Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

Pertama kali ia diperkenalkan di khalayak umum di MIECC Serdang pada November lalu, sekali gus tempahannya mula dibuka. Kia Grand Carnival baharu ini merupakan model generasi ketiga yang pertama kali diperkenalkan secara global di Amerika Syarikat pada tahun 2014 (juga dikenali sebagai Sedona). Bagi pasaran Malaysia, Naza Kia sebelum ini ada menjual Kia Carnival generasi pertama yang ditukar namanya kepada Naza Ria tetapi generasi kedua tidak dijual.

Hari ini, secara rasminya, model baharu bagi MPV ini dilancarkan di Malaysia, dengan menawarkan tiga varian iaitu 2.2D yang merupakan spesifikasi paling rendah dengan dua lagi varian yang lebih utama; 2.2 CRDI KX dan spesifikasi tertinggi 2.2 CRDI EX. Kesemua varian dijanakan oleh enjin 2.2 liter CRDi VGT turbodiesel empat-silinder. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 193 PS pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

MPV lapan-tempat duduk yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ini memiliki ukuran 5,115 mm panjang, 3,060 mm bagi jarak roda, berketinggian 1,740 mm dan selebar 1,985 mm yang memberikan pandangan profil yang lebih teguh.

Bahagian hadapannya direka lebih lebar, menonjol dengan padanan gril ‘hidung harimau’ bersama lampu utama projektor halogen yang dilengkapi lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus. Ia juga dilengkapi dengan cermin sisi elektrik (dengan lampu isyarat LED) dan antena ‘sirip jerung’. Ia turut ditampilkan dengan rim aloi 18-inci (Clear Silver bagi 2.2 CRDI KX, Machine Finieshed untuk 2.2 CRDI EX) yang dibaluti tayar 235/60.

Melewati bahagian belakangnya, ia tampil dengan lampu gabungan dari jenis LED. Malahan bagi varian 2.2 CRDI EX, ia dilengkapi pintu tailgate berkuasa pintar yang boleh dibuka secara automatik apabila didekatkan dengan kunci (bukaan secara manual bagi varian 2.2D, 2.2 CRDI KX), kemasukan tanpa kunci (kunci standard bagi varian asas), rel bumbung (untuk varian tertinggi sahaja) dan juga pintu gelungsur elektrik (manual untuk varian asas).

Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

Menjengah bahagian kabin pula, tempat duduknya dibaluti material kulit bagi 2.2 CRDI EX dan varian asas pula dengan material fabrik serta disertakan dengan ciri kawalan pendingan hawa automatik triple-zone (kawalan manual bagi varian asas) dengan cluster ioniser. Warna bagi bentangan dalaman pula (termasuk tempat duduk), kuning langsat (beige) bagi 2.2D, kelabu dengan dua tona untuk 2.2 CRDI KX dan 2.2 CRDI EX pula kuning langsat dengan dua-tona.

Selain itu, kesemua varian berkongsi unit utama yang sama iaitu skrin sentuh berwarna TFT LCD 4.3-inci bagi sistem hiburan. Manakala dua varian tertinggi menerima butang penghidup enjin, kluster instrumen Supervision TFT-mono OLED 3.5-inci, cermin pandang belakang siang-malam, kamera undur dan enam pembesar suara. Malah ia juga dilengkapi dengan brek parkir kaki dan juga kawalan kelajuan auto.

Sebagai tambahan, tempat duduk depan dialihkan secara manual, dengan lumbar support bagi sebelah pemandu, yang boleh dilaras dengan dua-cara bagi 2.2 CRDI KX dan empat-cara untuk 2.2 CRDI EX. Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40, dan boleh ditolak ke hadapan untuk memudahkan penumpang memasuki barisan ketiga.

Kerusi barisan ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50 untuk membolehkan penggunaan ruang kargo yang lebih luas. Ruang barangan di belakang berkapasiti 359 liter dan sekiranya tempat duduk barisan kedua serta ketiga dibaringkan, ia mampu mencecah maksimum 2,718 liter.

Setiap baris tempat duduk dilengkapi dengan corong pendingin hawa sendiri di bahagian siling, untuk memudahkan capaian. Walau bagaimana pun untuk tempat duduk barisan kedua dan ketiga, varian asas 2.2D hanya disertakan dengan tali pinggang keledar tengah sahaja, sebaliknya 2.2 CRDI KX dan 2.2 CRDI EX dilengkapi tali pinggang keledar tiga-poin.

Bagi ciri-ciri keselamatan pula, ia dilengkapi dengan enam beg udara, pengesan parkir di bahagian depan dan belakang, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Isofix (dua unit pada tempat duduk barisan kedua, satu unit di barisan ketiga) dan Bantuan Mula Mendaki (HAC) merupakan ciri standard bagi kedua-dua varian.

Semua varian juga ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu Snow White Pearl, Aurora Black Pearl dan Titanium Brown. Harga atas jalan (berserta insurans) yang ditawarkan bagi varian varian asas ialah RM153,888, 2.2 GRDI KX pula RM165,888 dan 2.2 GRDI EX pula RM185,888. Ia turut didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan juga tertakluk di bawah skim ‘Value 5’ oleh Naza Kia.

GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D

GALERI: Kia Grand Carnival 2.2 CRDI KX

GALERI: Kia Grand Carnival 2.2 CRDI EX

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Kia Grand Carnival vs Hyundai Starex. Nampak menang Kia ni. Harga pun dekat sama.

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required