oku-parking-lot-abused

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan tegas terhadap 243 pemandu normal yang memarkir kenderaan mereka di petak parkir yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU) antara Januari hingga Mei lalu.

Menurut Ahli Majlis MBPP Chriss Lee, sebanyak 220 pesalah telah disabitkan dengan saman trafik bernilai RM100 setiap seorang, manakala sembilan kenderaan telah ditunda dan 14 lagi telah dikunci tayarnya, laporan The Star.

Beliau berkata, pemilik kenderaan yang ditunda turut dikehendaki membayar RM100 untuk kos tunda, manakala bagi mereka yang tayar kenderaannya dikunci, perlu membayar RM50 untuk membuka kunci tersebut.

Lee juga berkata pihak penguatkuasa kini sedang mencari penguatkuasaan yang standard bagi sesiapa yang memarkir di petak parkir OKU ini tanpa pelekat kebenaran khas.

“Malah orang ramai juga boleh terus menghubungi kami sekiranya mereka terlihat mana-mana pemilik kenderaan tanpa pelekat OKU memarkir di petak parkir OKU. Kita akan segera bertindak berdasarkan laporan tersebut,” ujarnya sambil menambah MBPP telah menyediakan 54 parkir lot OKU dan akan menambahnya dari semasa ke semasa.

“Jika boleh, kita ingin menunda semua kereta tersebut tetapi kita memiliki jumlah trak tunda yang terhad,” kata Lee sewaktu ditemui pihak media selepas majlis pelancanran kempen mesra-OKU oleh majlis perbandaran berkenaan di George Town Ahad lalu.

MBPP turut menyeru agar penunggang motosikal juga tidak meletakkan motosikal masing-masing dalam jarak kurang lima kaki dari parkir dan laluan yang dikhaskan untuk OKU bagi mengelakkan lagi kesukaran pergerakan golongan ini.