebuhraya pantai timur (LPT). Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

    Bukan itu sahaja, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara–Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11.59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

    Selain Lebuhraya Utara-Selatan dan LPT, lebuhraya lain yang terbabit termasuklah Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE), Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang (JPP), LPT2, dan Lebuhraya KL-Karak (KLK)

    Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30% dan 50% akan diberikan kepada lebuhraya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

    Lebuhraya yang terbabit dengan pemberian diskaun sebanyak 50% untuk tarikh yang sama ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

    Manakala lebuhraya yang terlibat dengan pemberian diskaun tol sebanyak 30% pula termasuklah Projek Pengurusan Air Banjir Dan Terowong (SMART), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK).

    Selain itu, ia turut melibatkan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (JPP2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

    “Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama- sama orang tersayang. Keputusan Kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    “Pada masa yang sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” sambungnya lagi.

     
     
  • Bermaz Auto latih petugas tingkat kemahiran EV, PHEV — CX-60 bakal sertai MX-30, e-2008, Sorento, Niro?

    Bermaz Auto latih petugas tingkat kemahiran EV, PHEV — CX-60 bakal sertai MX-30, e-2008, Sorento, Niro?

    Bermaz Auto sebelum ini telah umumkan tamat pengajian bagi 185 pelajar di bawah Program Perintis Bermaz, yang bakal menyaksikan semua mereka akan ditempatkan di pusat servis bagi tiga jenama yang dikendalikan oleh syarikat itu; Mazda (Bermaz), Peugeot (Bermaz Auto Alliance) dan Kia (Dinamikjaya Motors).

    Keseluruhan 185 pelajar itu juga adalah daripada tiga program berbeza, dengan 68 orang dari Program Perintis Mazda, 60 orang dari Program Mekanik Mazda dan 57 orang lagi dari Program Badan & Cat.

    Selain itu Bermaz Auto juga telah menaik taraf kelengkapan teknikal dan kemudahan di Sekolah Latihan di Glenmarie untuk memastikan tenaga kerja lepas jualanya bersedia untuk mengendalikan kenderaan generasi akan datang seperti kenderaan elektrik bateri (BEV) serta kenderaan plug-in hybrid (PHEV).

    Naiktaraf tersebut bertujuan untuk memberikan pendidikan vokasional dan teknikal serta program latihan untuk memenuhi keperluan tiga jenama yang dinyatakan itu. Satu lagi program, Program Mekatronik juga telah ditambah, memberi tumpuan untuk mendidik pelajar berkaitan teknologi elektronik dan EV.

    Langkah ini adalah sangat perlu sebagai persiapan syarikat itu menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk mengendalikan BEV dan PHEV terlebih dahulu sebelum model-model berkaitan dilancarkan secara rasmi. Sebagai contoh, MX-30 yang dipertontonkan beberapa hari lalu dijangka akand mula dijual di sini dalam tahun ini, sementara syarikat itu juga ada perancangan untuk membawa masuk Peugeot e-2008.

    Bagi Kia pula, Carnival, Sorento, Sportage dan Niro dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan dalam masa dua tahun ini, dengan setiap daripadanya akan melibatkan sistem janaan elektrifikasi, sama ada hibrid, elektrik penuh atau plug-in hybrid yang akan mengiringi sistem janaan konvensional.

    Dan, walaupun belum dinyatakan oleh Bermaz, CX-60 yang menjadi model pertama jenama itu dengan sistem janaan PHEV, mungkin juga akan diperkenalkan di sini. “Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pekerja untuk menepati keperluan kenderaan generasi akan datang dengan fokus terhadap teknologi hijau dan bersih, ciri keselamatan autonomous dan keterhubungan lebih baik. Program kami akan di strukturkan untuk menggalakkan pembelajaran berterusan,” ujar Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022 – 65 unit sudah dihantar kepada pelanggan, 300 unit ditempah

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022 – 65 unit sudah dihantar kepada pelanggan, 300 unit ditempah

    Volvo Car Malaysia (VCM) telahpun menghantar kumpulan pertama berjumlah 65 unit SUV elektrik penuh Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 kepada pelanggan pada 23 April lalu. Model ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Shah Alam, dilancarkan pada 15 Mac lalu.

    Menurut VCM, sehingga kini sebanyak 300 tempahan telah diterima untuk XC40 EV berkenaan, dan dijangka sejumlah 100 unit SUV tersebut akan dihantar kepada pelanggan pada hujung bulan ini. XC40 EV ini dijual pada harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan RM262,460, dan merupakan model pertama elektrik penuh dipasang di sini.

    Volvo XC40 EV ini digerakkan oleh dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar menjadikan ia SUV pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, menjadikan ia SUV paling pantas yang boleh anda beli dalam pasaran buat masa sekarang.

