Untuk mengharungi cabaran Rali Dakar 2017 yang sudah pun bermula pada 2 Januari lalu, Peugeot tampil dengan jentera baharu 3000 DKR yang menggantikan 2008 DKR yang digunakan sebelum ini.

Jentera baharu ini ditunjukkan buat pertama kali pada Paris Motor Show 2016, dan bakal menempuh perlumbaan padang pasir sejauh 9,000 km. Walaupun kelihatan lebih agresif dan tayar yang jauh lebih besar dari SUV 3008 versi jalan raya biasa, 3008 DKR masih diberikan muka yang kelihatan seiras terutamanya pada sepasang lampu hadapan bertaring serta gril hadapan dengan elemen krom.

Begitu juga pada bahagian belakang, rupa seperti buggy pada jentera rali sebenar ini menggunakan lampu belakang yang diberikan grafik bar LED tiga baris menegak, bagi memberikan petanda ia berasal dari SUV 3008. Keseluruhan badan 3008 DKR diberikan livery perlumbaan Total dan Red Bull Racing bagi melengkapkan rupanya.

Jentera ini dijana oleh enjin V6 3.0 liter turbo berkembar. Walaupun undang-undang Rali Dakar tahun ini memerlukan semua pengeluar menggunakan restrictor pengecas turbo berdiameter lebih kecil dari sebelum ini, enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 340 bhp dengan tork maksima 800 Nm. Kuasa berkenaan 20 bhp lebih kecil dari jentera sebelum ini, tetapi talaan yang diberikan membolehkan kuasa maksima dicapai lebih cepat, dan membolehkan 3008 DKR mencapai kelajuan maksima 200 km/j di atas permukaan berpasir.

Berbanding jentera pengeluar yang bertanding menggunakan pacuan empat roda,kuasa dari enjin 3008 DKR ini hanya memacu roda belakang. Namun, ini bukanlah bermaksud 3008 DKR mempunyai kekurangan berbanding lawannya. Jentera 2008 DKR sebelum ini juga menggunakan sistem pacuan roda belakang, tetapi terbukti telah mendominasi Rali Dakar 2016 dengan sembilan kemenangan peringkat, seterusnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan dan merupakan jentera pacuan dua roda pertama mencapai kejayaan sedemikian sejak 15 tahun lalu.

Geometri dan talaan suspensi 3008 DKR ini telahpun disempurnakan setelah ia diuji di Silk Way Rally yang berlangsung selama 15-hari. Sistem penghawa dinginnya juga telah diberikan tingkat-taraf bagi membolehkan kabinnya kekal sejuk selama 12 jam tanpa henti dengan suhu luar yang boleh mencapai sehingga 60 darjah selsius.

Menurut pengarah pasukan Peugeot Sport, Bruno Famin, ketahanan dan kebolehan memandu jentera ini turut diberikan tumpuan. “Sasaran kami adalah untuk mengambil kelemahan dari jentera sebelum ini dan membuatkannya lebih kuat,” katanya.