Sebelum ini, Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menyuarakan kegusaran mengenai keputusan kerajaan yang mahu mengumumkan harga siling bahan api pada setiap minggu mulai April ini yang dikatakan tidak memberikan keuntungan kepada para pengguna dalam tempoh waktu yang panjang, malah boleh menyebabkan pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar kerana kerugian.

Namun perkara ini tidak senada dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang memuji langkah kerajaan tersebut kerana dikatakan ia bakal mewujudkan harga siling petrol dalam pasaran kompetitif yang memberi manfaat kepada rakyat, laporan Bernama.

Menurut Pesuruhjaya MyCC Datuk Dr Gan Khuan Poh, dengan menetapkan harga siling petrol, peruncit boleh meletak harga yang lebih rendah dan mewujudkan persaingan.

“Kita akan melaksanakannya secara mingguan manakala di Amerika Syarikat, ia dilakukan secara harian,” katanya sambil menambah melalui kaedah ini, pengguna akan lebih dilindungi dan mempunyai akses kepada pelbagai pilihan.

Hujung minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin, telah mengesahkan, pihak kerajaan memutuskan untuk mengumumkan harga siling bahan api pada setiap minggu, berbanding yang dilakukan sebelum ini pada hujung bulan. Katanya, ia akan dilaksanakan mulai April ini bagi memastikan pengguna mengetahuinya serta mengelak daripada berlaku keraguan.