    Kuasa dibekalkan dari bateri 78 kWj yang mampu memberikan jarak gerak 418 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. XC40 EV ini menyokong pengecas AC 11 kW menggunakan penyambung Type 2, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa 7.5 jam. Ia juga diberikan sistem cas pantas DC dengan kemampuan maksimum 150 kW (antaramuka CCS2) yang boleh mengecas bateri dari 0% hingga 80% penuh dalam masa hanya 33 minit.

    Walaupun XC40 EV ini sekitar RM20k lebih mahal berbanding XC40 plug-in hybrid, ia adalah pilihan yang lebih berkuasa malah lebih murah berbanding Mercedes-Benz EQA 250 AMG Line dan juga varian tertinggi Hyundai Ioniq 5 Max. Ia turut ditawarkan dengan waranti dan servis percuma selama lima tahun dengan bantuan tepi jalan. Bateri EV pula diberikan waranti berasingan selama lapan-tahun.

    GALERI: Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022

     
     
  • VIDEO: Toyota Hilux 2.4V vs Mitsubishi Triton 2.4 A/T Premium – trak pikap mana lebih berbaloi di Malaysia?

    Sebelum ini, kami pernah membuat perbandingan antara Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, dengan mengambil varian yang paling tinggi iaitu Hilux 2.8L dan Triton 2.4L Adventure X. Sambutannya cukup baik, dan kali ini kami temukan sekali lagi dua trak pikap paling popular dalam pasaran itu, tetapi dengan mengambil varian pertengahan pula, iaitu Hilux 2.4V dan Triton 2.4 A/T Premium.

    Satu lagi perkara yang membawa kepada perbandingan ini adalah Hilux diberikan facelift pada tahun 2020. Meskipun secara luaran hanya varian paling tinggi sahaja yang nampak jelas menerima perubahan, varian lain juga masih diberikan peningkatan termasuk pada kelengkapan, enjin dan lebih penting, selang masa servis.

    Bagi Triton, walaupun sudah berada dalam pasaran sejak awal tahun 2019, ia masih lagi memberikan cabaran sengit dalam segmen trak pikap dengan rupa Dynamic Shield serba garang serta barangan yang tidak kurang lengkapnya berbanding model lain.

    Bagi yang ingin membeli trak pikap, membuat keputusan mungkin tidak mudah. Jadi, dengan adanya video ini kami harap ia dapat membantu memberikan anda idea di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model. Bukan setakat itu, kami turut nyatakan pilihan kami sendiri dan sebabnya. Jom tonton!

    GALERI: Toyota Hilux 2.4V

    GALERI: Mitsubishi Triton 2.4 A/T Premium

     
     
  • MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    Pada tahun 2020, MG ZS EV diberitahu akan datang ke negara kita dengan dijual dan dipasarkan oleh MG Berjaya. Kerjasama syarikat itu nampaknya tidak berjaya tetapi awal tahun ini tersebar lagi berita bahawa jenama itu sendiri akan mengeskport kenderaan ke negara ASEAN, dengan Malaysia bakal menerima pengedar baru.

    Itu semua bagaimanapun masih belum berlaku, dan bagi sesiapa yang masih mencari SUV elektrik segmen B tersebut, ia sebenarnya sudah ada dalam negara, dibawa oleh pengimport persendirian, G-Mart Corporation. Unit yang mereka bawa ini adalah daripada varian Trophy dari United Kingdom (UK).

    Model facelift ini boleh dikenali dengan mudah melalui ketiadaan gril hadapan, serta tempat mengecas yang dialihkan ke sebelah kanan kenderaan dan mempunyai penutup yang terbuka ke tepi. Bukaan udara di bahagian bawah bampar juga adalah lebih besar berbanding sebelum ini.

    Lampu LED adalah baru, dan ia mempunyai DRL berbentuk anak panah, sementara di belakang pula ia mendapat bampar yang direka semula. Melengkapkan penampilannya adalah rim 17 inci berserta penutup aerodinamik (masih belum dipasang pada kereta).

    Kedua-dua model yang dibawa ini adalah versi standard, yang bermakna ia dilengkapi dengan bateri 51.1 kWh, boleh memberikan jarak gerak sehingga 319 km (kitaran WLTP) dan merupakan satu peningkatan berbanding 263 km yang ditawarkan melalui bateri lithium ion 44.5 kWh pada model sebelum ini. Di pasaran luar, Z5 EV juga mempunyai versi Long Range dengan bateri 72.6 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 440 km.

    Motor elektrik pada model facelift kini menawarkan 177 PS (130 kW) kuasa pada model Standard – 150 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini – sementara tork pula menurun sedikit menjadi 280 Nm (sebelum ini 350 Nm). Daripada aspek prestasi, kereta seberat 1,610 kg ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat dan mencecah kelajuan maksimum 174 km/j.

    MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    Untuk mengecas, ia akan mengambil masa lapan jam apabila menggunakan pengecas AC tujuh kilowatt, 54 minit untuk mencapai tahap 80% (dari kosong) menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan 36 minit apabila menggunakan pengecas pantas DC 100 kW.

