Trailer-plough-Malacca-1

Lebih 15 buah kenderaan yang diparkir di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhadapan Stadium Hang Jebat malam tadi telah dirempuh oleh kenderaan berat dipercayai treler malam tadi. Kenderaan-kenderaan yang terbabit diletakkan secara tiga lapis di tepi Lebuh SPA sehingga memasuki laluan jalan raya menyebabkan laluan menjadi sempit dan menyukarkan kenderaan berat terlibat melalui jalan itu sehingga merempuh kenderaan tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata pihaknya juga sedang menunggu laporan polis yang dibuat pemilik kenderaan terlibat untuk tindakan lanjut, laporan Bernama.

“Polis telah mengawal dan tidak membenarkan tuan punya kenderaan terlibat meletakkan kenderaan mereka di laluan utama itu namun mereka masih berdegil dan sanggup mengambil risiko,” katanya.

Malah pihak polis juga meminta individu atau kumpulan yang menyaksikan insiden terbabit supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Insiden terbabit berlaku semasa semasa pemilik kenderaan terlibat sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium tersebut.

Shaikh Abdul Adzis turut berkata tindakan meletakkan kenderaan sehingga mengganggu laluan trafik itu juga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang agak serius di kawasan berkenaan. Di mana bilangan penonton yang datang di luar jangkaan iaitu kira-kira 30,000 orang dan situasi itu turut menyebabkan bilangan kenderaan meningkat daripada kebiasaan.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 06-2842222,” katanya.

Dalam pada yang sama, beliau berkata seramai 30 anggota trafik ditugaskan mengawal lalu lintas manakala 432 orang pegawai dan anggota ditugaskan di dalam dan luar stadium bagi memastikan kelancaran sepanjang perlawanan antara PDRM dan JDT.

Katanya penonton dinasihatkan berkongsi kereta atau menaiki bas yang disewa untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang berlangsung di stadium berkenaan pada masa hadapan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.