Kami kongsikan satu lagi video peringatan tentang kemalangan hari ini, kali ini berkenaan melanggar lopak air/hydroplanning ketika hujan.

Pada video facebook yang disiarkan oleh Mandy Geh ini, kelihatan sebuah Honda City GD yang dipandu agak laju berbanding kenderaan lain ketika hujan. Apabila City berkenaan melanggar lopak air yang agak dalam (boleh ditafsirkan menerusi percikan air ketika ia dilalui kenderaan) pada satu selekoh yang tidak tajam, ia hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan akhirnya terbalik.

Ia jelas terjadi kerana fenomena hydroplanning iaitu situasi di mana tayar kereta terapung ketika melanggar lopak berkenaan. Pelbagai faktor menyumbang kepada berlakunya hydroplanning ini, antaranya kerana tayar yang tidak dapat mengalirkan air melaluinya (atau bahasa mudahnya ‘potong air’) sama ada kerana tayar yang hampir botak atau kualiti tayar itu sendiri.

Antara yang boleh membantu pemandu ketika situasi seperti ini tentulah sistem Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC/ESP/VSA dan sebagainya) – sebab itu mengapa sistem berkenaan begitu penting ketika ini dan kerajaan Malaysia sendiri akan mewajibkan pemasangan sistem tersebut pada semua kenderaan baharu bermula Jun 2018.

Tetapi, apa pun caranya untuk mengelakkan kemalangan seperti ini, yang paling penting adalah dengan tidak memandu dengan laju ketika hujan, dan jangan pandang rendah apa yang boleh dilakukan oleh air walaupun anda memandu sebuah kenderaan yang canggih. Laju-laju nak pergi mana bang?