    Di dalam, model facelift ini mendapat panel instrumen digital tujuh inci baru, skrin sesentuh 10.1 inci di tengah untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, suis pengawal suhu rekaan baru, sistem masuk tanpa kunci bersama butang pemula, kamera parkir 360 darjah serta roda stereng balutan kulit.

    Barangan tambahan yang diberikan pada versi Trophy ini pula terdiri daripada balutan tempat duduk ala kulit dengan jahitan benang warna kontras, tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung panoramik, pengelap cermin automatik, sistem audio enam pembesar suara serta pengecas Qi tanpa wayar.

    Untuk sistem keselamatan, ZS EV dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu MG Pilot, yang termasuk AEB dengan pengesan pejalan kaki dan basikal, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Traffic Jam Assist, Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Intelligent High Beam Assist.

    Model MG ZS EV Trophy Standard ini dijual pada harga RM235,000 dan ia termasuk sekali dengan pengecas dinding, serta pengecas kompak Exicom EVAC 7.5 kW Type 2, tetapi pemilik harus menanggung sendiri kos untuk memasangnya.

    Pada masa hadapan, syarikat itu akan membawa pula versi SE bagi ZS EV ini, dan ia dijual pada harga kurang RM20k, iaitu RM215,000. Kedua-dua model Trophy ini menggunakan warna Dynamic Red dan sekarang dipamerkan di Auction House syarikat itu di Shah Alam.

     
     
  • ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    ANIH Berhad, pemegang konsesi untuk Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi pengguna lebuhrayanya. Ia adalah bagi tempoh perjalanan antara 30 April hingga 8 Mei 2022.

    Bagi perjalanan dalam tempoh 30 April-2 Mei, pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur dan Selangor yang memasuki lebuhraya berkenaan dari Plaza Tol Gombak dan ingin ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, memiliki beberapa pilihan waktu untuk bergerak.

    Bagi yang ingin ke Pahang, anda boleh bergerak antara jam 10 pagi-2 petang atau 8 malam-11 malam. Untuk pengguna yang ingin ke Terengganu dan Kelantan pula, boleh bergerak antara jam 6 pagi-10 pagi atau 5 petang-10 malam. Manakala waktu perjalanan bebas pula dari jam 12 tengah malam-6 pagi.

    ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    Untuk yang mahu bergerak pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 7-8 Mei 2022, juga diberikan beberapa pilihan waktu untuk memulakan perjalanan. Bagi yang datang dari Pahang, disarankan untuk memulakan perjalanan antara 6 pagi-10 pagi atau 7 malam-10 malam. Manakala yang datang dari Terengganu dan mula memasuki lebuhraya dari Plaza Tol Jabor, boleh memulakan perjalanan antara jam 8 pagi-11 pagi atau 8 malam-10 malam.

    Manakala yang datang dari Kelantan, boleh memulakan perjalanan antara jam 6 petang-8 malam atau 10 malam-12 tengahmalam. Dan waktu perjalanan bebas pula dari jam 12 tengah malam-6 pagi.

    Dalam masa yang sama, pengguna lebuh raya dinasihati untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi. Selain itu, pengguna juga diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19, khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah.

     
     
  • Wuling Mini EV dikesan di Malaysia – kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS, akan dilancarkan di sini?

    Wuling Mini EV dikesan di Malaysia – kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS, akan dilancarkan di sini?

    Kereta elektrik antara yang paling mampu milik dan paling laris di China, Wuling Hongguang Mini EV baru-baru ini telah dilihat di Malaysia. Imej yang anda lihat ini dirakam oleh Zulfadzli Mustafar, salah seorang ahli Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC) yang terserempak dengan kereta tersebut yang dibawa oleh sebuah trak pengangkut.

    Mini EV merupakan kereta elektrik yang dibangunkan dengan kerjasama antara SAIC Motor, General Motors dan Liuzhou Wuling Motors, diperkenalkan buat pertama kali di China pada Julai 2020. Ia juga telah dipamerkan di Indonesia, dan dijangka akan dijual di republik tersebut pada tahun ini.

    Dari segi saiz, kereta elektrik kompak ini dihasilkan dengan dimensi 2,917 mm panjang, 1,493 mm lebar, 1,621 tinggi dan jarak roda 1,940 mm. Sebagai perbandingan, ia adalah 728 mm lebih pendek, 127 mm kurang lebar dan jarak roda 515 mm lebih dekat berbanding Perodua Axia.

    Kereta ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 27 PS (27 hp atau 20 kW) dan tork 85 Nm, bagi membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 100 km/j. Manakala untuk bateri, dua pilihan bateri lithium-ion ditawarkan; 9.3-kWj memberikan jarak gerak sejauh 120 km dan juga 13.9 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 170 km dengan sekali cas penuh.

