Pilihan yang terhampar bagi peminat pengubahsuaian atau modifikasi kenderaan sangat luas. Ia tidak terhad hanya kepada barangan aftermarket yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak.

Satu aspek modifikasi yang kerap juga mendapat perhatian di Malaysia ialah dengan menukar penampilan kenderaan dari yang asal. Pendekatan oleh pengeluar, yang memperkenalkan sesebuah model di dalam variasi yang berbeza, untuk pasaran-pasaran yang berbeza – sedangkan ia diasaskan pada satu model yang sama – meluaskan lagi kemungkinan ubahsuai penampilan sesebuah kenderaan.

Tentunya ramai sudah maklum, sebagai contoh, model-model kereta kompak seperti Perodua Myvi mempunyai “saudara kembar tak serupa” dipasaran Jepun, yang dikenali sebagai Toyota Passo. Begitu juga dengan Proton Wira yang mempunyai pertalian dengan Mitsubishi Lancer terdahulu. Senarai ini sudah tentu saja boleh jadi lebih panjang.

Dengan adanya pertalian antara model begini, ramai yang panjang akal dan terdetik untuk mengubah penampilan luar kereta mereka kepada model-model yang berkongsi kerangka yang sama itu. Anda juga pasti tidak asing lagi dengan perkara seperti ini; terlalu banyak kenderaan di atas jalan raya di Malaysia yang melakukan hal seperti itu.

Yang menjadi persoalan, dari sudut undang-undang, adakah hal ini tidak melanggar apa-apa peraturan sedia ada? Jika menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, perkara itu melanggar undang-undang sedia ada.

“Semua kenderaan yang didaftarkan di Malaysia ada identitinya tersendiri. Siapa pengeluarnya, apa modelnya, bagaimana rekaan dan lain-lain. Perkara-perkara yang sudah diluluskan, terutamanya ketika proses Vehicle Type Approval (VTA) untuk sesebuah kenderaan itu digunakan di atas jalan raya Malaysia, tidak boleh ditukar sesuka hati” ujar beliau.

Apa yang dimaksudkan dengan identiti kenderaan? Ada dua perkara yang diberi penekanan ketika membicarakan hal ini; iaitu logo atau lambang pengeluar serta modelnya dan kedua, panel badan kenderaan. “Walaupun pemilik hanya menukarkan logo jenama kenderaan mereka. Misalnya, dari Perodua kepada Daihatsu, atau kepada Toyota – semua itu tetap salah,” jelasnya.

Beliau juga sempat memberi contoh terhadap model-model yang lebih baru, seperti Proton Perdana, yang direka semua daripada model Honda Accord generasi kelapan. “Walaupun kita sedia maklum Perdana memang menggunakan Honda Accord sebagai asasnya, sekiranya lambang pengeluar atau modelnya ditukar kepada Honda Accord, ia tetap salah,” tambah beliau.

Mungkin ada yang bertanya, apa kesalahan yang dilakukan sebenarnya? Beliau menjelaskan; “Menukar identiti kenderaan tanpa kebenaran dan boleh dikenakan saman serta-merta.” Ini turut termasuk bagi model-model lain yang jatuh di dalam situasi seumpama ini, misalnya seperti Proton Inspira.

Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya masih ada pemilik yang ingin berbuat demikian, adalah lebih elok untuk merujuk kepada pihak JPJ terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa perubahan, walaupun seringkas menukar logo pengeluar pada kereta anda.

Ikuti juga artikel berkaitan maklum balas JPJ terhadap penggunaan sayap belakang besar (rear wing) dan lampu HID pada kenderaan yang pernah kami ketengahkan sebelum ini.