Malaysia-Taxi-01

Bagi melaksanakan transformasi terhadap perkhidmatan teksi, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk memperkenalkan aplikasi seperti yang digunakan oleh Uber dan GrabCar.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata aplikasi itu akan dibangunkan bersama pengendali rangkaian dalam usaha untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna, laporan Bernama.

Abdul Aziz juga menolak dakwaan bahawa sistem perkhidmatan teksi negara berada pada tahap rendah, sebaliknya berkata masyarakat memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar disebabkan kedua-duanya menggunakan aplikasi yang mudah diakses.

Isu mengenai Uber dan GrabCar masih berlarutan kerana sehingga kini tiada kata putus daripada pihak kerajaan mengenai perkhidmatan teksi di dalam talian itu. Malah ia didakwa banyak memberikan tekanan terhadap pengusaha dan pemandu teksi di negara khususnya di sekitar ibu kota sehingga memaksa mereka melakukan protes di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang pada 29 Mac lalu.