    Menrusi imej ini, unit yang dibawa tersebut adalah Mini EV Macaron Edition, berdasarkan lencana yang kelihatan pada tiang-C kereta berkenaan. Buat masa sekarang, pihak yang mungkin akan menjual kereta ini di Malaysia adalah Tan Chong Motor Holding (TCMH), namun masih belum ada petunjuk jelas bila ia akan dilancarkan. Unit yang dibawa ini berkemungkinan adalah untuk tujuan penilaian.

    Pada 2019, TCMH mengumumkan di Bursa bahawa mereka telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SAIC-GM-Wuling Automobile (SGMW) untuk meneroka kerjasama dalam memasang, menjual, mengimport dan mengedar kenderaan di Vietnam.

    Wuling Mini EV dikesan di Malaysia – kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS, akan dilancarkan di sini?

    Dalam pemfailan Bursa berikutnya bertarikh 20 November 2019, syarikat itu berkata ia sedang mengkaji potensi dan kebolehlaksanaan untuk memperkenalkan kenderaan komersial SGMW di Asia Tenggara, dengan pasaran awal untuk diteroka adalah seperti Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos.

    Pemfailan seterusnya dibuat untuk mengumumkan pengembangan terhadap MoU tersebut, dengan tarikh terbaharu pada 25 Mac 2021, mendedahkan bahawa TC Motor Vietnam (TCMV), anak syarikat milik penuh tidak langsung TCMH, telah dicalonkan oleh TC Manufacturing (Labuan) Pte Ltd untuk menjalin hubungan eksport dengan SGMW. Ia membolehkan TCMV menjadi pengimport dan pengedar tunggal dan eksklusif SGMW bagi kenderaan dan bahagian trak pikap N111P dan N300P serta van kargo N300L di Vietnam.

     
     
  • Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Pengedar Honda di Indonesia, PT Honda Prospect Motor telah melancarkan varian baharu untuk hatchback segmen-A Honda Brio di pasaran berkenaan, digelar sebagai Brio RS Urbanite Edition. Model istimewa ini dihasilkan dengan rupa lebih agresif berbanding Brio RS biasa, disasarkan untuk “anak muda yang menginginkan Honda Brio dengan penampilan yang lebih sporty, bergaya dan hype,” ujar syarikat tersebut.

    Seperti yang anda lihat, model ini diasaskan dari Brio RS biasa, tetapi untuk Urbanite Edition ini ia menerima perincian tambahan untuk penampilan luaran lebih garang termasuk spoiler bumbung belakang yang jauh lebih besar dan juga rim aloi 15-inci dengan kemasan warna hitam matte.

    Dua warna dua tona seperti Brio RS standard iaitu Phoenix Orange Pearl Two Tone dan Carnival Yellow Two Tone masih kekal ditawarkan, bersama dua tambahan warna baru khas untuk Urbanite Edition ini iaitu Tafetta White Two Tone dan Crystal Black Pearl. Emblem Urbanite dilekat pada pintu tailgate belakang model ini bagi melengkapkan perbezaan penampilan luaran.

    Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Perincian-perincian lain dari Brio RS biasa masih dibawa pada Urbanite Edition ini termasuk gril hadapan dengan emblem RS, spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser pada bampar belakang – kesemuanya dalam kemasan hitam berkilat. Ia turut diberikan cermin sisi bersama lampu isyarat membelok LED, serta penutup dan pembuka pintu yang turut diberikan kemasan hitam berkilat.

    Tiada sebarang perubahan perincian dalaman disebut, jadi model Urbanite Edition ini sepatutnya menerima spesifikasi sama seperti Brio RS biasa, tampil lebih sporty berbanding model-model Brio Satya dalam varian lebih rendah. Ia termasuk tema warna dalaman hitam dengan serlahan oren pada papan pemuka, roda stereng dengan suis kawalan audio, tempat duduk hadapan dengan perehat kepala boleh laras, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 6.2-inci bersama tambahan unit tweeter.

    Kesemua varian Honda Brio di Indonesia ini menerima perincian standard seperti lampu hadapan dengan lampu panduan LED, roda stereng dengan hanya larasan turun dan naik, sistem stereng kuasa elektrik, dan suis kawalan pendingin hawa dengan paparan digital.

    Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Sistem keselamatan juga adalah sama untuk semua varian, dengan perincian seperti dua beg udara dengan pengingat pemakaian tali pinggang hanya untuk tempat duduk hadapan, serta sistem brek ABS dan EBD tanpa sebarang bantuan sistem kestabilan elektronik.

    Tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa pada Brio Urbanite Edition ini. Kesemua varian Brio di Indonesia menerima enjin 1.2L i-VTEC empat-silinder yang berkuasa 90 PS dan tork maksima 110 Nm, didakwa paling berkuasa dalam kelasnya. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, dan apa yang menarik varian paling mahal Urbanite Edition ini turut ditawarkan dengan kotak gear manual lima kelajuan.

