Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Grab Malaysia telah menandatangani kerjasama jangka panjang, yang menyaksikan program kesetiaan pelanggan baharu dilancarkan iaitu Kad Mesra Grab. Kad berkenaan menerusi kerjasama ini membolehkan pemandu GrabCar menikmati faedah dan ganjaran yang eksklusif.

Dengan Kad Mesra Grab ini, pemandu bakal menerima penjimatan untuk pembelian bahan api dan juga minyak pelincir. Bukan itu sahaja, mereka juga layak untuk menerima promosi Kedai Mesra serta boleh mendapatkan mata ganjaran untuk setiap pembelian yang dibuat pada semua stesen Petronas seluruh negara.

“Kami agak teruja dengan kerjasama ini kerana ia menyatukan dua organisasi berpandangan sama dalam perniagaan yang menekankan usaha tanpa sepadan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan dalam industri pengangkutan. Grab menawarkan peluang untuk berkembang dengan pesat untuk PDB, memanfaatkan jaringan pemandu yang luas yang akan menguatkan lagi posisi kami sebagai pembekal utama bahan api dan pelincir di Malaysia,” kata Aadrin Azly, ketua jabatan perniagaan runcit di Petronas.

“Salah satu sebab utama pengasas bersama kami mewujudkan Grab (sebelum ini dikenali sebagai MyTeksi) adalah untuk membantu memperbaiki kebajikan pemandu teksi dan GrabCar. Oleh itu, kami secara konsisten mencari peluang untuk mengenalpasti dan memberikan ganjaran kepada pemandu kami bagi kerjasama mereka,” kata Sean Goh, ketua Grab Malaysia.

“Kami secara konsisten memperbaiki skema faedah pemandu kami, dengan mencari kerjasama yang boleh membantu kami untuk menambah lebih nilai kepada rakan-pemandu kami dengan mengurangkan kos operasi harian bagi membolehkan pendapatan akhir mereka dimaksimakan. Selain dari faedah untuk bahan api dan minyak pelincir serta diskaun ekslusif menerusi Kad Mesra Grab, mereka turut akan menerima baucar beli-belah atas talian, penyegar udara kereta, tawaran makanan dan minuman dan juga faedah penjagaan kenderaan,” tambah Goh.

Program kesetiaan pelanggan ini bukan satu-satunya kerjasama yang dimeterai oleh kedua-dua syarikat. Pada masa akan datang, PDB dan Grab dijangka bakal bekerjasama pula dalam program tanggungjawab sosial tahun ini, yang melibatkan penyertaan pemandu Grab untuk memberikan sumbangan terhadap penambahbaikkan dalam masyarakat.