UMW Toyota Motor hari ini mempertontonkan buat pertama kali di Malaysia model yang dinanti-nantikan, Toyota C-HR. Bakal menyaingi model-model seperti Honda BR-V dan Mazda CX-3 di pasaran tempatan. Unit yang dipamerkan ini adalah dari versi 1.2L turbo dengan spesifikasi unit dari pasaran Australia.

Untuk pasaran Malaysia, masih belum disahkan versi mana yang akan dipasarkan atau bila ia akan diperkenalkan. Di pasaran Australia, hanya model dengan enjin 1.2L turbo dipasarkan (enjin 8NR-FTS dengan janaan kuasa 115 PS dan 185 Nm tork). Sementara itu, pilihan enjin 1.8L hibrid juga ditawarkan untuk pasaran Jepun sebagai tambahan kepada pilihan enjin yang lebih kecil itu.

Selain Jepun dan Australia, pasaran Indonesia pula ada ura-ura akan turut menerima enjin 1.5 liter – dengan unit yang turut dipasang di sana. Apa yang pasti, untuk pasaran Malaysia, pilihan enjin 1.2L turbo tidak akan diperkenal.

Toyota C-HR merupakan model kedua yang dibangun menggunakan platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA) selepas Prius versi terkini. Pengeluarnya menjanjikan prestasi pemanduan yang responsif, hasil daripada penalaan suspensi dan ujian global yang dijalankan. Platform berkenaan juga disifatkan 65% lebih kukuh berbanding platform pada model segmen C Toyota sebelum ini.

Versi hibrid pula disifatkan mampu memberikan bacaan penggnunaan petrol 30.2 km/l bagi kitaran ujian Jepun (15.4 km/l bagi 1.2L). Unit utamanya menggunakan enjin 1.8 liter VVT-i Atkinson Cycle empat silinder, motor elektrik dan kotak gear CVT – gandingan yang sama melengkapi Prius. Versi ini hanya datang dengan sistem pacuan 2WD.