    “Honda Brio merupakan salah satu produk Honda yang terpenting di Indonesia, terutama kerana model ini telah menjadi salah satu produk dengan penjualan tertinggi dan kualitinya sebagai kereta produksi Indonesia telah diakui di pasaran domestik mahupun antarabangsa,” kata Yusak Billy, pengarah inovasi perniagaan, jualan dan pemasaran PT Honda Prospect Motor.

    “Honda Brio RS Urbanite Edition dihasilkan khusus untuk segmen pengguna anak muda yang selalu ingin tampil berbeza, sehingga kami perlu untuk terus menyegarkan varian ini untuk mengikuti gaya hidup penggunanya yang dinamik dan sentiasa mengikuti hype terbaru,” tambahnya lagi.

    Honda Brio RS Urbanite Edition ini dijual pada harga bermula Rp 225,900,000 (RM67,520) untuk varian kotak gear manual sehingga Rp 235,900,000 (RM70,509) untuk versi dengan kotak gear CVT automatik.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 29 April-9 Mei 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri

    PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 29 April-9 Mei 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri

    Selepas dua tahun berturut-turut kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada musim perayaan Aidilfitri, kali ini, kita semua sudah boleh merentas negeri (malah merentas negara) dan dapatlah berhari raya bersama keluarga tersayang di kampung halaman.

    Untuk itu,PLUS Malaysia (PLUS) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri bagi tempoh 29 April hingga 9 Mei 2022. TTA ini adalah untuk mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan termasuk di plaza tol dan kawasan rehat.

    Bagi yang ingin pulang ke kampung dalam tempoh 29 April hingga 2 Mei, PLUS menyarankan pengguna lebuhraya yang hendak ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor agar memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Manakala untuk lain-lain negeri pula, waktu yang bersesuaian ialah selepas jam 1 tengahari.

    Manakala bagi perjalanan pulang ke ibu kota dalam tempoh 5-9 Mei pula, pengguna dari semua negeri (Semenanjung Malaysia) disarankan untuk memulakan perjalanan sebelum jam 9 pagi.

    PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 29 April-9 Mei 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri

    Dalam masa yang sama, PLUS juga menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di R&R dan hentian sebelah di sepanjang lebuhraya. Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

    Selain itu, pengguna lebuhraya juga dinasihati agar memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan. Serta tolong patuhi had laju yang ditetapkan. Juga jangan lupa untuk selenggara kenderaan bagi meningkatan keselamatan selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak.

    Pada masa yang sama, pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuhraya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari. Selain itu, bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar di lebuhraya, sila pastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet RFID Touch ‘n Go sentiasa mencukupi.

     
     
  • Mazda MX-30 dipertonton di Malaysia – crossover EV dengan jarak gerak 199 km, harga bawah RM200k

    Mazda MX-30 dipertonton di Malaysia – crossover EV dengan jarak gerak 199 km, harga bawah RM200k

    Pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor telah mempertontonkan awal model MX-30, sebelum ia dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Kereta elektrik ini pertama kali didedahkan di Tokyo Motor Show 2019, dan sudah pernah dilihat atas jalan raya Malaysia Disember lalu.

    Penggerak elektrik yang digunakan pada MX-30 ini dipanggil sebagai e-Skyactiv, di mana ia terdiri daripada bateri lithium ion 35.5 kWh, 355 volt serta motor elektrik berkuasa 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm tork, yang dipadankan bersama transmisi satu kelajuan.

    Berkenaan prestasi, crossover ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, dengan kelajuan maksimum 140 km/j manakala untuk jarak gerak, dengan cas penuh, ia boleh pergi sehingga 199 km.

    MX-30 datang dengan pengecas AC Type 2 yang boleh digunakan sehingga 6.6 kW, dan apabila menggunakan wallbox pada kadar maksimum, baterinya akan mengambil masa lima jam untuk penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Berkongsi platform yang sama, serta saiz yang hampir dengan CX-30, MX-30 ini dijadikan berbeza dengan rekaan unik di sekeliling badannya. Paling menarik perhatian adalah pintu belakang yang terbuka secara ‘suicide‘, seperti RX-8.

    Menggunakan rekaan papan pemuka yang lebih mendatar dan bergaris lurus, MX-30 turut dipasang dengan tiga skrin iaitu untuk panel instrumen, infotainmen dan pengawal suhu (unit di bawah, berhampiran tombol gear). Bahagian kabin ini juga ada menggunakan bahan kitar semula termasuk pada tempat duduk dan panel pintu.

    Mazda MX-30 dipertonton di Malaysia – crossover EV dengan jarak gerak 199 km, harga bawah RM200k

    Kami diberitahu, model yang dipamerkan ini adalah mengikut spesifikasi dari United Kingdom, dan ia datang dengan rim 18 inci, balutan tempat duduk coklat/kelabu, tempat duduk larasan kuasa, bumbung suria boleh buka, pendingin hawa automatik, panel instrumen digital tujuh inci, skrin infotainmen 8.8 inci serta sistem bunit Bose 12 pembesar suara.

    Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Sistem aktif pula terdiri daripada Smart Brake Support (Autonomous Emergency Braking), Mazda Radar Cruise Control, Blind Spot Monitoring, Cross Traffic Alert dan kamera 360 darjah. Spesifikasi model pasaran Malaysia masih belum ditetapkan.

    Daripada aspek praktikaliti, MX-30 menyediakan ruang but 332 liter manakala tempat duduknya pula boleh dilipat 60:40 untuk menjadikan ruang keseluruhan 1,137 liter. Tiada ruang kosong di bawah hud kerana ia masih digunakan untuk menempatkan motor elektrik serta kelengkapan lain.

    Harga rasmi MX-30 pasaran Malaysia masih belum diumumkan, tetapi pengerusi eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh memberitahu bahawa syarikat kini sedang berusaha untuk membawanya dengan harga bawah RM200,000, mengambil kira insentif untuk EV sekarang.

    Jika mengambil kira harga tersebut, pesaing terdekat MX-30 adalah Kona Electric, yang dilancarkan November lalu dan ditawarkan dalam tiga varian, dengan dua kapasiti bateri (39.2 dan 64 kWh), serta harga antara RM149,888 ke RM199,888. Varian asas Hyundai Ioniq 5, MINI Cooper SE dan Nissan Leaf juga terletak pada harga bawah RM200k.

     
     
  • TuneBoss hasilkan sistem keselamatan ATAS untuk Yamaha 135LC Fi V8 – diberi terus pada ECU prestasi

    TuneBoss hasilkan sistem keselamatan ATAS untuk Yamaha 135LC Fi V8 – diberi terus pada ECU prestasi

    Bersekali dengan pelancaran unit pengawal elektronik (ECU) untuk motosikal Yamaha 135LC Fi, TuneBoss turut memperkenalkan satu sistem keselamatan baru khas untuk motosikal tanpa klac tangan, dipanggil sebagai ATAS (Accidental Throttle Activation Safety).

    Melalui sistem ini, kejadian motosikal melompat secara mengejut apabila dihidupkan, kerana penunggang tidak sedar ia berada di dalam gear dapat dielakkan. Meskipun jarang, kejadian seperti ini memang ada berlaku dan boleh menyebabkan kerosakan atau kecederaan.

    ATAS disediakan terus pada ECU 135LC Fi TuneBoss yang dijual pada harga RM399 (Stage 1), bersama fungsi lain seperti pemetaan prestasi untuk motosikal standard, immobilizer serta sambungan kepada aplikasi telefon yang membolehkan pengguna memerhati bacaan penting seperti suhu, voltan dan sebarang kekurangan yang dikesan oleh sensor.

    TuneBoss hasilkan sistem keselamatan ATAS untuk Yamaha 135LC Fi V8 – diberi terus pada ECU prestasi

    Untuk mendapatkan lebih fungsi, ECU ini boleh dinaik taraf kepada versi Stage 2 dengan harga tambahan RM200, dan selepas itu pengguna bukan sahaja boleh memerhati, tetapi juga melakukan pelarasan minyak dan percikan api mengikut kesesuaian dan keperluan enjin.

    Demonstrasi fungsi ATAS dapat disaksikan dalam video di bawah, di mana apabila motosikal berada dalam gear, ia tidak boleh dihidupkan langsung setelah menggunakan ECU TuneBoss. Pada masa hadapan, TuneBoss juga akan menyertakan fungsi ATAS ini pada semua ECU mereka, dan ia dianggap penting bagi motosikal tanpa klac tangan seperti Yamaha Lagenda dan Honda Wave/EX5.

     
     
  • Mazda CX-60 2022 – produksi mega bermula di Jepun

    Mazda CX-60 2022 – produksi mega bermula di Jepun

    Mazda telah memulakan produksi mega atau dalam skala besar-besaran bagi SUV CX-60, yang diperkenalkan buat pertama kalinya di peringkat global pada Mac lalu. CX-60 ini merupakan salah satu daripada lima model SUV yang dimasukkan dalam barisan pengeluar jenama Jepun ini dalam tempoh dua tahun ini, salah satunya ialah CX-50 yang didedahkan pada November lalu, serta model akan datang yang akan diperkenalkan termasuk CX-70, CX-80 dan CX-90.

    Untuk memperingati peristiwa itu, baru-baru ini Mazda telah mengadakan majlis bermulanya produksi di kilang Hofu di wilayah Yamaguchi di mana ia menghasilkan CX-60 bersama Mazda 6 dan CX-5. Menurut Mazda, pengeluaran CX-60 untuk pasaran Eropah telah pun bermula pada 15 Mac, dengan penghantaran pertama SUV ini dijangka akan berlepas dari pelabuhan Nakanoseki ke benua berkenaan pada 26 April ini.

    CX-60 dibangun menggunakan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak untuk memacu roda belakang. Di Eropah, CX-60 ditawarkan dengan versi plug-in hybrid – pertama bagi Mazda – menampilkan enjin Skyactic-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan kuasa 192 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm.

    Mazda CX-60 2022 – produksi mega bermula di Jepun

    Ia juga digandingkan dengan motor elektrik pada kadar 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan torn 250 Nm yang diposisikan di antara enjin dan transmisi automatik lapan-kelajuan. Motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion 17.8 kWhm memberikan sehingga 63 km bagi pemanduan bebas-emisi pada kelajuan sehingga 100 km/j.

    SUV ini turut didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda i-Activ ciptaan Mazda sendiri. Gandingan ini memberikan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 323 PS (319 hp atau 238 kW) pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.

    Untuk pasaran Jepun, CX-60 juga ditawarkan dengan enjin diesel, dengan unit Skyactiv-D 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 231 PS (228 hp atau 179 kW) dari 4,000 hingga 4,200 rpm dan 500 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

    SUV ini turut ditawarkan dengan enjin diesel enam-silinder sebaris versi mild hybrid yang dipanggil e-Skyactiv D, yang disepadukan dengan sistem elektrikal M Hybrid Boost 48-voltan yang mampu menyalurkan kuasa hingga 254 PS (251 hp atau 187 kW) pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Semua enjin yang disebutkan ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard.

    GALERI: Mazda CX-60 2022

     
     
  • Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

    Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

    Bagi yang belum mengetahui, selain dari pasaran UK dan Australia, Proton sebenarnya pernah masuk ke pasaran Jepun. Ya, Jepun! Tetapi, hanya Satria Neo yang di bawa kesana.

    Ini kerana pengedar yang membawa Satria Neo ke Jepun adalah pengeluar peralatan prestasi tinggi khususnya untuk transmisi dan suspensi dari negara tersebut iaitu Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco. Cusco sebenarnya berminat untuk menghasilkan kereta rali berasaskan Satria Neo kerana model tersebut sememangnya sangat berpotensi. Jadi dalam masa yang sama mereka turut menjadi pengedar untuk versi produksi biasa kereta berkenaan di Jepun.

    Unit yang anda lihat tampil dalam hantarn blog Gazoo.com hari ini adalah milik Encik Junichi Miyasaka yang kini berumur 49 tahun. Satria Neo miliknya ini merupakan jentera rali sebenar yang dibina oleh Cusco dan digunakan oleh pasukan Cusco Jr Rally Team dalam Kejohanan Rali Seluruh Jepun musim 2012 dan 2013. Apa yang menarik, Gazoo.com menyatakan bahawa En Miyasaka kini tidak mempunyai kereta lain untuk kegunaan hariannya selain dari Satria Neo ini.

    Menurut En Miyasaka lagi, Satria Neo ini dibeli selepas kereta rali Suzuki Swift Sport HT81S miliknya terlibat dalam kemalangan pada 2013. Satria Neo ini kini digunakan oleh En Miyasaka untuk berlumba di Kejohanan Rali Hokkaido dalam kategori RA3.

    Tidak seperti Satria Neo S2000 yang dibina oleh Mellors Elliot Motorsport di UK, jentera rali yang dibina oleh Cusco di Jepun ini adalah untuk kategori produksi. Jadi ia masih menggunakan enjin asal Campro S4PH 1.6L yang sama dengan model standard, dan ia cuma ditala semula menerusi pemadanan kotak komputer perlumbaan.

    Selain dari enjinnya yang masih standard, Satria Neo ini menerima kelengkapan-kelengkapan seperti kereta rali lain seperti rollcage penuh, pemadam api, komputer trip, tempat duduk dan tali pinggang keledar perlumbaan dan pelbagai lagi. Ia turut diberikan perlalatan prestasi dari Cusco seperti LSD dan komponen-komponen suspensi lain termasuk set penyerap hentak rali boleh laras sepenuhnya.

    Selain itu, Satria Neo ini juga dipadankan dengan rim Enkei 15-inci serta disertakan dengan corong bumbung bagi memberikan udara segar kepada pemandu dan juruarah di dalam kabin. En Miyasaki turut masih mengekalkan grafik badan Cusco Jr Rally Team pada badan kereta ini yang menampilkan watak bernama “Sato Ria”. Kalau anda nak tahu, orang Jepun sememangnya memanggil Satria ini dalam loghat mereka yang berbunyi Satoria.

    Untuk lebih perincian berkenaan latar belakang En Miyasaki dan juga lebih gambar kereta rali Satria Neo miliknya ini, anda boleh lawati sendiri laman blog Gazoo.com pada PAUTAN INI.

    Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

    Sedikit sejarah berkenaan kereta rali Satria Neo binaan Cusco ini, pasukan berkenaan telah memberikan kereta ini kepada tiga pelumba Cusco Junior Rally Team dari Jepun iaitu Hiroshi Yanagisawa, Yuya Sumiya dan Akira Bamba, digunakan dalam Kejohanan Rali Jepun dan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk kategori N2. Juara Kejohanan Rali Indonesia lapan-kali, Rifat Sungkar turut memandu kereta ini pada pusingan ke-8 Kejohanan Rali Jepun 2011, yang merupakan percubaan pertamanya memandu dalam rali di atas permukaan tar.

    Jentera rali Cusco Satria Neo Group N ini juga mencatatkan kenangan manis buat Karamjit Singh. Setelah menyepi dari APRC selepas penampilan terakhirnya pada 2005, Karam kembali ke kejohanan tersebut pada pusingan kedua musim 2011, iaitu di Rali Queensland yang berlangsung di Australia pada 13 hingga 15 Mei.

    Beliau terus memberikan impak besar pada kejohanan tersebut dengan menjadi juara kategori N2, meninggalkan Akira Bamba 4.5 minit di belakang, dalam masa yang sama menjadikan Satria Neo ini sebagai kereta rali 2WD terpantas sepanjang perlumbaan berkenaan. Karamjit turut meraih tempat ke-sembilan secara keseluruhan yang rata-rata di dominasi jentera jauh lebih berkuasa seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru WRX.

     
     
  • Kit badan rekaan tempatan untuk Proton X50 – dari RM4.5k, fender lebih lebar, tanpa perlu tebuk badan

    Kit badan rekaan tempatan untuk Proton X50 – dari RM4.5k, <em>fender</em> lebih lebar, tanpa perlu tebuk badan

    Ingat lagi Proton X50 dengan kit badan lebih lebar milik Lee yang kami tampilkan tempoh hari? Berita baik untuk pemilik X50 lain yang mahukan kit badan yang sama, ia kini sudahpun diproduksi, dan anda boleh beli kit tersebut untuk dipadankan pada kereta anda!

    Menurut hantaran Facebook yang dibuat, kit ini direka dan diproduksi oleh pembuat kit badan tempatan iaitu JWide Bodykits. Ia terdiri dari 10 komponen termasuk spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, overfender lebih lebar, diffuser hadapan dan belakang, kemasan pelindung ekzos dan juga spoiler jenis ducktail yang diletakkan pada aras tengah pintu tailgate belakang.

    Ia dijual pada harga bermula RM4,500 untuk kit asas, sehingga RM5,500 jika anda beli kit penuh yang turut datang sekali dengan pelindung ekzos, spoiler ducktail (boleh dibeli asing dengan harga RM650-RM750) serta kemasan-kemasan kit badan lebar.

    Kit badan rekaan tempatan untuk Proton X50 – dari RM4.5k, <em>fender</em> lebih lebar, tanpa perlu tebuk badan

    Harga yang dinyatakan adalah berserta kos pemasangan, dan lagi berita baik untuk pemilik X50 yang mahukan kit badan ini, tiada sebarang pengubahsuaian perlu dibuat, dan tiada sebarang lubang pada badan yang perlu ditebuk kerana kit ini direka untuk ‘fit’ terus pada X50.

    Kereta milik Lee ini turut dipadankan dengan rim berdiameter 21-inci dengan lebar yang ngam untuk kit badan lebih lebar berkenaan, bersama tayar Continental ContiSport Contact 5P bersaiz 275/30R21 di hadapan dan 285/30R21 di belakang.

    Pada yang masih belum mengetahui, X50 milik Lee ini sebelum ini agak tular dikenali sebagai Bumblebee, mula diubahsuai hanya seminggu selepas Proton X50 dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2020. Ia menerima tingkat taraf sistem brek dengan menggunakan cakera berliang 405 mm yang ditebuk diambil dari sedan V8 Amerika, Cadillac CTS-V bersama angkup enam-omboh dari Brembo untuk bahagian hadapan, serta cakera berliang 380 mm bersama angkup empat-omboh yang diambil dari Porsche Cayenne di belakang.

    Manakala enjin asal 1.5 liter tiga silinder turbo pada X50 ini telah diberikan talaan semula dengan modul penala kotak komputer RaceChips GTS, sistem ekzos lebih lawas tanpa catalytic converter, serta kit ambilan udara sejuk, membolehkan ia mencapai kuasa maksima 203 PS/330 Nm jika menggunakan petrol RON 100.

    Ia juga telah diberikan sistem suspensi boleh laras dengan set bushing perlumbaan, membolehkan ia mencatatkan masa 2 minit 47.94 saat di Litar Antarabangsa Sepang, diketahui sebagai X50 terpantas di litar berkenaan setakat ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024